PANDEMIK Covid-19 yang dikesan sejak hujung tahun lalu nampaknya memberikan impak yang bukan calang-calang. Ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Bukan sahaja ekonomi negara, malah ada ekonomi isi rumah yang ‘lumpuh’ disebabkan kehilangan pekerjaan. Ada juga yang terpaksa dicutikan daripada bekerja dan dipotong gaji.

Aishah Mohamad (bukan nama sebenar) turut terkena tempiasnya. Gajinya dipotong beberapa peratus. Namun begitu, dirinya masih lagi berkhidmat dengan majikan lamanya kerana beliau begitu mencintai bidang kerjanya sekarang.

Apabila mendapat tawaran pekerjaan daripada syarikat lain, Aishah buntu sama ada mahu menerima atau menolak terus pelawaan berkenaan. Baginya, bukan satu keputusan mudah untuk beliau berhijrah walaupun beliau ditawarkan dengan gaji yang jauh lebih tinggi daripada majikannya sekarang.

Wanita itu lantas melakukan solat sunat istikharah. Beliau begitu mengharap ALLAH SWT membantunya dalam membuat pilihan yang terbaik.

Namun, sehingga kini masih tiada klu atau jawapan diterimanya. Walhal, sudah berkali-kali Aishah melakukan solat istikharah.

Puas difikirkan kenapa istikharah yang dilakukannya kali ini tiada petunjuk. Bukannya pertama kali beliau melakukannya. Sebelum ini, Aishah buntu memilih jodoh yang terbaik. Beliau selamat berkahwin dengan lelaki yang ‘diilhamkan’ menerusi gerak hatinya.

Mengapakah kadang-kadang istikharah tidak terjawab? Apakah bentuk petanda kepada jawapan istikharah yang dilakukan? Adakah hanya melalui mimpi?

Mencari kebaikan

Sinar Islam mengajak pendakwah Ustaz Haslin Baharim untuk berbicara lanjut mengenai topik berkenaan. Jelas beliau, solat istikharah merupakan salah satu sunah Rasulullah SAW. Istikharah itu sendiri bermaksud untuk mencari kebaikan.

USTAZ HASLIN

Malah, Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk menunaikan solat dua rakaat (istikharah) apabila kita hendak melakukan suatu perkara. Ia termasuklah dalam urusan jodoh, pindah rumah atau pekerjaan dan sebagainya.

“Istikharah ini berkait rapat dengan hati. Jika hati kita kotor, mana mungkin mendapat petunjuk daripada ALLAH. Ada orang melakukan (ibadah) yang sunat saja, tetapi tidak solat fardu. Sebab itulah solat istikharah itu tak dapat (petunjuk).

“Namun, seandainya hati kita bagus dan bersih iaitu orang yang melaksanakan dan tidak pernah meninggalkan perintah ALLAH, maka ALLAH SWT akan mempermudahkan jawapan dan berikan petunjuk kepada kita mana yang baik serta tak baik,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Ustaz Haslin turut memperbetulkan anggapan tergelincir sebilangan masyarakat yang melakukan solat sunat istikharah hanya ketika mencari jodoh. Hakikatnya banyak perkara boleh dilakukan istikharah.

Bukan itu sahaja, beliau menjelaskan, petunjuk atau keputusan kepada jawapan istikharah tidak semestinya menerusi mimpi. Kadangkala ia datang dalam bentuk bayangan dan pemantapan atau ketenangan hati.

“Contohnya, kita dapat kerja yang baik, tapi pendapatannya tidak banyak walaupun sudah lama bekerja. Rasa macam ingin bekerja sendiri. Kemudian bila buat istikharah, kita rasa hati kita berat nak berhenti kerja tempat lama dan buat kerja lain. Maka, kita berhentilah dan hantar surat peletakan jawatan,” katanya.

Seperkara lagi, Ustaz Haslin yang terkenal dengan jolokan Ustaz Bollywood mengingatkan umat Islam agar melakukan istisyarah iaitu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum melakukan solat sunat dua rakaat berkenaan.

“Berbincanglah dengan orang yang berpengalaman dan alim. Disunatkan untuk kita melakukan istisyarah. Dalam apa-apa hal, istisyarah itu perlu. Imam al-Nawawi berpesan supaya kita berbuat demikian.

“Contohnya bila nak kahwin, tanya ustaz atau orang alim macam mana hendak berkahwin, apa ciri-cirinya, calon sekian dan seumpamanya. Jika dijelaskan bahawa elok berkahwin, maka tidak perlulah kita istikharah.

“Istikharah (hanya melibatkan) perkara yang dirasakan perlu untuk kita mohon sebab duduk antara dua pertimbangan. Kombinasi istisyarah dan istikharah, insya-ALLAH ALLAH akan tolong,” jelas beliau.

Kepada satu soalan, Ustaz Haslin memberitahu: “Tiada waktu yang khusus untuk melakukan solat istikharah. Ia boleh dilakukan sepanjang waktu.

“Namun, jika rajin bangun awal, dirikanlah solat istikharah sebelum solat Subuh. Terpulang kepada seseorang untuk buat (istikharah) berapa kali sehingga dia nampak mana yang berat (petunjuk),” jelas beliau.

Hanya dalam perkara harus

Perlukah melakukan solat sunat istikharah bagi setiap perkara yang berkait rapat dengan kehidupan kita?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustazah Nourul Iman Nia’mat menjelaskan, sebenarnya Rasulullah SAW menyarankan kepada umatnya saat kita sedang buntu dengan dua pilihan yang tidak dapat ditentukan.

USTAZAH NOURUL IMAN

Pilihan berkenaan tambah beliau, ia mestilah melibatkan perkara yang hukumnya harus iaitu hanya berkaitan dengan keadaan diri kita umpamanya dalam soal perkahwinan, pekerjaan soal harian dan sebagainya.

Seandainya pilihan berkaitan dengan perkara yang halal atau haram, maka tidak perlulah kita lakukan istikharah kerana memang jelas keharamannya dan halalnya, terangnya.

“Begitu juga jika ia melibatkan pertembungan perkara yang haram seperti minum arak.

“Satu lagi, istikharah tak perlu dilakukan jika ada kaitan dengan hukum sunah. Maknanya, jika perkara itu hukumnya sunat, dapat pahala bila kita lakukannya. Maka tak perlulah kita lakukan istikharah, sebaliknya teruskan buat perkara yang sunat,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Ujar pendakwah itu lagi, Rasulullah SAW juga melakukan istikharah dalam hal-hal keduniaan, kata pendakwah itu lagi. Baginda turut melaksanakan musyawarah dengan para sahabat.

“Pernah satu ketika sahabat beristikharah untuk memperbaiki kedudukan Kaabah. Pendek kata, istikharah ini adalah perlakuan Rasulullah, sahabat dan disuruh kepada kita untuk kita minta keputusan yang mana hasilnya itu kita nak yang terbaik dengan meminta kepada ALLAH,” katanya.

Paling penting tambah beliau, ketika dalam keadaan kebuntuan, usahlah ada kecenderungan terhadap dua pilihan tadi jika ingin melakukan solat sunat dua rakaat.

“Namun, andai kita ada kecenderungan, tak payahlah (istikharah) sebab ia tak menjadi kesan kepada kita. Contohnya, kita kenal dalam soal jodoh atau pekerjaan. Salah satu daripada pekerjaan itu, kita cenderung ke arahnya. Jadi kalau kita beristikharah saat itu, ia tidak akan menjadi fungsi apa-apa pun kepada kita,” katanya.

Jawapan

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustazah Nourul Iman menyentuh tentang jawapan kepada solat istikharah.

Adakalanya segelintir orang walaupun sudah berkali-kali melakukan solat istikharah, namun dirinya masih diselubungi kebuntuan.

 

Istikharah
JAWAPAN kepada solat istikharah tidak semestinya hadir melalui mimpi sahaja.

 

Kata beliau, barangkali kita tiada ilmu tentang solat berkenaan seperti hanya sekadar menunggu jawapan melalui mimpi.

“Seandainya istikharah sudah dilaksanakan dengan cara yang betul, kemudian kita mengakui kesilapan kita, bertaubat, beristighfar, kemudian kita bersihkan diri kita daripada sebarang pilihan sebab tak mahu ada mana-mana kecenderungan.

“Selepas itu, kita mengharapkan (petunjuk) melalui gerak hati, pandangan orang yang soleh ataupun mimpi dan kita telah pun berkali-kali mengulangi istikharah, tapi belum dapat jawapan dalam apa jua bentuk. Maka saat itu kita jadikan istikharah itu sebagai satu kepasrahan. Pasrah itu bermakna kita bertawakal dan berserah kepada ALLAH SWT.

“Kadang-kadang kita hendakkan kepada keindahan dan kesenangan, ALLAH SWT hadiahkan kepada kita sebaliknya iaitu kebenaran dan kesabaran. Jadi, dalam keadaan biasanya pandangan manusia ini, ia tak sama dengan pilihan ALLAH,” katanya.

Tambah beliau lagi, kadangkala kita merasakan ALLAH SWT sudah memberikan kita pilihan melalui istikharah. Namun, setelah pilihan dibuat, kita seolah-olah diuji dengan pilihan tadi. Itu namanya qada dan qadar.

“Barangkali pilihan ALLAH ini adalah untuk menaikkan darjat kita di sisi-NYA sebab kita bersabar. Jangan kita menyalahkan takdir sebab ia ada kaitannya dengan soal akidah. Sebagai umat Islam, kita kena percaya kepada qada dan qadar.

“Apabila kita diuji, usah berkata menyesal dan seumpamanya. Sebaliknya, berlapang dadalah dengan pilihan ALLAH. Jika pilihan itu indah khabar daripada rupa, jangan menyalahkan-NYA. Pasrah kepada ALLAH SWT dan serahkan urusan takdir itu kepada-NYA serta membaca hikmah di sebaliknya,” katanya.

Jikalau hingga saat ini masih tiada sebarang signal diperoleh setelah berkali-kali melakukan solat istikharah, Ustazah Nourul Iman menyarankan kita untuk melaksanakan istisyarah.

Bertanyalah kepada orang yang soleh mana satu pilihan yang terbaik. Barangkali pilihan orang yang soleh itu sesuai dengan gerak hatinya, kemudian tanyalah gerak hati kita pula, terang beliau.

“Mungkin ALLAH SWT belum lagi memberi pilihan kepada kita kerana asbab dosanya. Ketahuilah, ALLAH sebenarnya malu jika kita berdoa dalam istikharah kerana ada banyak doa yang merendahkan (kita untuk bergantung harap kepada-NYA). ALLAH malu jika DIA tak makbulkan doa kita kerana disebutkan dalam al-Quran bahawa andai kita berdoa, ia akan dimakbulkan.

“Kemakbulan itu barangkali ALLAH sudah kabulkan, namun ia masih belum terlaksana disebabkan kotornya hati kita dengan dosa. Ingatlah, salah satu syarat orang berdoa adalah dirinya mesti bersih daripada perkara-perkara yang haram. Kita perlu istighfar dan bertaubat daripada segala dosa.

“Namun begitu, jika kita berdoa dalam keadaan diri masih lagi banyak dosa, ia memungkinkan jawapan ataupun apa yang diinginkan itu tak dapat,” jelas beliau mengakhiri bicaranya.

Justeru, bersihkan diri kita daripada kekotoran dengan bertaubat, beristighfar dan kembali kepada ALLAH SWT. Semoga kita diberikan hidayah dan petunjuk-NYA.

Elak pilihan hasil hasutan syaitan

Saat menghadapi kebuntuan, syaitan begitu mudah membisikkan kata-kata menyesatkan yang boleh membuatkan kita melakukan perkara di luar kawalan.

Ya, sememangnya itulah tugas makhluk ALLAH yang terkutuk tersebut. Mereka tidak pernah berhenti dan berehat daripada menggoda serta menyesatkan manusia.

Justeru, dengan melakukan istikharah ketika kita mempunyai dua persimpangan, ia merupakan cara yang terbaik untuk mengelakkan apa sahaja yang dipilih daripada gangguan syaitan, kata pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau Imam Muda Aran.

IMAM MUDA ARAN

“Itulah beza antara orang beriman dengan tidak. Selagi panduan kita adalah ALLAH dan rasul, maka setelah kita memohon petunjuk dan bantuan, tiada penyesalan sesudahnya.

“Sebaliknya pula, jika kita tidak memohon petunjuk daripada Ilahi, boleh jadi, keputusan yang dibuat itu adalah berpandukan nafsu atau bisikan syaitan. Sudah pasti akhirnya kita akan menyesal,” katanya kepada Sinar Islam melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan ALLAH bagi kami. DIALAH Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada ALLAH jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)

Jelas beliau, solat istikharah mempunyai keistimewaan tersendiri. Bukan sahaja mengikut sunah Nabi Muhammad SAW, tetapi pelakunya juga sebenarnya memohon kebaikan dalam hidupnya.

“Paling signifikan adalah kebergantungan kita kepada ALLAH SWT ketika mana kita melakukan istikharah. Pada saat itu, kita benar-benar mengharapkan jawapan yang sesuai dengan keredaan ALLAH.

“Kadangkala kita mengharapkan hasil yang sesuai dengan diri, tetapi belum tentu ALLAH berkehendakkan demikian kerana DIA MAHA MENGETAHUI mana yang terbaik buat diri kita,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut menegur beberapa kesilapan yang sering kali kita lakukan ketika menunaikan solat sunat istikharah.

Ketahuilah, kita sepatutnya melakukan istikharah dahulu sebelum membuat keputusan atau sebelum ‘berat’ kepada suatu perkara.

“Jika hati kita memang dari awal lagi sudah suka kepada seseorang atau suatu perkara, maka sebenarnya kita telah membuat keputusan dari awal lagi. Tiada sebablah untuk kita lakukan istikharah sebenarnya jika begini sikap kita.

“Seperkara lagi, selain mencari reda ALLAH dan rasul, jangan lupa juga untuk mendapatkan reda ibu dan ayah, disulami pula dengan nasihat dari alim ulama dan para solihin,” nasihat beliau.

Istikharah
BERSIHKAN hati untuk mendapatkan petunjuk demi kebaikan hal keduniaan.

ANEKDOT

Adab-adab ketika solat sunat istikharah

– Mereka yang melakukan solat istikharah perlu mengosongkan hatinya daripada mengikut hawa nafsu dalam pilihannya.

– Serahkan sepenuhnya pilihan kepada ALLAH SWT. Jangan ada sedikit pun pergantungan kepada perkara-perkara lain melainkan sebagai asbab atau wasilah dalam menyampaikan hajat.

– Sentiasa reda kepada ALLAH dengan setiap apa yang ditakdirkan untuk dirinya.

– Sentiasa merasakan hasil daripada istikharah itu adalah bimbingan ALLAH SWT kepada hamba-NYA dalam memperbaiki diri dan mendapatkan kejayaan dunia serta akhirat.

– Lakukan istikharah kepada ALLAH SWT taala dengan hati yang penuh sedar, yakin dan thiqah (percaya) bahawa ALLAH akan memakbulkan setiap pilihan serta memberi kita yang terbaik dalam hidup.

Sumber: https://www.facebook.com/notes/sudin-co-shoes-outlet/solat-istikharah-kelebihan-dan-hukumnya/262182837152939/

Foto: 123rf