ISU tentang aurat antara ipar-duai, biras dan sebagainya kembali topik hangat bila tibanya musim perayaan.

Walaupun lebaran tahun ini tak dapat berkumpul semua adik-beradik, tapi mereka yang duduk berdekatan dalam negeri yang sama mungkin berhasrat ziarah ibu bapa atau ibu bapa mertua masing-masing.

Selain perlu jaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka dan cairan pensanitasi tangan atau kerap mencuci tangan, aurat juga kena dijaga.

Tapi biasalah bila sudah berjumpa, memang kadangkala ‘terbabas’ juga tak jaga aurat masing-masing.

Nak tegur takut ada hati yang terguris. Tak tegur pula kita yang rasa serba salah. Macam mana ni nak buat?

Ada tak kaedah yang soft kita boleh gunakan untuk tegur dan nasihat ahli keluarga kita? Lagi-lagi orang yang berusia daripada kita.

Semua orang sedia maklum, menutup aurat ini wajib hukumnya tidak kiralah lelaki atau wanita.

Justeru, aurat wajib dijaga daripada dilihat dan dipandang oleh orang lain dalam apa jua keadaan.

Selain itu, kita juga perlu menjaga pandangan daripada melihat aurat orang lain.

Apabila kita pulang ke kampung untuk menyambut hari raya, tidak dinafikan memang kadangkala ada yang culas dalam hal batasan aurat.

Jadi, ia hendaklah dicegah dengan hikmah dan mengikut kemampuan yang ada.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Ini antara kaedah yang difikirkan sesuai untuk menegur:

Iklan

1. Sampaikan pesanan kepada ahli keluarga yang paling berpengaruh seperti bapa atau anak sulung dalam keluarga agar menasihati dan mengambil cakna tentang hal itu.

2. Mengasingkan tempat dan membuat penghadang antara lelaki dan perempuan dalam kalangan sepupu, ipar-duai dan biras bagi menjaga aurat masing-masing khususnya ketika menukar pakaian, tidur dan sebagainya.

3. Menghantar tazkirah berkaitan aurat yang perlu dijaga dalam group WhatsApp keluarga dan saudara-mara.

Iklan

4. Membuka topik berbualan sesama sanak saudara berkaitan aurat dan menimbulkan kesedaran kepada mereka untuk menjaganya.

5. Menghadiahkan kepada saudara-mara yang tidak menutup aurat dengan pakaian yang berjenama agar dia terdorong untuk memakainya.

Semoga ALLAH terus memberikan taufik dan hidayah kepada kita serta keluarga untuk terus beramal soleh dan taat kepada perintah-Nya.

(Sumber: Al-Kafi #1218: Kaedah Menegur Aurat Saudara-Mara Ketika Beraya di Kampung, Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan)