Jangan terkejut! Iblis pernah kejutkan khalifah solat pada awal waktu

Untitled design (1)
Untitled design (1)
A
A
A

SUDAH dinyatakan di dalam al-Quran tentang sifat iblis yang sememangnya akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam sehingga hari kiamat.

Peringatan juga telah diberikan kepada umat manusia agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan iblis yang akan menyesatkan itu sekali gus menjurus ke arah neraka jahanam.

"Wahai anak Adam, janganlah sesekali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah berhasil mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga", surah Al-A'raf, ayat 27.

Namun, tahukah anda bahawa iblis pernah mengejutkan seorang khalifah era pemerintahan Bani Umaiyah yang digelar Mu'awiyah.

Menerusi kisah yang dipetik daripada akaun YouTube Islam Popular, kisah tersebut diceritakan oleh penyair Jalaluddin Rumi dalam karya tulisannya Matsnawi.

Diceritakan pada suatu malam ketika Mu'awiyah sedang tidur di dalam istana, beliau telah dikejutkan oleh individu yang tidak dikenali. Setelah diperiksa, ternyata individu tersebut adalah iblis.

Disebabkan berasa tidurnya terganggu, Mu'awiyah telah bertanyakan kepada iblis mengenai tujuan kedatangannya;"Mengapakah kau membangunkan aku?.

Kemudian, jawab iblis;"Waktu solat akan segera tiba dan aku bimbang kau akan terlambat kerana tertidur wahai khalifah."

Tindakan iblis itu nyata tidak dipercayai oleh khalifah kerana baginya, tidak mungkin iblis akan mengarahkan untuk berbuat baik melainkan menyesatkan manusia ke jalan kemungkaran.

Iblis bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

"Ketahuilah wahai khalifah! 700 tahun akau mengabdikan diri kepada ALLAH meskipun akhirnya aku membangkang-NYA.

"Aku membangkang-NYA bukan kerana kufur kepada-NYA, tetapi kerana rasa cemburu terhadap Adam. Aku masih mencintai-NYA wahai khalifah," kata iblis.

Sekali lagi Mu'awiyah tidak mempercayai kata-kata iblis yang disifatkan sebagai pendusta semata-mata.

"Kau yang menyebabkan kehancuran umat Nuh, kaum Adam, kaum Luth, Fir'aun dan seterusnya," jelas khalifah yang masih tidak mempercayai kata-kata iblis.

Makhluk yang dilaknat ALLAH itu tetap tidak mengaku kejahatan yang dilakukan umat manusia disebabkan dirinya. Sebaliknya iblis mengatakan,"Setiap kemungkaran itu dilakukan oleh manusia sendiri kerana didorong oleh hawa nafsu mereka".

Enggan terpedaya dengan tipu helah, Mu'awiyah kemudian berdoa kepada ALLAH dan meminta agar dipelihara serta dijauhkan daripada godaan iblis.

Setelah seketika, iblis akhirnya mengakui tujuan sebenar mengejutkan Mu'awiyah daripada tidur.

"Baiklah khalifah! Aku akan mengungkapkan alasanku membangunkanmu melaksanakan solat tepat waktu. Jika engkau tertidur dan kehilangan waktu solat, maka engkau akan sangat menyesal. Penyesalan di dalam dirimu akan membawamu kepada zikir kepada ALLAH dengan penuh penyesalan.

"Zikir penuh penyesalan itu lebih aku takut daripada solatmu. Ini kerana setiap zikir penuh penyesalan yang kau sampaikan kepada ALLAH itu bernilai dua ratus kali lebih banyak daripada soalt atau doa biasa," kata iblis.

Masya-ALLAH! Takut sungguh iblis kepada zikir penyesalan manusia yang mengakui khilaf atas perbuatan salah.

Semoga kita semua akan terpelihara daripada tipu daya iblis dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ini, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah kepada ALLAH selagi hayat masih dikandung badan.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca