SANA sini kecoh tentang Lathi Challenge yang tiba-tiba viral sejak beberapa minggu lalu di media sosial. Apa tidaknya, ramai yang menyertai cabaran berkenaan.

Tidak kurang juga yang mengecam dan mengatakan Cabaran Lathi itu haram kerana teknik solekan menyeramkan dan sebagainya.

Kepada mereka yang mungkin missed tentang cabaran ini, Lathi Challenge dikatakan bermula dari negara jiran, Indonesia, berdasarkan laporan portal Malaysiakini.

Menurut laporan berkenaan, seorang remaja bernama Jharna Bhagwani yang memulakannya. Dia dikatakan menyahut cabaran pengikutnya untuk membuat kandungan klip video dengan menggunakan lagu Lathi pada 18 Mei lalu.

Dalam klip video berkenaan, Jharna telah memaparkan transformasi solekan berwajah cantik kepada hantu sambil menari mengikut lagu berkenaan dan memakai pakaian tradisional Jawa.

Begitupun, ada pihak yang mendakwa klip berkenaan seolah-olah memuja atau menyeru hantu pontianak. Namun, laporan Malaysiakini menyebut, Lathi merupakan sebuah lagu hit di Indonesia menggunakan judul dan bahasa Jawa yang bermaksud ‘dari lidah, batinku atau tutur kata’ yang diterbitkan pada 27 Februari lalu.

Akan tetapi, cabaran itu tetap haram di sisi agama Islam, tegas Ustaz Syed Bakri Al-Yahya atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Syed. Ia sebagaimana yang dijelaskan menerusi Instagram dan IGTV miliknya baru-baru ini.

Ramai yang tertanya-tanya apakah salah dan haramnya Lathi Challenge berkenaan? Sama ada Lathi, cabaran, solekan, membuat watak hantu ataupun syaitan itu sendiri yang bersalah?

PU Syed memberikan penjelasan terperinci tentang perkara ini. Ujar beliau, melakonkan watak seperti dalam Lathi Challenge dan menjadi ikutan itu seolah-olah kita telah meniru sunah (jalan) yang tidak baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang merintis suatu sunah (yang baik) dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu, serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkan selepasnya. Dan barang siapa yang merintis suatu sunah (yang buruk) dalam Islam, maka baginya dosa amalan yang dirintisnya itu, serta (dia juga beroleh) dosa orang yang mengamalkannya selepas itu.” (Riwayat Muslim)

PU Syed menegaskan, Cabaran Lathi itu haram bersandarkan kepada hadis berkenaan.

“(Ia) sesuatu yang tak sepatutnya dibuat dan ditonjolkan. Zaman kita dipanggil zaman viral sama ada baik atau buruk benda itu, akan ada orang yang follow dan menjadi pentaksub yang sangat luar biasa.

“Maka, adakah dalil ni sangat kuat? (Sesiapa yang) mencetus dan dan merintis sunah yang  buruk, dia akan dapat dosa. Jika orang follow perbuatan tersebut, orang yang mula-mula buat buat tadi pun akan dapat saham dosa daripada apa yang telah dilakukan oleh orang yang mengikutinya,” jelas beliau menerusi IGTV miliknya baru-baru ini.

Iklan

Sekali lagi PU Syed turut menjelaskan, Cabaran Lathi itu tidak bagus, ditambah pula dengan teknik solekan sebegitu walaupun dilakukan oleh mereka yang berhijab.

“Sama ada pakai tudung atau tidak, perbuatan itu sepatutnya jangan dilakukan. Jangan dibuat main-main (kerana) perbuatan tersebut disebut sebagai satu sunah yang buruk yang tak perlu kita buat,” katanya.

Lathi Challenge
PU SYED (gambar kecil) menjelaskan Lathi Challenge haram kerana ia ibarat meniru sunah (jalan) yang tidak baik. -Gambar hiasan

Hentikan Lathi Challenge, tukar cabaran lain

Beliau turut mengingatkan, meskipun cabaran itu diperkenalkan oleh orang seberang sama ada individu tersebut beragama Islam atau tidak. Itu bukan soalnya.

“Apa juga agamanya, mesti ada satu punca yang dia ikuti menyebabkan ideanya datang sebegitu rupa untuk melakukan perkara seperti itu.

“Kenapa kita tak ubah challenge yang lebih Islamik? (Atau) cabaran yang boleh menentukan akhlak kita, challenge yang boleh menyebabkan bertambahnya pahala dan menjauhkan kita daripada dosa, challenge yang menyebabkan kita dekat dengan ALLAH SWT dan jauh daripada pengaruh syaitan, challenge yang menyebabkan kita insaf dengan diri kita?

“Buatlah cabaran (seperti) baca Surah al-Kahfi ke, baca Surah al-Mulk ke, bersedekah, cat rumah, memicit ayah dan mengurut emak, asalkan menjaga SOP (prosedur operasi standard) syariah,” sarannya.

Tambah PU Syed lagi, apalah salahnya jika kita membuat challenge yang mendekatkan masyakat kepada Islam itu sendiri.

(Artikel berkaitan: “Barzakh Challenge” pengganti “Lathi Challenge” versi Norman Hakim)

Iklan

Apatah lagi, dalam keadaan sekarang, apa sahaja perkara-perkara pelik akan menjadi ikutan anak-muda. Inilah perkara yang paling merisaukan, jelasnya.

“Maka, kaedah menyebut kita menyekat sesuatu perkara yang dirasakan  buruk yang menyebabkan suatu keaiban kepada individu dan agama.

“Justeru, bila saya nyatakan Lathi Challenge haram, hujahnya dan dalilnya banyak,” tegasnya.

Beliau turut berpesan agar kita tidak lagi mengikuti cabaran berkenaan yang disifatkannya sebagai mengarut. Sebaiknya, ikutlah challenge yang ALLAH cabar pada kita seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

“Itulah cabaran paling hebat yang ALLAH tawarkan kepada kita. Jadi, berhati-hatilah agar kita tak terpengaruh,” pesannya.

Kepada semua pembaca SinarPlus, pilihlah jalan terbaik untuk diri kita. Jangan menjebakkan diri ke dalam sesuatu yang tidak pasti hingga boleh datangkan natijah yang buruk kepada diri.

Masih belum terlambat lagi jika kita jauhkan diri daripada cabaran-cabaran yang bersifat duniawi ini.

Sumber: Instagram Syed Bakri Al-Yahya

Foto: Freepik