Sambutan Hari Raya Aildiladha lebih istimewa, bermakna daripada meraikan Aidilfitri

July 20, 2021
Oleh Lynn Mazlina

Oleh RAFIUDDIN BIN MOHD YUSOF

HARI Raya Aidiladha atau disebut juga sebagai Hari Raya Haji merupakan salah satu perayaan yang sangat bermakna kepada umat Islam.


Ini adalah kerana peristiwa tersebut berkaitan dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu mengerjakan haji di Mekah.

Jika kita sebagai rakyat Malaysia yang telah didedahkan dan diajar tentang rukun negara dari peringkat sekolah rendah lagi sehingga kita menghafalnya, begitulah juga dengan rukun Islam.

Malahan kita perlu lebih daripada itu sehingga kita benar-benar memahami, melaksana dan menyempurnakan setiap rukun itu semata-mata kerana Allah SWT.

Iklan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Islam dibangunkan di atas lima perkara, persaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan bersaksi (syahadah) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan puasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap Hari Raya Aidilfitri lebih utama atau bermakna jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidiladha.

Iklan

Hal itu mungkin disebabkan kerana tradisi atau pemahaman kita sejak dahulu lagi yang memungkinkan Aidilfitri ini lebih besar daripada Aidiladha.

Namun, jika kita lihat semuanya secara teliti, beberapa perkara yang mungkin memperlihatkan bahawa Aildiladha itu lebih istimewa disebabkan beberapa faktor.

Antaranya adalah bilangan hari setiap umat Islam disunatkan bertakbir berbeza.

Begitu juga dengan sambutan Aidiladha yang lebih ke arah pengorbanan berdasarkan kepada peristiwa yang masyhur di antara Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang mengisahkan suruhan dan tuntutan ALLAH SWT dalam ibadah penyembelihan.

Selain itu juga, sambutan Aidiladha yang berkaitan rapat dengan ibadah haji pastinya menitipkan kerinduan dalam kalangan umat Islam untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci Haram.

Apatah lagi dalam keadaan negara dan dunia yang sedang dilanda wabak Covid-19, pastinya seluruh umat Islam akan sentiasa berdoa agar wabak tersebut akan lenyap daripada muka bumi, sekali gus memberi harapan untuk hadir sebagai tetamu ALLAH SWT.

Kaabah iaitu Baitullah diciptakan oleh ALLAH SWT sebagai tempat manusia untuk berhimpun bersama-sama dalam keadaan yang harmoni dan aman semata-mata untuk mengabdikan diri kepada MAHA PENCIPTA.

Berziarah ke Baitullah juga memberi peluang kepada seseorang untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menerbitkan rasa cinta yang lebih kepada-NYA.

Justeru, ibadah Haji merupakan satu ibadah yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkuasa dan berkemampuan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah Al-Hajj: 27)

Selain Baitullah iaitu Tanah Suci Mekah, tiada lagi tempat yang lebih mulia diciptakan oleh ALLAH SWT di atas muka bumi ini, selain kota Madinah yang juga dikenali sebagai Madinatul Rasul atau Kota Rasulullah SAW.

Hal berkenaan jelas membuktikan bahawa Baitullah yang juga dikenali sebagai tanah haram adalah tempat yang sangat istimewa kepada umat Islam di atas dunia yang fana ini.

Maksud tanah haram adalah tempat Baitullah itu sendiri yang dijaga oleh ALLAH SWT akan kesuciannya daripada dicemari oleh perkara-perkara maksiat atau larangan-larangan daripada penciptanya iaitu Allah SWT.

Ia adalah bertujuan untuk memberikan keselesaan dan ruang yang terbaik kepada hamba-hamba-NYA dalam kesempatan yang diperoleh untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam beribadah kepada-NYA.

Sehubungan itu, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan untuk bersama-sama menjadi tetamu Allah SWT setidak-tidaknya sekali seumur hidup kita.

Jangan sesekali putus asa atau mengalah daripada terus berharap kepada ALLAH SWT.

Sekiranya kita telah mampu dan cukup dari segi tenaga dan wang ringgit, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk bersegera merancang bagi menunaikan rukun Islam ke-5 ini.

Janganlah sesekali bertangguh atau melewatkan sekiranya telah bersedia kerana mungkin kita akan menemui ALLAH SWT terlebih dahulu, walhal kita telah diberikan kesempatan, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Jika ditakdirkan nyawa kita telah diambil oleh ALLAH SWT terlebih dahulu sebelum kita menjejakkan kaki ke bumi Makkah, menjadi tanggungjawab waris terdekat untuk menyempurnakan haji kita.

Oleh demikian, jadikan peristiwa dan perayaan Aidiladha sebagai medan untuk kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan di sisi ALLAH SWT.

Sentiasa berlapang dada untuk berkorban ke arah kebaikan kerana setiap pengorbanan yang baik itu sudah tentu akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Yakin di atas segala usaha dan tindakan yang dilakukan demi membuktikan keimanan kita kepada MAHA PENCIPTA iaitu ALLA SWT.

Jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam apa jua tindakan serta kelakuan kita termasuk pengorbanan dalam kehidupan, sudah tentu ganjaran kebaikan akan kita miliki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan ALLAH SWT, mereka itulah orang yang benar.” (Surah Al-Hujurat: 15)

HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.
HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.

 

RAFIUDDIN ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan merangkap Ketua Unit Hal Ehwal Sialm, UiTM Cawangan Segamat, Johor

Foto BERNAMA, UNSPLASH, FREEPIK & 123RF

 

 

Iklan

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis