TELEFON pintar sekarang seakan-akan menjadi keperluan dalam zaman milenial ini. Masakan tidak, segala benda boleh dibuat dengan telefon berkenaan.

Ia termasuklah untuk kegunaan membeli-belah walaupun hanya barang dapur. Memang boleh dikatakan agak penting jugalah untuk memudahkan urusan kita seharian.

Tapi tak semua orang mampu beli dan mengikut trend terkini. Itu yang kita lihat, bila ada orang nak beli handphone baharu, yang lama pasti kita trade in.

Kadang-kadang kita buat tukaran telefon lama di kedai dan hanya top up sikit je untuk dapatkan yang baharu.

Riangnya rasa hati akhirnya dapat juga merasa telefon baru yang ‘canggih’. Tapi bila kita buat tukaran macam tu, adakah ia dikira ada unsur riba juga ke?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, riba adalah kontrak atas pulangan barang tertentu.

USTAZ MUSTAFAR

“Tidak diketahui wujud persamaannya dalam timbangan tertentu atau melewatkan pertukaran antara dua barang tertentu,” katanya.

Ujar beliau, barang tertentu atau item ribawi yang dimaksudkan di atas adalah berdasarkan sebuah hadis daripada sahabat, Saidina Ubadah bin Samith yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Emas dengan emas; perak dengan perak; tamar dengan tamar; gandum dengan gandum; barli dengan barli; garam dengan garam; apabila berbeza jenis, maka berjual belilah sepertimana yang kamu kehendaki, selagi mana ia dilakukan dengan serah segera (on the spot basic).” (Riwayat Muslim)

Ustaz Mustafar turut menukilkan pandangan Sheikh Dr Muhammad Zuhaily dalam kitabnya al-Muktamad yang membahagikan sebab pengharaman emas dan perak kerana ia adalah mata wang seperti duit, sebagai pengukur nilai dan alat tukaran.

Iklan

Sementara itu, gandum, barli, tamar dan garam pula kerana ia adalah makanan asasi serta sifatnya boleh disimpan dan ditimbang.

Secara asasnya, kata agamawan itu, apabila hendak membuat tukaran ia mestilah barang yang sama seperti emas dengan emas yang sama.

Iklan

“Maka syaratnya kedua-dua itu mesti sama dari sudut timbangan dan serah segera dalam majlis akad. Jika pertukaran berbeza seperti emas dan garam, maka syaratnya adalah serahan segera dalam majlis akad,” katanya.

Merujuk kepada persoalan tentang tukaran handphone secara trade in dan top up dengan wang untuk mendapatkan gajet yang baharu, Ustaz Mustafar menambah, telefon tidak termasuk barang tertentu atau item ribawi.

“Maka, ia bebas ditukar milik, ditentukan harga dan sebagainya.

Namun jika melibatkan enam item ribawi di atas, maka saya nasihatkan rujuk dahulu pakarnya kerana isu riba adalah perkara yang amat susah untuk dikenal pasti,” jelas beliau.

Jadi, tiada masalah jika kita tukar telefon lama dalam erti kata lain, trade in telefon itu dan buat tambahan dengan wang untuk mendapatkan handphone yang baharu.