PENEMUAN rangka reptilia laut gergasi (Ichthyosaur) merupakan satu pencapaian terbesar dalam sejarah ahli paleontologi United Kingdom (UK).
Apa tidaknya, fosil ‘naga laut’ yang dianggarkan berusia 180 juta tahun itu merupakan tinggalan rangka haiwan yang paling besar dan lengkap di rantau berkenaan.
Ichthyosaur sebenarnya menyerupai ikan lumba-lumba jika dilihat dari segi fizikalnya. Ia digelar naga laut kerana mempunyai gigi dan mata yang besar.
Reptilia marin yang pernah hidup bersama dinosaur itu pupus sekitar 90 juta tahun lepas, selepas muncul kali pertama sekitar 250 juta tahun yang lalu.
Menurut laporan CNN, rangka berkenaan ditemukan oleh Joe Davis dari Lercestershire, UK ketika melakukan kerja-kerja mengeringkan sebuah lagun di kawasan perairan Rutland sekitar bulan Februari 2021.
Ia berukuran hampir 33 kaki panjang dengan tengkorak seberat satu tan.
Pakar Paleontologi, Dr Dean Lomax menyifatkan, penemuan fosil terbaharu tersebut paling menakjubkan walaupun sudah banyak sisa tinggalan Ichthyosaur ditemukan sebelum ini.
Beliau yang mengetuai penggalian berskala besar pada bulan Ogos dan September lalu menjelaskan, Ichthyosaurus merupakan pemangsa paling atas dalam rantaian makanan.
"Malah, haiwan purba ini akan memakan spesies yang sama, ikan-ikan besar dan juga sotong,” katanya kepada CNN.
Pun begitu, ujar Lomax, masih ada perkara yang belum dapat dikenal pasti daripada spesimen itu kerana terdapat ketulan batu belum dibersihkan sepenuhnya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa Ichthyosaur daripada spesies itu barangkali pernah ataupun boleh mengandung.
Bahkan, pihaknya juga begitu teruja dan tidak sabar untuk berkongsi tentang perkara tersebut kepada masyarakat.
"Ia benar-benar tinggalan jasad haiwan yang sangat mengagumkan," ujarnya lagi.
Sementara itu, penyelidik di Jabatan Paleobiologi Sains Bumi dan Antropologi di Muzium Sejarah Alam, London, Paul Barret berkata, penemuan reptilia fosil terbesar selain dinosaur akan sentiasa tersemat dalam ingatannya selama lebih 20 hingga 30 tahun.
Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!
Meskipun bukan dirinya menemukan ‘khazanah’ berharga berkenaan, Barret yang pakar dalam kajian reptilia pupus mengesahkan bahawa rangka berkenaan merupakan spesies yang disebut kosmopolitan (bersifat sejagat) yang sebelum ini dijumpai di Jerman.
Spesimen berkenaan difahamkan akan dianalisis oleh pakar paleontologi dan prosesnya mengambil masa sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan.
Sumber CNN
Foto Canva, CNN