Suami taasub tutorial bersalin YouTube, ibu maut tumpah darah uri tak keluar. 'Sengaja bersalin di rumah, langsung tak daftar...'

Iklan

NIAT suami isteri untuk menyambut kelahiran cahaya mata kedua secara semula jadi di rumah bertukar menjadi sebuah tragedi berdarah yang meragut nyawa.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah kampung di daerah Tiruppur, India, mangsa, K Sasikala, 32, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Coimbatore akibat komplikasi tumpahan darah yang serius atau post-partum haemorrhage.

Iklan
Iklan

Menurut jurucakap pihak berkuasa tempatan, mangsa dipercayai mula mengalami tanda-tanda mahu bersalin sekitar awal pagi sebelum proses melahirkan anak itu dikendalikan sepenuhnya oleh suaminya, Kolanthasamy, 35, bersama ibu lelaki berkenaan.

Tanpa sebarang latar belakang perubatan, kedua-dua mereka dilaporkan hanya bersandarkan kepada video tutorial 'natural childbirth' yang ditonton di YouTube sebagai panduan sepanjang proses tersebut

Iklan

Selepas semalaman menanggung kesakitan, dia akhirnya melahirkan bayi tersebut sekitar jam 5.42 pagi pada hari Rabu.

Sekadar gambar hiasan

Iklan

Komplikasi semakin meruncing apabila uri gagal dikeluarkan dan mengakibatkan pendarahan berterusan tanpa henti dan mangsa pengsan.

Panik dengan situasi berkenaan, keluarganya kemudiannya bergegas membawa Sasikala ke Hospital Kolej Perubatan Kerajaan Erode sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut. 

Bagaimanapun, akibat kehilangan terlalu banyak darah, nyawanya tidak dapat diselamatkan ketika dirawat di hospital berkenaan.

Menurut polis, ini bukanlah kehamilan pertama bagi pasangan terbabit. Mereka sebelum ini telah dikurniakan cahaya mata pertama pada tahun 2020 yang dilahirkan menerusi kaedah pembedahan Caesarean.

Dikenali sebagai Vaginal Birth After Cesarean (VBAC) atau bersalin normal selepas pembedahan Caesarean,  prosedur tersebut mempunyai tahap risiko klinikal tertentu.

Meskipun mangsa berjaya melahirkan seorang bayi perempuan yang dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan stabil, detik kegembiraan keluarga itu hanya bertahan seketika.

Sekadar gambar hiasan

Namun, bagi kehamilan kedua ini, mereka didapati sengaja memilih untuk bersalin di rumah dan langsung tidak mendaftarkan kandungan tersebut di bawah sistem pemantauan ibu mengandung rasmi kerajaan.

Bertindak atas laporan perubatan, pihak polis Uthukuli telah menahan Kolanthasamy dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 105 Bharatiya Nyaya Sanhita kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Walaupun ahli keluarga mangsa pada awalnya enggan memanjangkan isu tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu perancangan kelahiran sendiri, pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan undang-undang tetap perlu diambil memandangkan kes itu melibatkan pengabaian aspek keselamatan nyawa.

Sumber: The Hindu, The Deccan Herald