‘Saya tak dapat sikat rambutnya lagi’ – Tular kongsi video masak, Nara Smith pilu anak 2 tahun bertarung nyawa lawan kanser

Iklan

SERING berkongsi video memasak 'from scratch, personaliti media sosial dan model terkenal, Nara Smith, berkongsi hantaran pilu tentang perjalanan cahaya mata ketiganya, melawan kanser.

Menerusi hantaran di Instagram, Nara berkongsi kompilasi menyayat hati si kecil Whimsy Lou, 2, yang sedang bertarung dengan barah yang tidak dedahkan jenisnya.

Iklan
Iklan

Isteri supermodel Lucky Blue Smith itu meluahkan rasa hiba apabila kanser seolah-olah merampas momen-momen kecil yang tidak pernah disangka akan dirinduinya sebelum ini.

Iklan

Antara yang paling memberi kesan mendalam buat dirinya adalah apabila terpaksa melihat si kecil itu kehilangan rambut kerinting comelnya sedikit demi sedikit.

"Kanser mempunyai cara tersendiri untuk merampas perkara-perkara yang tidak pernah kita sedari akan kita tangisi.

Iklan

"Hari ketika saya melalukan jari-jari pada rambutnya dan helaian rambut melekat pada jari, saya sedar yang saya tidak akan dapat menyikat rambut Whimsy lama lagi," tulisnya.

Tambah model kacukan Afrika Selatan-Jerman itu, keguguran rambut adalah salah satu peringatan nyata yang terawal bahawa kehidupan mereka sekeluarga telah berubah sepenuhnya.

Melihat bantal dipenuhi rambut dan membuang sisa rambut yang tersangkut pada celah jari setiap kali selesai memandikan Whimsy menjadi antara fasa paling sukar untuk ditelan.

Bagaimanapun, di sebalik ujian berat itu, Nara yang terkenal dengan privasi tentang anak-anaknya mempunyai alasan yang kuat untuk berkongsi fasa duka tersebut kepada umum.

"Jika berkongsi cebisan kisah kami ini dapat membantu walaupun satu keluarga untuk merasa kurang bersendirian atau mendorong seseorang untuk mengetahui lebih lanjut tentang kanser kanak-kanak, maka tindakan membuka bahagian hidup kami yang sensitif ini adalah berbaloi," kongsinya lagi.

Nara turut berkongsi khabar gembira dan perkembangan positif mengenai kesihatan anaknya itu apabila menyedari rambut kerinting Whimsy kini sudah mula tumbuh semula.

Rata-rata warga maya dan pengikut setia Nara di ruangan komen tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta mendoakan agar Whimsy diberikan kesembuhan sepenuhnya dan terus kuat melawan penyakit tersebut.

Nara terdahulu mendedahkan dia dan suami menyedari sesuatu yang luar biasa pada badan anak perempuan mereka itu lalu segera mendapatkan rawatan kecemasan.

Setelah menjalani siri ujian imbasan X-ray, ultrasound dan ujian biopsi, Whimsy Lou didiagnosis dengan kanser pada penghujung 2025.

Walaupun Smith tidak mendedahkan jenis kanser berkenaan, dia menyatakan penyakit tersebut telah merebak dan anak perempuannya terpaksa memulakan rawatan kemoterapi.

Sekadar info, Nara dan Lucky Blue berkahwin pada tahun 2020 dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan bernama Rumble Honey, Whimsy Lou dan Fawnie Golden serta seorang anak lelaki bernama Slim Easy.

Lucky Blue mempunyai seorang anak perempuan, Gravity Blue, daripada hubungan terdahulu.