BAYANGKAN kita hidup tanpa lidah yang merupakan salah satu organ terpenting.
Bagaimana agaknya cara untuk makan? Bagaimana mahu bercakap dan bagaimana agaknya kita berdepan dengan adik beradik dan masyarakat? Pastinya, semua serba tidak kena.
Rupa-rupanya di sebalik bilion manusia di muka bumi ini, salah seorang wanita yang dikenali sebagai Cameron Newson, 42, berdepan dengan situasi yang begitu sulit itu.
Baca juga Awas, cantik tapi beracun! Tersentuh, termakan daun pokok ini boleh sesak nafas, bengkak lidah
Lapor Daily Star, Newson yang berasal dari Florida, Amerika itu pada asalnya menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Pun demikian, selepas menjalani diagnosis di sebuah hospital, beliau disahkan mengalami kanser lidah pada usia 33 tahun.
Mengimbau balik detik-detik duka itu, cerita Newson, kesemuanya bermula apabila terdapat tompokan putih pada lidahnya dan ia sangat menyakitkan.
"Setelah mendapatkan rawatan doktor, saya diberitahu bahawa keputusannya negatif dan tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya kepada Daily Star.
Namun begitu, beberapa bulan selepas itu, lidahnya menjadi sangat sensitif dan bermulalah episod menakutkan dalam kehidupan wanita itu.
Berjumpa dengan doktor gigi tidak menyelesaikan masalahnya. Apabila dirujuk kepada Pakar Hidung, Telinga dan Tekak di sebuah institusi perubatan setelah tompokan putih berubah menjadi warna pink, akhirnya beliau disahkan menghidap kanser lidah.
Keputusan itu kata wanita tersebut, mengambil masa tiga tahun untuk diketahui.
"Ketika tahu keputusan itu, saya seperti disabitkan hukuman mati walaupun jauh dari sudut hati, saya akan cuba melawan sakit ini.
"Saya baru berusia 33 tahun ketika didiagnosis dan dalam keadaan baik, namun tidak menyangka ia boleh terjadi kepada saya,” katanya dengan nada sedih.
Hal itu sememangnya merobek hatinya. Newson kehilangan berat badan lebih 3 kilogram gara-gara tidak boleh makan dan minum.
PEMBEDAHAN LIDAH
Daily Star melaporkan Newson menjalani tiga kali kemoterapi dan akhirnya tumor semakin kecil dan baik.
Namun begitu, wanita berkenaan nampaknya tidak bernasib baik kerana perlu membuang sebahagian tumor tersebut.
Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk pergi ke Pusat Kanser di Texas.
Newson memberitahu Daily Star, Pakar Bedah Mulut dan Pakar Bedah Plastik bekerjasama untuk mengeluarkan lidah di sebelah kirinya.
"Sepatutnya doktor mahu mengambil kulit dari lengan saya untuk mengantikan lidah, tetapi kulit saya tidak mencukupi untuk menggantikan dengan lidah yang telah dikeluarkan.
"Kemudian, pakar mengambil bahagian otot dan kulit dari peha untuk menggantikan bahagian lidah di sebelah kirinya," katanya.
Kesengsaraan beliau tidak berhenti setakat itu kerana selepas beberapa minggu pembedahan, mulutnya bengkak dan sukar bernafas pula.
Selama enam bulan itu juga, beliau tidak boleh bercakap dan hanya menggunakan tiub untuk makan dan minum.
Pun demikian, hasil kesabarannya, Newson gembira dengan perubahan lidahnya kini.
Meskipun beliau terpaksa belajar semula cara bercakap, mengunyah, minum dan menelan, itu bukan satu masalah baginya.
Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!
"Saya hanya boleh mengunyah di sebelah kanan lidah yang merupakan bahagian asal yang tak disentuh, manakala bahagian kiri lidah masih belum biasa kerana ia masih melekat pada gusi saya.
"Perkara yang paling teruk adalah makanan selalu terkeluar dari mulut ketika saya makan,” katanya.