SEMALAM, semua penerbangan di Lapangan Terbang Istanbul dibatalkan buat hari kedua manakala kenderaan peribadi dilarang memasuki jalan-jalan raya di kawasan bandar.
Itu berikutan salji tebal yang turun menyebabkan lalu lintas lumpuh dan ramai terkandas di bandar terbesar Turki tersebut.
Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!
Menerusi rakaman video dari Lapangan Terbang Istanbul yang merupakan salah satu terbesar di dunia, menunjukkan landasan pesawat diselimuti salji tebal dengan beberapa pesawat dan kenderaan hampir tidak kelihatan.
Selain itu, pegawai-pegawai awam juga diberi cuti pentadbiran untuk mengurangkan jumlah individu di luar.
Sementara itu, satu video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan seorang lelaki bermain ski di jalan raya pada lewat Isnin, dengan beberapa individu melambaikan tangan sedang dia meluncur lalu.
Lapangan Terbang Istanbul menyatakan di laman webnya bahawa operasi penerbangan dibatalkan sehingga pukul 10.00 pagi waktu tempatan pada Selasa kerana keadaan cuaca buruk.
Syarikat penerbangan Turkish Airlines turut membatalkan semua penerbangan dari lapangan terbang itu.
Selain itu, Penguasa Bencana dan Kecemasan turut melaporkan, sekitar 4,600 individu terkandas di jalan raya dan beribu-ribu lagi orang diberikan tempat tinggal sementara.
Sumber : MediaCorp, Reuters