BUKAN kali pertama kita mendengar kes rogol melibatkan pelajar sekolah.
Namun apa yang berlaku di negara seberang ini menjadi perhatian seluruh negara apabila kes rogol melibatkan 13 pelajar di sekolah berasrama penuh agama.
Mahkamah Daerah Bandung di Jawa Barat itu mendapati Herry Wirawan,36, bersalah merogol 13 pelajar perempuan yang kesemuanya di bawah umur.
Malah sekurang-kurangnya lapan daripada mereka mengandung.
Ia mula terbongkar apabila keluarga salah seorang mangsa melaporkan Wirawan kepada polis kerana merogol dan menghamilkan anak perempuan remaja mereka tahun lalu.
Wirawan tiba di mahkamah dalam keadaan bergari dan menundukkan kepalanya ketika hakim, Yohannes Purnomo Suryo Adi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Dia bagaimanapun meminta hakim meringankan hukuman kerana mahu membesarkan anak-anaknya.
Mahkamah turut berkata, pampasan untuk mangsa akan dibayar oleh kerajaan.