SELAMA ini, pernah atau tidak kita bayangkan sebuah kereta lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti katil, kolam renang dan padang golf di dalamnya?
Bila difikirkan, memang mustahil untuk semua elemen tersebut boleh wujud dalam sebuah kenderaan.
Namun, The American Dream iaitu sebuah kereta terpanjang membuktikan hal itu bukan satu angan-angan apabila hadir dengan spesifikasi tersebut.
Merujuk artikel Guinness World of Record (GWS), Jay Ohrberg merupakan individu yang mencipta The American Dream di Burbank, California, Amerika Syarikat pada tahun 1986.
Ohberg telah memanjangkan limousin itu hingga 30.5 meter untuk merangkul gelaran Guiness World Record.
Jika diletakkan 12 kereta Smart Fotwo, limousin itu masih lebih panjang daripada itu!
Uniknya, The American Dream mempunyai kemudahan seperti katil yang besar, kolam renang, jakuzi, papan selam, padang golf mini, helipad dan paling penting boleh memuatkan 75 orang pada satu-satu masa.
Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi beberapa buah televisyen, peti sejuk dan telefon.
Fuh! Kalau duduk berhari-hari dalam kereta juga tidak mengapakan?
SEJARAH THE AMERICAN DREAM
The American Dream menjadi terkenal selepas diiktiraf oleh GWR.
Merujuk artikel yang sama, limousin itu dahulunya sering disewakan untuk penampilan sinematik dan banyak dipaparkan dalam filem.
"Setelah beberapa lama, kereta itu beransur-ansur hilang perhatian kerana memerlukan penyelenggaraan.
"Lama-kelamaan, ia berkarat dan sebahagiannya tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.
Pun begitu, pihak yang terlibat dalam penyelenggaraan The American Dream, Michael Manning berkata, pihaknya memerlukan banyak usaha untuk memulihkannya selepas bertahun-tahun ditinggalkan di belakang gudang New Jersey dalam keadaan yang menyedihkan.
"Saya melihat kereta itu dalam keadaan tingkap pecah, tayar pancit dan diselaputi grafiti tetapi ia tetap menarik minat saya.
Baca juga Dari jalan raya ke udara kurang 3 minit, kereta terbang AirCar bakal dijual dalam masa 12 bulan
"Bahkan, saya mahu mendapatkan kereta ini dan akan membawa pulang untuk memulihkannya,” ujarnya.
Lelaki itu menambah, pada asalnya, E-bay tidak mahu menjual kenderaan itu disebabkan tawaran yang sangat rendah.
"Oleh itu, saya membuat tawaran untuk bekerjasama dalam perancangan dan pemulihannya, namun sekali lagi gagal kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu," katanya.
BERJAYA DISELENGGARA
Dipendekkan cerita, pada tahun 2019, Michael Dezer iaitu pemilik Muzium Kereta Dezerland Park melihat kereta ikonik itu dan menghubungi Manning.
Manning bersetuju untuk bekerjasama dengan Dezer dalam projek pemulihan The American Dream yang menjadi impiannya untuk disiapkan.
Jelas Manning, mereka terpaksa mendapatkan barang ganti untuk beberapa bahagian kereta yang telah rosak.
"Pelbagai kesukaran yang dihadapi terutamanya mencari bumbung Oldsmobile Vista Cruiser. Namun, akhirnya saya menemui seseorang yang menjualnya,” katanya.
Selepas pemulihan yang memakan masa yang lama, The American Dream dicat dan diganti set roda yang baharu.
Mungkin satu 'kelemahan' pembikinan kenderaan berkenaan, ia tidak boleh dibawa di atas jalan raya kerana terlalu panjang.
"Ia dibina untuk dipamerkan dan akan diletakkan bersama koleksi kereta unik dan klasik yang mengagumkan di Muzium Kereta Dezerland Park.
"Keunikannya perlu dilihat sendiri dan mereka pasti akan kagum dengan saiz kereta itu,” beritahunya.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Apa-apa pun, bagi SinarPlus, limousin terpanjang itu memang menakjubkan.
Kalau diberi peluang kepada penulis duduk tiga hari dua malam atau lebih daripada itu, penulis memang tidak akan menolak.