BAYANGKAN kalian sedang bermain mesin tikam dan kapsul ganjaran yang diterima ialah tiket penerbangan!
Ini bukan prank semata-mata, tetapi inisiatif unik itu dilakukan oleh sebuah syarikat penerbangan tambang murah di Jepun, Peach Aviation.
Bagi merancakkan jualan selepas fasa endemik, Peach Aviation mula menjual tiket pada harga bermula 5,000 yen (RM168.13).
Jualan hanya melalui mesin vending yang diletakkan di pusat beli-belah Nagoya Parco di wilayah Sakae.
Lapor mainichi.jp, mesin vending yang dipanggil 'gacha gacha' itu menarik perhatian ramai meskipun destinasi pelancongan masih kekal misteri.
Baca juga Nasi kandar sampai ke Jepun, sajian laku keras sampai ramai sanggup beratur panjang
Sebenarnya, Peach Aviation mengendalikan tiket penerbangan antara lapangan terbang Chubu ke empat lokasi domestik.
Empat destinasi tersebut seperti Sapporo dan Sendai di utara Jepun, manakala Okinawa dan Ishigaki di barat daya Jepun.
Ramai yang beranggapan empat tempat tumpuan pelancongan berkenaan menjadi destinasi istimewa yang ditawarkan.
Tidak hanya tiket percuma, nombor siri yang tertulis dalam kapsul itu akan memberikan pelanggan ganjaran mata perbatuan bernilai lebih 6,000 yen (RM201.76).
Jika bertuah, kapsul berisi 'lot perjalanan emas' membolehkan pemenang menerima mata perbatuan tambahan bernilai 30,000 yen (RM1,008.78).
Bukan itu sahaja, misi misteri yang berjaya diselesaikan juga diberikan ganjaran lumayan. Menarik bukan?
Pembayaran juga mudah apabila hanya menggunakan aplikasi PayPay di telefon pintar sahaja.
Baca juga 5 kaedah orang Jepun didik peribadi si kecil. Poin nombor 4 memang perlu diberi perhatian
Percaya atau tidak, selepas skim jualan unik itu dilancarkan sejak Ogos lalu di Osaka dan Oktober lalu di Tokyo, sambutan diberikan memang luar biasa.
Sebanyak 4,800 kapsul berjaya dijual, sekali gus menjadikannya antara produk paling laris di sana.
Memang genius idea seperti itu bukan? Barangkali kaedah sama boleh diimplemenkan di Malaysia.
Mana tahu ramai yang bertuah menerima tiket percuma ke lokasi percutian domestik.
Selain dapat membantu merancakkan kembali sektor pelancongan, industri penerbangan boleh dibangunkan semula.
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus.
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI.