PANDAI melukis dan mewarna dengan cara cukup kreatif antara kelebihan diri yang bukan semua orang boleh memilikinya.
Apatah lagi, anugerah seumpama itu jika digilap dengan baik, berupaya menjadi permata yang bersinar sekali gus dapat mengubah dunia.
Di Indonesia misalnya, kisah kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu sering menjadi tular di media sosial kerana dirinya yang cukup berbakat.
Elvaretta Cicelyana Yocelyn atau popular dengan nama Celyn mencuri tumpuan media di sana apabila dikatakan mahir dalam seni lukis.
Mana tidaknya, bukan sahaja sering memenangi pertandingan melukis dan mewarna, Celyn tidak pernah 'missed' membawa pulang piala kemenangan.
Lapor detik.com, kanak-kanak perempuan yang berasal dari Desa Puro, Karangmalang, Sragen, Jawa Tengah itu mempunyai kisah menarik dan penuh inspirasi untuk dikongsi.
Setakat artikel ini ditulis, sebanyak lebih 800 piala dan hadiah kemenangan pertandingan seni menjadi koleksi kebanggaan keluarga tersebut.
Malah lebih mengagumkan, si kecil itu mengajar kelas seni untuk sekolahnya. Memang hebat!
Memetik kata bapanya, Joko Sunoto, dirinya juga sudah melihat bakat anak kesayangan sejak umurnya lima tahun.
"Celyn buat pertama kalinya mewarna gambar lembu di kebun menggunakan krayon. Saya lihat dia mewarna dengan skil sangat bagus dan tidak terkeluar daripada garisan gambar.
Baca juga Remaja 17 tahun cipta kasut pintar, mudahkan OKU penglihatan berjalan
"Dia pandai membuat kontra dan gred warna tanpa belajar dengan mana-mana pun. Jadi, saya ajar dan bawanya ke pertandingan dan hasilnya memang membanggakan," katanya.
Antara karya yang membuatkan ramai terkesima ialah gambar penuh cerita yang mana Celyn melukis seorang kanak-kanak sedang mencanting batik, menjemur kain yang kemudiannya digunakan oleh penari di pentas dengan iringan gamelan.
MEMANG GENIUS!
Prestasi yang cemerlang itu membuatkan pihak sekolah turut memberikan kepercayaannya untuk mengajar bidang seni.
Ya! Percaya atau tidak, budak perempuan tersebut menjadi cikgu cilik untuk mengajar tiga kelas yang berbeza.
Bukan setakat itu sahaja, Celyn turut membantu peserta pertandingan di peringkat sekolah menengah dan pasukan tersebut berjaya menyapu bersih semua piala.
Malah, beliau juga berjaya menewaskan peserta yang jauh lebih senior daripadanya dan membawa pulang piala tempat pertama.
Apa yang membuat ramai kagum, hadiah kemenangan yang dikumpul kini sudah mencecah 80 juta rupiah (RM23,943.23).
Baca juga Serius main game tetap 8A, rekod cemerlang atlet e-sukan SPM 2020
Saat ditanya Celyn apa yang mahu dilakukan dengan hasil tabungan tersebut, kanak-kanak kreatif itu memasang impian untuk membeli sebuah kereta untuk keluarganya.
Pun begitu, sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, beliau terpaksa memperlahankan aktivitinya menyertai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Tidak mustahil selepas ini Celyn kembali bangkit dan menyertai semula pertandingan melukis selepas semua melepasi fasa endemik.
Baca juga Rupanya ini petua berkesan didik anak menjadi bijak, kreatif dan berakhlak baik
Moga kisahnya memberi inspirasi buat anak muda yang minat dengan dunia seni lukisan dan mewarna.
Setiap bakat yang terpendam jika diberikan perhatian sewajarnya, ia mampu mengubah seseorang itu menjadi yang lebih baik.
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI