DALAM setiap majlis perkahwinan, bukan sahaja pasangan, malah ahli keluarga mahu merakam detik-detik indah mereka.
Seperti biasa, jika mahu dapatkan gambar yang hebat, jurugambar profesional akan dilantik berbuat demikian.
Jika bajet kurang, orang terdekat sahaja yang membantu. Perkara yang paling penting, ada foto untuk ditatap selepas majlis berakhir atau pada masa mendatang.
Namun, apa yang berlaku di India memang sedikit pelik dan boleh membuatkan kita geleng kepala.
Seorang wanita tidak mahu meneruskan majlis disebabkan bakal suaminya lupa untuk membawa jurufoto bersama, lapor India.com.
Menurut cerita, majlis perkahwinan itu melibatkan seorang wanita yang merupakan seorang anak petani yang tinggal di kawasan balai polis Mangalpur, Kanpur Dehat.
Beliau telah ditetapkan berkahwin dengan seorang lelaki yang berasal dari Bhognipur.
Segala persiapan telah pun dilakukan termasuk pelamin telah dihias cantik untuk majlis ‘jaimal’ apabila perarakan tiba.
Bagaimanapun, pengantin perempuan tiba-tiba enggan untuk mengambil bahagian dalam majlis berkenaan sebaik beliau menyedari ketiadaan jurugambar untuk merakam momen penting majlisnya.
Wanita itu bertindak di luar dugaan apabila meninggalkan pelamin dan terus ke rumah jirannya.
Baca juga Hantaran kahwin punca tiga wanita di India tamatkan riwayat hidup. Ini kronologi kejadian
Rata-rata tetamu yang hadir berusaha untuk terus memujuk dan menyakinkan mempelai. Namun, usaha tersebut hanya sia-sia.
Wanita berkenaan dengan bersahaja berkata:"Bagaimana seorang lelaki yang tidak mengambil berat tentang perkahwinannya pada hari itu boleh menjaganya pada masa hadapan?"
Siapa sangka, kes seumpama itu kemudian dirujuk ke balai polis.
Bagaimanapun, Sub Inspektor Balai Polis Mangalpur, Dori Lal berkata, ia telah diselesaikan bersama.
"Mereka (sesama keluarga) bersetuju untuk memulangkan semula barangan dan wang tunai yang diberikan antara satu sama lain.
"Pengantin lelaki juga akan pergi ke tempat asalnya tanpa pengantin perempuan,” ujarnya sambil menambah pertikaian itu berpunca daripada pengantin lelaki yang tidak mengatur jurugambar dan juruvideo menyebabkan pengantin perempuan enggan berkahwin.
Membaca kisah itu, tidak tahulah SinarPlus nak cakap apa. Adakah tindakan itu wajar atau tidak, sama-sama kita renungkan.
Ada banyak cara sebenarnya untuk selesaikan masalah sebegitu. Tak perlu rasanya sampai hendak membatalkan perkahwinan. Entahlah.
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI