KASIH seorang kakak! Apabila adik merajuk, sanggup menulis surat sepanjang 434 meter untuk memujuk.
Seorang wanita di India gigih menulis surat sepanjang 434 meter kepada adik lelakinya yang dikatakan merajuk kerana terlupa memberi ucapan sempena 'Hari Adik' yang lalu.
Menurut laporan Independent, surat seberat lebih 5 kilogram (kg) itu ditulis wanita dikenali sebagai Krishnapriya yang mengambil masa selama 12 jam untuk disiapkan.
Difahamkan wanita berkenaan membuat keputusan untuk membuat surat itu bagi meluahkan rasa sayang dek kerana adiknya, Krishnaprasad telah menyekat nombor telefon di aplikasi WhatsApp.
Selain itu, surat itu dibuat agar hubungan mereka adik-beradik juga pulih seperti biasa.
Dalam pada itu, surat sepanjang 434 meter itu telah diterima oleh adiknya dua hari selepas sambutan Hari Adik.
Bagaimanapun, Krishnaprasad pada awalnya menyangkakan ia adalah bungkusan untuk hadiah hari jadinya.
Namun, selepas dia membuka bungkusan itu, lelaki berkenaan terkejut melihat surat seberat 5.27kg.
"Saya terlupa untuk mengucapkan selamat Hari Adik pada dia. Pada petang, dia tidak langsung menjawab panggilan saya dan juga menyekat saya di WhatsApp.
"Jadi saya memutuskan untuk menulis surat kepadanya. Saya mula menulis pada kertas bersaiz A4 tapi tak lama lepas tu saya sedar yang kertas tak cukup sebab banyak perkara yang saya nak sampaikan kepada dia.
"Saya pun beli 14 gulung. Saya mengambil masa 12 jam untuk menyiapkan keseluruhan surat berukuran 434 meter dan seberat 5kg," ujar Krishnapriya.
Tambahnya, dia turut meluahkan rasa cinta dan sayang kepada adiknya yang lebih muda tujuh tahun daripadanya.
Ujarnya lanjut, mereka sangat rapat dan suka berkongsi hubungan yang sangat mesra. Semasa membesar, mereka juga seperti kembar memapakai baju sama warna pada majlis-majlis khas keluarga.
Walau bagaimanapun, Krishnaprasad meluahkan rasa bahagia apabila dia menerima surat yang ditulis oleh kakaknya itu.
Baca juga Gara-gara leka memasak, ibu tak perasan anak tertelan pisau cukur. Apa yang terjadi selepas itu?
[caption id="attachment_5254" width="800"] Sentiasa hormat menghormati elak bergaduh adik-beradik[/caption]
Sementara itu, lakukan aktiviti ini untuk mengeratkan hubungan adik-beradik;
1. Solat berjemaah
Solat secara berjemaah juga ialah cara yang terbaik untuk mengeratkan silaturahim. Apatah lagi selepas bersolat kita akan bersalaman sesama adik-beradik dan berdoa bersama-sama.
2. Makan bersama
Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Tambahan lagi jika melibatkan adik-beradik dan ahli keluarga yang ramai, keraplah makan bersama-sama.
3. Peranan ibu bapa
Dalam usaha mengeratkan hubungan sesama keluarga, peranan ibu bapa sangat penting. Jangan sesekali mengabaikan anak-anak dan yang paling penting elakkan sikap pilih kasih dan berat sebelah terhadap anak-anak.
4. Berkongsi masalah dengan adik-beradik
Kebanyakan orang kerap menjadikan sahabat karib sebagai tempat meluahkan masalah, tetapi ahli keluarga juga adalah tempat yang lebih sesuai untuk menjadi penasihat dan pendengar yang baik.
5. Melakukan aktiviti bersama-sama
Jangan selesa apabila bersendirian tanpa keluarga dan adik-beradik. Lakukanlah apa-apa jua aktiviti secara bersama-sama. Ambillah waktu untuk bercuti bersama-sama ataupun melakukan aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti berkelah, membeli-belah dan sebagainya. Paling terbaik, adakan hari keluarga.
6. Menyambut hari penting
Ahli keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan meraikan hari-hari penting bagi setiap ahli keluarga. Contohnya meraikan ulang tahun setiap adik-beradik, ulang tahun perkahwinan ibu dan ayah dan sebagainya.
7. Memberi hadiah dan buah tangan
Contohnya jika pulang dari bercuti atau melancong, belilah apa-apa sahaja untuk ahli keluarga, biarlah tidak mahal tetapi tetap ada untuk mereka.
8. Sentiasa berkomunikasi
Seringlah berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang berjauhan. Dengan kemudahan teknologi hari ini sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak berhubung.
9. Saling menghormati
Hal yang sangat perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah rasa hormat antara satu sama lain, terutamanya bagi adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tidak bertentangan dengan syariat agama.
10. Menghargai dan mencari kelebihan mempunyai adik-beradik
Ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak untuk bersyukur kerana diberi adik-beradik. Ajarlah mereka mensyukuri apa yang ada dan membandingkan diri dengan mereka yang tidak mempunyai adik-beradik.
11. Mudah memaafkan
Adalah perkara biasa jika terdapat perselisihan antara adik-beradik. Namun, hal tersebut jangan dipanjangkan dan segera diselesaikan daripada dibiarkan berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulurkan kemaafan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.