‘MINI love’ adalah simbol isyarat tangan yang ditunjukkan dengan menyilangkan ibu jari dan telunjuk hingga membentuk simbol hati.
Berasal dari Korea Selatan, ia mewakili ungkapan cinta, terima kasih dan penghargaan yang popular di seluruh dunia.
Baru-baru ini seorang kanak-kanak beruniform bomba menjadi tular susulan perbuatan yang asalnya ingin menunjukkan isyarat ‘mini love’. Tidak dapat dipastikan usianya, bagaimanapun tersilap dan dilihat sebagai isyarat ‘jari tengah’ kepada orang ramai ketika perarakan lintasan kontinjen sempena Hari Kebangsaan ke-65.
Kejadian berkenaan dirakam orang ramai dan kemudiannya dimuat naik di laman sosial menyebabkan ia viral sekelip mata.
Baca juga:‘Baby merdeka’, Mona Allen, Pekin sambut cahaya mata pertama 31 Ogos
Bapa kanak-kanak tersebut tampil memohon maaf menerusi Facebook dan menjelaskan situasi sebenar.
"Saya dengan ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, selaku ayah kepada yang tersilap ‘mini love’ tu. Dia sebagai peminat bomba memang teruja dapat terlibat dalam perbarisan kemerdekaan walaupun bangun pukul 5.00 pagi.
"Dari semalam sangat teruja dapat pakai baju bomba. Tetapi saya sebagai bapa tetap bangga akan keberaniannya turut serta walaupun bidan terjun,” titipnya.
DALAM PADA ITU, BELIAU TURUT MEMINTA WARGA MAYA YANG BERKONGSI VIDEO BERKENAAN BERTINDAK MEMADAMKANNYA KERANA BIMBANG IA MEMBERIKAN KESAN PSIKOLOGI KEPADA SI ANAK.
"Saya sebagai bapa kepada kanak kanak tersebut memohon maaf kepada semua. Dan saya memohon sepuluh jari (meminta) agar video itu dapat diturunkan agar tidak lagi dikecam dan menjadi asbab masalah psikologi kepada anak saya.
"Mungkin dengan jasa baik sebesar ini ALLAH memuliakan dan menambah rezeki yang nampak serta tidak nampak dimata. Amin Ya Rabb,” kongsinya.
Susulan perkongsian berkenaan, warga maya rata-rata memberikan sokongan buat bapa berkenaan di samping mengakui ragam kanak-kanak.
-"Saya rasa dia nak buat isyarat ‘peace’ sekali terbabas, apa pun terbaik untuk dia. Bukan semua budak boleh berani begitu tanpa kehadiran ibu bapa dan perlu berhadapan orang yang terlalu ramai.”
-"Mini love ikutkan susah nak buat. Biasa budak-budak tidak berapa tahu sangat cara hendak pusing jari. Mama ayah adik jangan susah hati.”
-"Tak mengapa, ini khilaf seorang kanak-kanak. Dia bukan sengaja. Insya-ALLAH anak itu jadi harapan keluarga.”
-"Tahniah, anak tuan seorang yang berani. Semoga beliau menjadi seorang wira negara bila dewasa nanti. Kesilapan yang tidak disengajakan, kami memahaminya.”
-"Jangan risau, anak encik tidak bersalah. Jangan down dengan segelintir kata nista. Kami semua doakan anak encik menjadi seorang yang hebat suatu hari nanti. Jadi bomba yang hebat. Harap tahun depan boleh ikuti perarakan merdeka lagi.”
Baca juga: Di sebalik maksud logo Malaysia Prihatin sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020
KEMAHIRAN MOTOR HALUS
Bagi membuat sebarang pergerakan menggunakan tangan seperti melakukan isyarat tangan ‘mini love’ atau ‘peace’, kanak-kanak memerlukan kemahiran dan kekuatan jari serta tangan.
Menurut portal terapi cara kerja Kid Sense kawalan tangan ialah kebolehan kanak-kanak untuk menggunakan dan memanipulasi objek, perkakas, alatan dan jari dengan tepat.
Kekuatan jari adalah salah satu kebolehan asas yang memberi kesan kepada keupayaan mereka mengawal tangan. Ia mempengaruhi keupayaan melakukan pergerakan bagi aktiviti yang melibatkan motor halus seperti melukis, menulis dan menggunting.
Berikut aktiviti yang dicadangkan bagi membantu meningkatkan kawalan tangan pada kanak-kanak:
- Menconteng dan mengoyak kertas
- Menggunakan penyepit (tweezer) untuk mengambil alat mainan bersaiz kecil
- Mengangkat objek menggunakan ibu jari, telunjuk dan jari tengah sambil mengekalkan jari-jari lain rapat ke tapak tangan
- Aktiviti doh mainan (play doh) yang melibatkan pergerakan meratakan doh dengan tangan atau penggelek
- Menguli doh mainan
- Memicit span atau mainan air
- Memasukkan manik pada tali
- Membuka bekas dan balang
- Projek menggunting kertas
Baca juga: Demam tomato pula serang kanak-kanak bawah 5 tahun, ini ibu-ibu perlu tahu
Sumber: Facebook Maulana Ahmad Suwito, Kid Sense
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan