RANCANG keluarga amat penting bagi mengatur kehidupan yang lebih baik. Lebih-lebih lagi pada masa kini memerlukan kos sara hidup tinggi.
Penting untuk pasangan suami isteri memutuskan saiz keluarga. Menentukan masa yang sesuai untuk mempunyai anak, jarak kehamilan dan bilangan anak yang diingini bersama pasangan adalah perlu bagi menjamin kesejahteraan sesuatu hubungan.
Melalui hantaran dilaman Facebook, seorang lelaki berbangsa Cina, Adam Kelvin berkongsi pendapatnya tentang kepentingan merancang keluarga. Beliau yang juga merupakan seorang mualaf percaya bahawa suami isteri perlu bersepakat dalam soal merancang keluarga.
"Penting untuk setiap pasangan membuat perancangan keluarga. Menjadi seorang ibu dan bapa bukanlah satu tugas yang mudah. Perkara-perkara berikut perlu diambil kira,” katanya.
1. Peranan sebagai ibu bapa sangat mencabar
Banyak perkara yang perlu dikorbankan apabila sudah bergelar ibu dan bapa. Apabila sudah ada anak, kita perlu ubah diri dan belajar banyak perkara agar perkara yang terjadi pada zaman kanak-kanak kita dahulu tidak berulang kepada anak pula.
2. Ada banyak masa
Masa untuk seorang ibu dan bapa belajar mengenai karakter anak dan kemahiran keibubapaan lebih banyak. Bukan sahaja perlu menjaga emosi anak yang masih bayi, emosi isteri dan emosi diri sendiri juga perlu dijaga. Kadang-kadang ada juga ‘terbabas’ marah anak bila berada dalam tekanan. Perkara ini yang kita tidak mahu berlaku.
3. Hormati hak dan badan isteri
Isteri perlukan masa untuk pulih dari sakit bersalin termasuk memgembalikan bentuk badan dan mendapatkan berat ideal. Suami perlu bertolak ansur. Elakkan isteri mengandung terlalu rapat.
Bukan mudah seorang wanita itu hendak melalui proses mengandung, bersalin dan menjaga anak kecil. Ada ibu-ibu mengalami alahan yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke wad. Belum lagi keadaan si isteri bila menyusukan anak. Situasi ini pasti menimbulkan suasana yang kelam kabut dan isteri pula kelihatan tidak terurus ditambah lagi jika ada anak-anak yang lain.
Suami perlulah membantu isteri meringankan tugasnya selain menjadikan proses berpantang menjadi lebih mudah. Serius keadaan ketika tu macam kelam kabut dan tak terurus diri isteri dan anak. Jadi tidak salah jika suami dan isteri merancang keluarga agar isteri ada banyak masa untuk berehat dan merawat diri.
4. Kewangan
Kewangan adalah masa utama yang perlu diberikan perhatian. Mungkin ada yang kata, anak itu rezeki. Rezeki itu sentiasa ada. Namun perlu difahami bahawa kos untuk seorang anak boleh mencecah sehingga RM1,000 sebulan.
- Pengasuh RM500
- Insurans RM200
- Amanag Saham Bumiputera RM200
- Lampin pakai buang RM120
Perlu sediakan kos untuk hantar anak ke tadika. Yuran tahunan kemasukan ke tadika pun bukanya murah. Sebagai ibu bapa, kita mesti mahukan yang terbaik untuk anak kita bukan? Jika hendak hantar anak ke tadika yang terbaik, perlulah belanjakan kos yang tinggi.
Maka sebab itulah jika dilihat ibu bapa yang berbangsa Cina memilih untuk tidak memiliki ramai anak. Biasanya dua orang sahaja. Paling ramai pun tiga orang, itu pun sudah dikira ramai. Ketahuilah bahawa tanggungjawab perlu seiring dengan rezeki. Maka sebab itulah pentingnya ibu bapa membuat perancangan keluarga.
Bagi Adam Kelvin pula, beliau dan isteri memilih untuk memiliki seorang sahaja anak buat masa ini. Banyak yang perlu diberi perhatian, bukan hanya keinginan untuk menambah jumlah anak.
Baca juga: Penting rancang keluarga, hamil apabila sudah bersedia sahaja - Dr Fatin Liyana
[caption id="attachment_96766" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
Hukum melakukan perancangan keluarga:
Kaedah menggunakan kaedah perancangan keluarga dibolehkan untuk tujuan merancang keluarga dengan cara menjarakkan anak demi pengurusan ekonomi rumah tangga.
Fakta penting yang perlu diambil kira ketika membuat perancangan keluarga:
1. Masa yang sesuai untuk wanita hamil:
- Berumur diantara 20 dan 35 tahun
- Kelahiran anak terakhir sekurang-kurangnya 2 tahun lalu atau mempunyai masalah perubatan yang terkawal dan optima
- Tidak mempunyai penyakit yang menjejaskan kesihatan ibu dan bayi
- Pasangan ingin mempunyai anak
2. Kaedah-kaedah perancang keluarga:
- Kaedah semulajadi
- Kaedah masa subur
- Suhu badan asas
- Kaedah tanpa haid tempoh penyusuan
- Kaedah halangan seperti kondom, topi servik dan diafram,
- hormon seperti pil, implant dan suntikan
- alat dalam rahim
- kaedah kekal seperti ikatan tiub fallopian/peranakan dan pembedahan mengikat saluran peranakan lelaki.
3. Faedah merancang keluarga:
- meningkatkan kualiti hidup wanita, pasangan dan anak-anak
- membantu wanita merancang dan menjarakkan kehamilan untuk kesihatan ibu dan anak yang lebih baik
- mengelakkan kehamilan yang tidak diingini
- menyelamatkan nyawa ibu dan bayi
- membaiki kesejahteraan keluarga
4. Faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum memilih kaedah perancang keluarga:
- umur wanita tersebut
- taraf kesihatan
- keberkesanan kaedah
- kaedah yang disukai individu
- kaedah yang terdapat di klinik
- sejarah obstetrik dan ginekologi sebelumnya
5. Khidmat perancang keluarga terdapat di semua Klinik Kesihatan Kerajaan, Klinik Lembaga Pembangunan dan Kependudukan Negara (LPPKN) dan Klinik Pertubuhan Perancang Keluarga.
Sumber: Adam Kelvin ,myhealth.gov.my ,Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi