PERSONALITI dalam ruangan Persepktif kali ini tidak asing lagi. Bermula dengan blogger dan pencipta kandungan, beliau kini adalah salah seorang pempengaruh atau influencer yang cukup popular di negara ini.

Pujian itu tidak semberono untuk diberikan Dr Fatin Liyana Asri kerana rekod pencapaian bukan calang-calang.

Masakan tidak, pada tahun 2014, beliau merupakan 14 individu yang menerima Anugerah Tokoh Srikandi Negara 2014. Turut tersenarai ketika itu ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Beliau yang senang disapa Dr Fatin Liyana juga menduduki ranking ke-6 dalam kategori Fastest Rising People oleh Google pada tahun 2011.

Sehingga kini, populariti Pegawai Perubatan, Bahagian Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak, Klinik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia itu masih bertahan, malah semakin mencanak tinggi.

Media sosial Instagramnya sahaja sudah mencecah 336,000 pengikut. Itu sudah membuktikannya pengaruhnya masih ‘berbisa’.

Sebenarnya, kalau diikutkan cerita, penulis sudah lama ‘memburunya’ untuk dijadikan wajah muka depan SinarPlus.

Namun disebabkan kekangan masa, beliau yang mesra disapa dengan nama Dr Fatin tidak dapat berbuat demikian.

Bagaimanapun dengan teknologi yang ada, kami berhubung secara maya sahaja.

Bercerita tentang perkembangan terbaharu dirinya, wanita kepada dua cahaya mata itu sedari awal memang galak bercerita tentang dunia perubatan yang sangat dicintainya itu.

Sebelum melangkah lebih jauh,, penulis memulakan intro perbualan dengan bertanyakan tentang faktor yang mendorongnya menjadi seorang doktor? Disebabkan minat atau sebaliknya?

Justeru, Dr Fatin mula bercerita. Katanya, semua ahli keluarga termasuk tiga beradik lelaki, ibu dan ayahnya berkecimpung dalam arena keusahawanan dan kejuruteraan. Pun demikian, dirinya mahu lakukan sesuatu yang ‘bertentangan’.

“Berbeza dengan saya, saya merupakan wakil tunggal yang menjadi doktor dalam keluarga kami,” katanya yang dalam diam tidak diam, sudah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai doktor.

Wanita itu menegaskan, kecenderungannya dalam hal ehwal perubatan semuanya disebabkan kecintaannya terhadap ilmu.

“Ilmu perubatan ini adalah sebahagian daripada ilmu alam kerana kita akan belajar untuk mengenal fisiologi dan patologi tubuh badan selain mengajak minda untuk berfikir dengan lebih mendalam.

“Secara tidak langsung, perkara itu membawa kita untuk mengenali Pencipta kita yang satu,” ujarnya yang menoktahkan jawapan.

Kemudian, beliau berkata, tugas seorang doktor tidak mudah.

Selain memerlukan pemikiran kritis dan daya fokus yang tinggi, bidang perubatan mengajarnya untuk mengelak daripada melakukan sebarang ralat ketika bertugas.

“Mudah kata, kita (doktor) kena sifar kesalahan dan itulah adalah pegangan saya ketika bekerja. Soal masa memang sukar dicongak dan sememangnya waktunya sangat panjang dan penuh mencabar,” katanya.

Perlu rancang keluarga

Tidak lengkap rasanya untuk SinarPlus tidak ajukan persoalan mengenai wanita hamil kepadanya kerana sememangnya beliau sangat arif mengenai perihal tersebut.

Mendengarkan soalan lanjutan penulis, beliau terus berhujah.

Beritahunya, kesilapan utama yang sering dilakukan oleh ibu mengandung adalah sifat suka melengah-lengahkan masa untuk tampil ke klinik atau hospital sebaik tahu diri berbadan dua.

“Ingin saya jelaskan di sini, apabila ibu datang lewat ke klinik, ia akan memberi kesan kepada kekeliruan pada usia janin. Sebenarnya, masa yang paling optimum untuk membuat buku rekod kesihatan ibu adalah sebelum 12 minggu kehamilan,” katanya.

Ujar penerima anugerah ASEAN Top 50 Social Media Influencers itu, akibat sikap acuh tidak acuh itulah akan memberi implikasi sampingan ketika bayi hendak dilahirkan. Ini kerana doktor hanya dapat menganggarkan usia kandungan berdasarkan pemeriksaan ultrasound sahaja.

“Jadi, ingin saya tegaskan, sila datang ke klinik lebih awal setelah ujian kehamilan positif,” pesan Dr Fatin.

Kepada yang menganggap kononnya amalan merancang keluarga itu tidak signifikan untuk dipraktikkan, nampaknya Dr Fatin kurang bersetuju dengan pandangan berkenaan.

“Ibu-ibu di luar sana perlu praktikkan amalan merancang keluarga. Mengapa? Ini kerana hamil dan membesarkan keluarga di dunia moden kini tidak mudah lantaram ia memerlukan kesejahteraan mental, fizikal dan sosial.

“Saya selalu berkata kepada pesakit saya, hamil hanya apabila anda sudah bersedia. Insya-ALLAH proses kehamilan itu akan menjadi mudah dan lebih dihargai,” tuturnya sambil berterus-terang bahawa dirinya turut merancang untuk kedua-dua kehamilannya sebelum ini.

Mitos air selusuh, tolak jamu

Sejak kebelakangan ini, cerita mengenai pengambilan air selusuh kembali diperdebatkan menerusi media sosial.

Kepada Dr Fatin, SinarPlus mendapatkan kesahihan faktanya. Dengan nada tegas, beliau berkata: “Saya sendiri tidak pernah mengambil jamu atau air selusuh semasa hamil. Begitu juga ibu hamil di bawah jagaan saya, mereka tidak pernah lagi mengamalkan pengambilan air selusuh mahupun jamu.

Iklan

“Saya sentiasa mengingatkan mereka tentang bahayanya konsumsi makanan tambahan tanpa rekomendasi daripada doktor kerana ia boleh menyebabkan hati bengkak dan buah pinggang terbeban.”

Anak kelahiran itu berpendapat, daripada makan atau minum sesuatu yang tidak terbukti manfaat apalagi tidak menunjukkan kesan yang positif, adalah lebih baik seseorang itu menjaga pemakanan dan diet harian mereka.

“Hasil pemerhatian, saya lihat hari demi hari, ramai ibu hamil yang mendapat penyakit gestational diabetes mellitus (GDM) akibat tidak mengamalkan pemakanan seimbang ketika hamil.

“Saya melihat banyak kes seperti bayi cacat dan meninggal dalam kandungan secara tiba-tiba (intrauterine death) akibat komplikasi daripada GDM ini. Oleh itu, mereka haruslah menjaga kadar pengambilan gula agar ibu dan bayi terhindar daripada sebarang komplikasi kehamilan,” katanya yang menggalakkan pengambilan makanan bernutrisi dan asid folik bagi pembentukan janin yang sihat pada awal kehamilan.

Pemilik blog https://www.honeykoyuki.blogspot.com/ juga menasihatkan kepada golongan ibu mengandung bahawa mereka hanya memerlukan tambahan 300 hingga 500 kcal kalori sehari sepanjang kehamilan.

“Selain itu, ambil pil hematinik (sepanjang kehamilan) supaya darah (hemoglobin) sentiasa di paras normal agar tumbesaran bayi tidak terganggu,” ujar beliau dengan penuh kesungguhan.

Naskhah 1×3

Sambil menghelakan nafasnya, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia mengakui bahawa jadual hariannya memang padat.

Namun, suri hati kepada Dr Anwar Fazal Abu Bakar dan ibu kepada dua cahaya mata comel Ajda Anwar Fazal, 5 dan Hail Nolan Anwar Fazal, 2, berkata, beliau dan suami mencapai satu kata persetujuan iaitu tidak membawa pulang urusan kerja ke rumah.

Dr Fatin Liyana bersama pendorong sejati, Dr Anwar Fazal.

“Apa-apapun yang berlaku di tempat kerja, biarkan ia di sana. Tak perlu bawa balik ke rumah kerana masa itu perlu dihabiskan bersama anak-anak,” ujarnya banyak berkongsi ilmu perubatan dan lain-lain topik menerusi platform Instagramnya.

Seperti wanita lain, Dr Fatin berkata, beliau tidak pernah mengabaikan aspek kecantikan diri walau penat atau sibuk sekalipun.

“Ada masanya saya akan pergi berurut dan ke spa. Sebaliknya, jika mengalami kekangan masa, saya akan lakukannya di rumah sahaja seperti lari treadmill atau melakukan senaman kardiologi bersama anak-anak di hadapan televisyen.

Iklan

“Paling penting adalah saya akan minum air kosong dua liter setiap hari, kopi tanpa gula secawan dan mengamalkan pemakanan yang seimbang selain mendapatkan tidur yang mencukupi,” jawabnya.

Selepas bersembang lama dengannya, Dr Fatin memberitahu penulis bahawa dirinya juga merupakan seorang penulis buku.

Permata hati Dr Fatin Liyana dan suami, Ajda Anwar Fazal, 5 (kiri) dan Hail Nolan Anwar Fazal, 2 (kanan).

“Saya merupakan pengarang bersama buku Diagnosis 2 yang mana telah merangkul Pemenang Terbaik Buku Bukan Fiksyen MPH pada tahun 2015.

“Selain itu, saya juga menulis buku Diagnosis Fobia, Diagnosis Apokalips yang juga menerima pengiktirafan sebagai Pemenang Terbaik Buku Bukan Fiksyen MPH pada tahun 2016,” beritahunya.

Naskhah terbaharu yang bakal menemui pembaca kata beliau, adalah berjudul 1×3. Pada masa, doktor selebriti itu turut bercadang menerbitkan buku solo sendiri tidak lama lagi.

“Saya sangat suka bereksperimentasi dalam menulis. Seperti dalam buku 1×3, saya menyajikan komik pendek yang berkisar tentang ibu saya yang sangat menyentuh hati,” beritahunya.

Sebelum kami menutup bicara, Dr Fatin berkata, beliau mahu memberi apresiasi kepada suaminya yang sangat memahami minat dan kerjayanya.

“Suami saya sentiasa memberi dukungan yang kuat dan cuba sedaya upaya untuk membantu saya dalam segenap hal. Beliau juga tidak pernah menganggap saya sebab saingan malah beliau adalah pemangkin dalam kehidupan saya.

“Beliau sentiasa melihat potensi dalam diri dan percaya dnegan saya. Saya bersyukur memilikinya dalam hidup saya,” katanya.

PROFIL

  • Nama penuh: Dr Nur Fatin Liyana Asri
  • Jawatan: Pegawai Perubatan, Bahagian Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak, Klinik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Umur: 32 tahun
  • Tempat lahir: Kuala Lumpur
  • Bilangan adik beradik: Anak kedua daripada empat orang adik beradik
  • Pendidikan: Ijazah Sarjana Kedoktoran Berkembar di Universiti Padjadjaran, Bandung, Indonesia (2008-2011) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (2012-2014)
  • Hobi: Menikmati ‘me time’ di kedai kopi
  • Idola: Profesor Harlina Harlizah Siraj
  • Warna kegemaran: Semua warna pastel
  • Instagram: @dr.afl (336,000 pengikut)
  • Blog: honeykoyuki.blogspot.com (42,571,317 views)