'Rasa bagaikan mimpi', Uchee Fukada terima takdir ALLAH baby meninggal ketika lahir
HATI mana yang tidak berduka apabila insan tersayang pergi meninggalkan diri buat selama-lamanya.
Setiap di antara kita pasti pernah merasainya. Ada suami yang kehilangan isteri. Ada anak yang kehilangan bapa. Ada adik yang kehilangan abang. Ada ibu yang kehilangan bayi.
Seperti apa yang berlaku buat pengarah dan pelakon, Uchee Fukada yang baru saja kehilangan anak keempatnya yang meninggal sejurus selepas dilahirkan baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Uchee memaklumkan bahawa urusan bersalin dan pengkebumian anaknya berjalan lancar.
Uchee atau nama sebenarnya Nurlina Syafiqah Zakbah juga reda menerima takdir pemergian anaknya itu.
Dalam pada itu, dia juga meminta kepada semua yang mengenalinya untuk menitipkan doa kepada anak lelaki yang diberi nama Ezmeth Maleeq.
"Assalamualaikum.. Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saya pasti ramai yang tertanya tanya akan keadaan saya selepas melahirkan. Alhamdulillah syukur saya sihat setakat ini.
"Tapi aturan ALLAH pencipta seluruh alam lagi maha hebat. Anak saya Ezmeth Maleeq (diberi nama) tidak dapat diselamatkan.
"Sekasih kasih saya sebagai seorang ibu, kasih lagi ALLAH pada anak saya. Dengan penuh rendah diri, saya pohon semua sahabat handai dan kenalan saya titipkan doa buat anak syurga saya yang amat saya kasihi.
[caption id="attachment_101380" width="800"] Kredit foto: Lisa Fotios[/caption]
"Alhamdulillah ALLAH mudahkan semua perkara dari proses bersalin semalam (10 Mei 2023), sehinggalah hari pengkebumian anakanda tercinta saya tadi (11 Mei 2023) selesai solat Asar. Saya dan keluarga berlapang dada menerima takdir yang ALLAH dah tulis pada kami selapang lapangnya," coretnya.
Bagaimanapun, aktres itu turut memohon maaf kepada semua kenalannya kerana masih memerlukan kekuatan setelah kehilangan anak yang tersayang.
"Maaf kalau dua hari ini saya tak menjawab apa apa panggilan atau mesej dari sesiapa. Saya dan keluarga perlukan ruang untuk beri kekuatan sesama kami.
"Dan kini, saya kumpul segala kekuatan yang ada dalam diri untuk menulis apa yang terjadi pada saya semalam hingga hari ini.
"Terima kasih keluarga, saudara mara, sahabat datang dari jauh, jiran tetangga yang datang turut sama membantu saya. Moga ALLAH dapat balas jasa kalian semua.
"Masya-ALLAH... rasa bagaikan mimpi, tapi inilah realiti yang saya harus telan. Demi keluarga dan anak anak yang ada depan mata, sebagai rusuk kiri suami dan juga kekuatan pada anak yang lain, saya harus tabah dan kuat menjalani kehidupan seperti biasa. Doakan saya ok guys?" luahnya.
Baca juga "Isnin hantar sekolah, Selasa dah patah tangan” – anak sulung Rita Rudaini jalani pembedahan
Jadi untuk anda yang mengalami kehilangan, bertahan dan teruslah kuat menjalani hidup selepas kematian mereka. Hidup kita perlu diteruskan.
Sementara itu, ini cara dan langkah mengatasi kehilangan dan merawat emosi anda dengan cara yang sihat menurut Hello Health Group;
1. Terima seadanya
Menerima segala yang berlaku dan bertindak balas dengan cara yang terbaik buat diri anda. Teknik pemikiran yang tenang atau meditasi seperti pernafasan secara mendalam boleh membantu anda untuk berdepan segalanya dan meluahkan emosi anda dengan sebaiknya.
2. Meluahkan
Akui apa yang anda lalui banyak mengajar anda tentang kehidupan dan anda boleh memilih untuk berkongsi apa yang anda rasa dengan individu lain atau meluahkannya secara peribadi.
3. Bersabar
Merawat kesedihan pastinya memerlukan masa. Ia adalah sukar untuk membuat sebarang keputusan apabila anda sedang dalam kesedihan. Jalan yang terbaik adalah untuk memberikan masa buat diri anda menjadi tenang sebelum melakukan keputusan.
Baca juga Kematian dicemburui husnul khatimah, wanita meninggal dunia lepas khatam al-Quran
4. Bergembira
Ketawa adalah ubat kepada kesedihan. Namun, ia adalah normal untuk anda menangis jika anda ingin menangis. Cuba untuk menyertai pelbagai aktiviti sosial yang dapat membantu anda melupakan kesedihan yang dilalui.
5. Kesihatan
Wujudkan rutin harian, makan apa yang anda inginkan, lakukan aktiviti fizikal apabila mempunyai masa. Elakkan mengambil alkohol atau ubatan, ia hanya menyukarkan dan merumitkan keadaan.
6. Sokongan
Dapatkan bantuan. Penting untuk anda memberitahu individu di sekeliling anda bahawa anda memerlukan sokongan. Anda mungkin boleh dapatkan dari keluarga, rakan atau kaunselor. Kumpulan sokongan juga merupakan idea yang baik memandangkan setiap ahli mempunyai cara dan kisah yang tersendiri yang boleh dikaitkan dengan pangalaman anda.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.