Wanita pakai mekap, perokok, individu tak sihat dan cirit-birit jangan sentuh bayi. Ini mungkin terjadi

ANTARA momen yang dinantikan pasangan suami isteri adalah menimang cahaya mata.

Lebih-lebih lagi kalau anak sulung. Keterujaannya memang luar biasa.

Biasalah kalau jadi pasangan muda, lambakan nasihat akan diterima daripada orang sekeliling.

Bermula daripada fasa kehamilan, bersalin, penjagaan semasa pantang dan cara mengendalikan bayi antara nasihat yang sering diberikan.

Itu tak termasuk lagi dengan dengan pantang larang yang wajib kena patuh.

SUMBER Pixabay daripada PEXELS.

Bercakap tentangnya, pasti kita selalu dengar nasihat tentang bayi yang belum genap usia 40 hari yang tidak boleh dibawa keluar rumah.

Okey, apa pandangan hal itu dari sudut perubatan?

Menurut laman web Hello Doktor, sebenarnya tiada keperluan untuk menunggu sehingga tempoh tertentu sebelum membawa bayi keluar.

“Sekiranya ada yang mengatakan anda perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan, ia salah sama sekali,” katanya.

Justeru, kebanyakan pakar dan profesional kesihatan pediatrik bersetuju bahawa bayi baru lahir boleh dibawa ke tempat awam atau keluar selagi ibu bapa mengikuti langkah keselamatan asas.

SUMBER Kristina Paukshtite daripada PEXELS.

“Tidak perlu menunggu sehingga enam minggu atau dua bulan.

“Bawa bayi keluar khususnya bersantai di taman sangat sesuai untuk ibu bapa dan si manja,” ujar Hello Doktor.

Kata mereka, pendedahan kepada matahari dan udara segar boleh memberi manfaat kesihatan kepada bayi anda.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, doktor mungkin akan menyarankan untuk tidak membawa bayi keluar.

Keadaan tersebut melibatkan bayi yang dilahirkan secara pramatang atau mempunyai keadaan kesihatan yang menjejaskan sistem imun mereka.

Jangan bawa ke tempat sesak

Sementara itu, Pakar Pediatrik Mattel Children’s Hospital, Universiti California, Amerika Syarikat, Dr Tanya Altmann menerusi laman sosial Tik Tok juga berkongsi masa yang sesuai untuk membawa bayi baru lahir keluar.

SUMBER Creation Hill daripada PEXELS.

Dr Altmann berkata, penting untuk membawa bayi keluar setiap hari walaupun hanya untuk mendapatkan udara segar.

“Bagaimanapun, lindungi mereka daripada keadaan cuaca atau persekitaran kotor,” jelasnya.

Walaupun ada pakar yang melarang untuk membawa bayi keluar, ujar pakar tersebut, mereka sebenarnya memberi maksud agar ibu bapa tidak membawa si kecil ke tempat sesak dan bertemu orang yang berpotensi sakit.

Hal itu bagi melindungi bayi daripada kuman terutamanya ketika beberapa bulan awal kelahiran bagi mengelak bayi mudah jatuh sakit.

Pada masa sama, Dr Altmann turut berkongsi tip kepada ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak.

“Pastikan si abang atau kakak mencuci tangan terlebih dahulu dan menukar baju sebaik pulang dari tadika atau tempat asuhan sebelum menghampiri bayi.

“Langkah tersebut perlu bagi melindungi bayi daripada jatuh sakit,” ujarnya lagi.

Jangan tarik muka

Mengambil kira situasi sekarang yang mana semua akan beraya, apa yang perlu dilakukan?

Iklan
SUMBER Rodnae Productions daripada PEXELS.

Bolehkah agaknya kita menolak permintaan mereka untuk mendekati apalagi mencium anak kita?

Perkongsian seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Xurixfns sangat berguna.

Kata-katanya memang padu. Ujar beliau, jangan sesuka hati membenarkan orang mencium bayi anda pada Hari Raya.

Menerusi video yang telah menerima lebih 34,000 tontonan itu, Xurixfns meminta mak ayah supaya lebih berhati-hati dengan individu yang tidak sihat dan berpenyakit.

Baca juga: Bayi selesema hingga meleleh, guna 5 petua mudah ini cepat sembuh

Baca juga: Para ibu kena kawal pemakanan, ubatan dan penyakit kencing manis untuk elak bayi menderita jantung berlubang

Selain itu, terdapat beberapa lagi kategori yang perlu dijauhi. Antaranya:

1) Orang yang tidak sihat, demam atau selesema
– Pesakit boleh memindahkan kuman melalui air liur kepada bayi.

2) Penghidap herpes
– Herpes ialah penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus sehingga menyebabkan berlaku lepuh-lepuh kecil berair pada kulit.
– Penyakit ini sangat mudah berjangkit melalui ciuman.

Iklan
SUMBER Rodnae Productions daripada PEXELS.

3) Individu yang mengalami cirit-birit
– Bayi berisiko terkena rotovirus yang menjadi punca utama jangkitan pada usus.

4) Perokok
– Situasi ini boleh menyebabkan bayi terdedah kepada third hand smoke dan berisiko mendapat jangkitan paru-paru dan telinga serta boleh mengakibatkan sudden death.

5) Wanita yang mengenakan mekap
– Bayi boleh terkena ruam kerana sesetengah bahan solekan mengandungi kandungan yang tidak sesuai untuk kulit bayi.

Mudah kata, lebih baik kita hanya memerhati dan mengagah bayi yang kita jumpa jer.

Tak perlu nak peluk atau cium kerana perbuatan itu hanya akan menyusahkan mak dan ayah si kecil itu.

Jangan sesekali membuatkan mereka serba salah atau tarik muka dengan mak ayah yang cuba melindungi anak-anak mereka daripada sebarang sentuhan.

Sentiasa berfikiran positif. Apa yang dilakukan adalah demi kemaslahatan anak mereka. Tiada niat buruk pun!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.