Pembedahan bariatrik, anak sulung viral, jus detoks buatan sendiri. Ziana Zain bicarakan hal itu dalam temu bual eksklusif SinarPlus

Iklan
Untitled design (100)

TIDAK perlu membazirkan aksara dalam helaian penulisan ini untuk memperkenalkan siapa itu Ziana Zain.

Cukuplah untuk kami rumuskan bahawa figura yang mula popular pada era 1990-an terus berdiri megah di persada seni sehingga pada saat ini.

Iklan
Iklan

Kalau dicongak, sudah lebih tiga dekad Ziana bergelar anak seni. Lagu-lagu seperti Madah Berhelah, Setiaku Di Sini dan Anggapanmu masih kekal dalam ingatan.

Ramai bertanya kepada penulis apa yang mahu dicungkil lagi tentang pemilik nama sebenar, Siti Roziana Zain atau mesra disapa Kak Gee oleh teman media.

Iklan

Jawapannya, banyak! Pertemuan kami pada satu majlis yang turut dihadiri Dr Mustafa Mohammed Taher yang membicarakan tentang pembedahan bariatrik adalah sesuatu menarik untuk dikongsikan.

Iklan

Baca ni Pembedahan bariatrik bukan untuk kurus semata-mata. Ini pengakuan 3 artis terkenal

Sudah tentu empunya diri ada kaitan dengan prosedur itu. Kepada Ziana, kami mohon beliau membuat pencerahan mengapa perlu berbuat demikian sedangkan pada mata kasar, dirinya sudah nampak sempurna?

Tersenyum saat pernyataan tersebut dizahirkan, selebriti yang mendapat jolokan Jennifer Lopez Malaysia itu tersenyum lebar. Kami turut tanyakan adakah beliau tidak bimbang dirinya akan dicemuh masyarakat nanti?

GASTRIK

Seperti biasa, Ziana bertindak profesional. Akuinya:"Saya bukan melakukan kerana suka-suka atau nak kurus. Sebaliknya rawatan tersebut dibuat atas nasihat dan saranan doktor pakar."

Menolak tanggapan kononnya taasub ingin kurus, beliau menegaskan, ada cerita di sebalik itu semua.

"Mungkin ramai yang beranggapan rawatan ini hanya untuk menurunkan berat badan, sebenarnya ia juga boleh merawat penyakit gastrik, kolestrol dan diabetes.

"Saya mengalami gastrik sudah lama, cuma tidak sangka serius dan saya hanya makan ubat. Pada tahun 2018, saya diserang penyakit itu dengan teruk sampai tak boleh nafas. Itu punca saya berbuat demikian," jelasnya yang mengambil masa setahun berfikir untuk melakukan prosedur bariatrik.

Kata pelantun lagu Berpisah Jua itu, beliau mengambil masa untuk berfikir memandangkan trauma ketika bersalin anak kembar masih menghantui diri.

Baca lagi ‘Mungkin orang tengok saya ini moden orangnya, namun jangan tak tahu, saya berjiwa nasionalisme.’ Nikki Palikat turut luah hasrat terbesarnya

Tambahan, mendengar cerita yang tidak enak tentang pembedahan berkenaan.

"Namun apabila difikirkan semula, ketahanan badan setiap orang berbeza. Pada masa sama, alhamdulillah, penerimaan anak-anak baik terutama Muhammad Aiman kerana beliau banyak membantu saya, selalu urut, jadi mereka tahu kesihatan saya bagaimana," ujarnya.

Komplikasi susulan? Kata Ziana, 55, dirinya tidak berdepan dengan sebarang masalah kesihatan.

Pun begitu, beliau sentiasa mematuhi nasihat pakar diet dalam aspek pemakanan.

"Kata doktor, perut kita macam bayi, jadi kena mula dengan makanan jenis cecair, diikuti dengan makanan lembut terlebih dahulu dan perlahan-lahan tukar makanan lebih keras seperti ayam, daging dan sebagainya," ujarnya.

Sekali lagi saran Ziana, sebelum memutuskan untuk membuat pembedahan bariatrik, dapatkan pandangan daripada pakar bertauliah kerana mereka lebih mengetahui tahap kesihatan kita.

 

REDA

Mustahil dalam wawancara kami pada petang itu, hal keluarganya tidak disentuh.

Selama ini barangkali Ziana tidak pernah bermimpi mahligai yang dibina selepas 20 tahun bersama belahan hati, Armin Zaharin Ahmad Zambri akhirnya berderai.

Keteguhan cinta tak dapat dipertahankan. Puncak kasih mereka lebur.

Beritahu Ziana, sejarah pahit itu mahu dijadikan prasasti. Kini, empat cahaya matanya, Muhammad Aiman, 23, dan Muhammad Amar, 19, termasuk pasangan kembar, Muhammad Airil Armin Zaharin, 14, serta Siti NurQaseh sudah melengkapkan hidupnya.

Beliau mahu mengorak langkah ke hadapan. Ibu tunggal itu bertuah kerana anak-anak cukup memahami dan pandai berdikari.

Baca lagi Ketenangan Ziana Zain, sentiasa positif dan realistik dengan kehidupan

"Bohonglah andai kata semuanya mudah. Pada pandangan mata kasar, orang nampak segalanya berjalan lancar. Sebenarnya, banyak dugaan yang terpaksa ditempuhi.

"Waktu mereka kecil, naluri seorang ibu sentiasa dilanda kebimbangan. Masakan tidak, kita terpaksa tinggalkan mereka di rumah. Itu cerita dulu, sekarang mereka dah besar dan ada yang pandai memasak," katanya.

Jikalau dihadam kembali punca kepada penceraian, kedukaan yang direntas oleh Ziana memang menyakitkan. Ketaatannya diperlekehkan. Harga diri diperkotak-katik. Anak-anak juga diperlakukan si mantan.

"Jika orang tanya bagaimana saya move on? Jawapannya sebab anak-anak. Jujurnya tidak mudah, tapi saya tak ambil masa lama. Pastikan kita berada dalam suasana dan individu yang positif.

"Pilih orang yang boleh bantu semarakkan semangat kita dan jauhi mereka yang suka mengapi-apikan kita. Namun, paling penting, jangan lupa minta dengan ALLAH. Apabila kita reda bermakna kita tidak salahkan ALLAH.

"Nasihat ibu juga sentiasa saya pegang. Kata ibu, walau kuat atau lembik pun, kita kena berpegang pada DIA. Mungkin ALLAH nak dengar rayuan kita lebih, sebab itu DIA ‘cuit‘ kita lebih sedikit," katanya berkongsi kekuatan.

SAMBUNG LEGASI

Suasana ketika kami berbual terasa sayu dan melankolik. Kami enggan melihat Ziana terus dibuai aura keresahan. Justeru, hala tuju perbualan kami diubah.

Usia manusia yang semakin menua sama seperti peredaran galaksi dunia. Ujar Ziana, beliau menyaksikan zuriatnya semakin menuju kedewasaan. Ia sekali gus menyaksikan teknologi media sosial memang sukar untuk dijarakkan.

Anak sulungnya, Muhammad Aiman baru-baru ini menjadi sensasi di media sosial usai menemani Ziana dalam satu majlis pengiktirafan.

Dikurniakan wajah kacak membuatkan ramai terpaut hati dan kedengaran usikan nakal kononnya penyanyi popular tersebut bakal menantu tidak lama lagi.

Baca lagi Aiman my plus one, ketampanan anak sulung Ziana Zain jadi perhatian

"Saya selalu cakap dengan anak-anak, mama ni ALLAH jadikan penyebab dan sediakan jalan untuk anak-anak belajar. Selepas itu pandai-pandailah nanti.

"Soal masa hadapan biarlah mereka bekerja terlebih dahulu, barulah memikirkan soal mencari teman hidup. Penat melabur untuk mereka, jadi biarlah nampak hasilnya dahulu," selorohnya.

Akui Ziana, pada awalnya, beliau mahu mengutamakan privasi ke atas empat cahaya matanya. Namun, apabila masing-masing sudah besar panjang, mereka sudah boleh menilai baik dan buruk.

Mengenai soal tawaran dalam industri pengiklanan atau apa sahaja, Ziana juga tidak memaksa.

"Saya serahkan kepada mereka membuat keputusan. Saya hanya berikan pandangan pro dan kontra. Jika mereka bersedia, maka saya turuti tanpa membantah," ujarnya.

Agak-agaknya siapa permata hati selebriti itu yang bakal mengikut jejak gemilang beliau dalam industri seni?

"Setakat ini tak nampak siapa yang nak ikut jejak langkah, cuma Siti Nur Qaseh nyanyi suka-suka dan minat hal-hal seni. Muhammad Aiman dan adiknya, Airil suka memasak, Muhammad Amar pula cenderung dengan dunia mekanikal," ujarnya.

Baca lagi Ziana Zain lega, selamat jalani rawatan gastrik

JUS DETOKS

Sememangnya umur bukanlah sandaran utama kepada watak, sikap mahupun wajah. Tidak salah juga kalau mahu terus berfesyen.

Ziana antara selebriti yang tidak kisah dengan apa kata orang. Lagipun, tidak pernah sekalipun beliau dikatakan menjadi mangsa fesyen, malah lebih ramai mengagumi dirinya yang bijak bergaya.

Selepas mengenakan hijab, anak kelahiran Merlimau, Melaka itu tetap menjaga tatatusila busana beliau sesuai dengan syarak.

Prinsipnya mendapat pujian melata. Lantas, heroin Maria Mariana itu memberi senyuman sederhana.

Penulis kemudian  mengajaknya berbicara tentang segelintir selebriti yang membuka aurat kepala dengan alasan mahu menjadi diri sendiri. Ini respons Ziana.

"Kita menuju ke jalan yang lebih baik. Jadi, kena berperingkat, bukan buat secara drastik. Dalam Islam apabila menyentuh soal wajib, memang tiada kompromi.

"Nasihat pun tiada guna, kan? Wajib itu kena buat, tiada alasan. Itulah yang saya pegang selama ini," tegasnya.

Luah bekas pramugari itu lagi, jika diberikan rezeki, beliau tidak menolak untuk membuka bisnes hijab.

"Sebelum ini ada buat sikit-sikit dengan rakan kongsi. Sekadar suka-suka. Cuma saya tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan. Minta ALLAH bukakan hati," ujarnya.

Baca lagi Ziana Zain belanja lagu, tarik suara di kedai makan buat ramai terpesona

Terakhir, rugi rasanya tidak lontarkan soalan tentang tip kecantikannya.

Bayangkan pada usia 50-an, wajah mulus tanpa kedutan terserlah. Bukan cakap sekadar mahu membodeknya, tetapi ia memang realiti. Ini rahsia beliau.

"Rutin saya setiap hari, bangun pagi minum air suam, selawat dan minta kepada ALLAH berikan kesihatan serta awet muda. Cuci muka sebelum dan selepas itu penting selain pemakanan dijaga. Makan kerap, tetapi dalam kuantiti sedikit.

"Saya juga suka berurut dan bertungku sendiri di rumah. Selain itu, buat jus detoks sendiri. Pada masa sama, kita kena dikelilingi mereka yang miliki pemikiran dan baik hati. Bak kata ibu saya, cuba bersihkan hati, maka hidup lebih ceria," dedah Ziana.

Betul-betul mahu menutup tirai, Ziana memberi jawapan sampai bila dirinya akan terus kekal berada dalam lingkaran seni tanah air:"Selagi diterima dan mampu untuk menghiburkan orang ramai, saya akan teruskan."

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang