‘Mungkin orang tengok saya ini moden orangnya, namun jangan tak tahu, saya berjiwa nasionalisme.’ Nikki Palikat turut luah hasrat terbesarnya

RASANYA seperti baru kelmarin kita meraikan Hari Kemerdekaan negara. Sedar tidak sedar, semalam, pada tanggal 16 September kita kembali menyuburkan semangat patriotisme dengan menyemarakkan Hari Malaysia pula.

Bertepatan dengan hari penting itu, SinarPlus mengabadikan wajah penyanyi tersohor, Nikki Palikat yang dibesarkan di Tambunan, Sabah sebagai Cover SinarPlus.

Mungkin ramai yang kurang tahu bahawa Nikki dilahirkan pada 1 November 1985 di Michigan, Amerika Syarikat. Namun, jujur kata pelantun lagu Caramu itu, jiwanya sebagai anak Malaysia lebih menebal dan sukar untuk dirobek.

Baca ni Marion Caunter didik anak hargai kemerdekaan negara. Hadir dengan buah tangan baharu khas untuk rambut wanita

nikki

Saat diajak berbicara tentang Hari Malaysia, beliau seperti mengimbau sesuatu dan dengan tawa kecil memberitahu: “Waktu di sekolah dulu, saya pernah sertai pertandingan (sempena Hari Malaysia). Saya mempersembahkan tarian Sumazau, tapi tak menang.“

Sekali lagi, wanita keturunan Kadazan Dusun itu berkata kepada penulis, dirinya cukup berbangga dan bertuah menjadi rakyat negara ini.

Namun, beliau cukup kecewa kerana masih ramai di luar sana yang tidak patriotik dan suka berkata-kata hal yang kurang menyenangkan.

“Cuba anda duduk dan bekerja di negara luar, barulah anda sedar betapa beruntungnya menjadi warga Malaysia,“ ujarnya.

Selaku individu yang pernah duduk di bumi Uncle Sam, Nikki berkata, penduduk di negara ini beruntung kerana dilimpahi banyak kemudahan.

“Mungkin orang tengok saya ini moden orangnya, namun jangan tak tahu, saya berjiwa nasionalisme. Saya suka menyanyi lagu patriotik dan teringin nak hasilkan satu album yang berkonsepkan patriotisme.

“Setakat ini rasanya belum ada lagi penyanyi di Malaysia yang berbuat demikian. Cuma, saya tidak tahu bilakah impian itu bakal tercapai?,“ katanya berkongsi harapan.

Ungkap pemilik nama sebenar Nicolette Louisa Palikat, beliau tidak mahu hanya dirinya mempunyai sifat murni itu. Personaliti tersebut mahu mewariskan semangat itu kepada anak tunggalnya, Liam Mok.

Baca lagi Membawa aura persis Wan Zaleha Radzi, pembaca berita TV3, Nadia Azmi curi tumpuan. Turut guna platform TikTok sebar ilmu

nikki

“Sebagai ibu, saya malu kerana anak tidak boleh menyanyi lagu Negaraku dan Sejahtera Malaysia dengan baik. Mujurlah beliau minat bidang muzik, jadi saya minta beliau menyanyi.

“Di samping itu, dapatlah Liam belajar bahasa Melayu. Masakan tidak, pergaulannya dengan rakan-rakan lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dan Cina,“ dedahnya.

Tiada apa yang perlu disembunyikan, Nikki berkata, beliau tidak boleh menerima hakikat bahawa anak kesayangannya sehingga kini tidak mampu mengira dalam bahasa Melayu dengan baik.

“Bayangkan, Liam sudah masuk tingkatan satu tetapi tidak mampu sebut  nombor satu hingga 100 (dalam bahasa kebangsaan). Jadi, saya minta Liam buat latihan setiap hari sebelum masuk tidur. Memandangkan kami tidak tinggal bersama, saya akan hubunginya, selagi tidak praktis saya tidak akan letak telefon,“ cerita Nikki sambil tergelak.

BEKAS SUAMI KAWAN BAIK

Masih mengisahkan tentang Liam yang pada tahun ini berusia 13 tahun, Nikki terbuka untuk menjawab pertanyaan tentang sisi peribadinya.

Umum mengetahui, beliau merupakan isteri kepada komposer dan penerbit terkenal, Audi Mok sejak tahun 2009. Namun, ikatan itu terlerai tiga tahun lalu.

“Walaupun status suami isteri sudah lama berakhir, tetapi hubungan kami berkekalan sampai sekarang. Cuma ada kawan-kawan yang tak boleh terima apabila melihat hubungan baik kami. Saya yang memilih pendekatan itu, mengapa mahu menyulitkan keadaan, bukan?

“Bila difikirkan semula, memang jarang nak jumpa pasangan yang sudah berpisah masih boleh rapat. Kami lakukannya demi anak. Apabila anak tengok cara kami, hatinya akan tenang ,“ ujarnya.

Baca ni ‘Nama itu ingatkan asal usul & dari mana bermula.’ Tiada istilah tangkap muat, Hasif syukur tuah nama Upin buat diri dikenali

nikki

Pun begitu, kehidupan sebagai ibu tunggal tidak semudah yang diungkapkan dengan kata-kata. Apatah lagi, beliau terpaksa duduk berjauhan dengan Liam yang kini dijaga oleh Audi.

“Awalnya saya ingat mental sudah mampu menerima selepas berbincang dengan bekas suami. Kebetulan, beliau pun sudah berkahwin lain.

“Cuma saya tidak sangka selepas anak berpindah ke rumah ayahnya, reaksi emosi saya begitu dahsyat. Hancur hati ini. Saya tak sanggup masuk bilik Liam selama seminggu. Saya katakan pada diri, cukup-cukuplah berkabung,“ ungkapnya dengan nada sebak.

Wanita mana yang mampu menerima takdir hidup sebegitu. Namun, kentalnya jiwa insan bernama Nikki, beliau tidak terus membiarkan dirinya diusung duka dan dihurung kemurungan.

“Waktu itu saya sengaja benarkan diri menangis. Saya pujuk sanubari ini. Apa yang berlaku sudah berlaku, biarlah ia berlalu,“ imbasnya.

Sudah resamnya seorang ibu, anak yang dikandung sentiasa bertakhta dalam hati.

Beliau cekalkan hati memasuki kamar Liam sambil berdoa dan diiringi dengan tangisan pilu.

“Secara perlahan-lahan saya kemas barangnya. Selepas beberapa hari, semua kelengkapannya dihantar ke rumah mantan suami. Memang sedih, namun saya kena kentalkan diri,“ jelas Nikki yang bersyukur lantaran Liam menerima transisi kehidupan mereka sekeluarga.

Baca ni ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

nikki

Biarpun begitu, dalam soal mendidik anak, selebriti itu cukup tegas. Menurutnya, peraturan tetap peraturan.

“Saya tidak akan beri muka semata-mata hanya kerana kami jarang bersama dan tidak duduk sekali. Ya, saya ibu yang garang. Liam dan Audi berkongsi minat yang sama dalam bidang komputer, muzik, teknologi dan sebagainya.

“Kalau dengan ibu apalah sangat, sudahlah garang, berdisiplin pula tu. Berbeza dengan ayahnya seorang yang kelakar dan bebas,“ seloroh Nikki.

Sempat juga penulis tanyakan sama ada beliau trauma atau serik dengan perpisahan yang melanda? Dengan pantas tuan punya badan menjawab: “Oh, tidak. Tak pernah. Tiada istilah trauma. Pada saya orang yang trauma ini masih hidup dalam dunia yang gelap.“

Satu persoalan menarik yang dibangkitkan Nikki. Tuturnya, mengapa perlu gentar mahu mencari cinta baharu? Itu bukan satu kesalahan.

Iklan

“Ya, sejujurnya memang ada calon, cuma pengganti itu belum tahu lagi. Saya mahu enjoy kehidupan single. Memang ada yang mendekati, saya tidak menolak. Bagi saya apa salahnya jika serasi,“ katanya.

BAKAT MELUKIS

Pada pertemuan di studio baru-baru ini, rasanya perlu untuk penulis melayangkan pertanyaan tentang dunia nyanyiannya.

Cukup terkenal dengan vokal bernada tinggi, anak saudara kepada Jimmy Palikat itu berkata, beliau mewarisi darah seni daripada bapa tersayang.

Baca lagi Faezah Elai sanggup perlahankan kerjaya demi anak-anak. Tiada istilah diskriminasi dengan anak tiri!

nikki

“Kakak saya juga pernah menyanyi sebelum ini, namun sudah berhenti. Lucunya kami sekeluarga tak pernah berbincang atau berborak berkenaan muzik. Kalau berjumpa pun, perbualan kami lebih banyak kepada hal keluarga.

“Saya sendiri, waktu kecil tidak bermimpi pun nak bergelar anak seni. Namun, ini namanya takdir hidup. Pada umur sembilan tahun, baru saya sedar dalam diri ada bakat menyanyi, inilah haluan saya,“ ungkapnya.

Sesuatu yang menarik untuk diketahui, Nikki sebenarnya berbakat dalam seni lukisan dan pernah berimpian bergelar pelukis.

“Namun, ia (bakat) sudah barkarat kerana lama saya tidak pegang pensel dan melukis. Waktu di sekolah, saya memang suka masuk pertandingan.

“Kalau nak tahu, zaman sekolah rendah, saya agak skema. Mungkin waktu itu saya bergelar penolong ketua pengawas. Bila masuk sekolah menengah, saya agak nakal sikit, suka ponteng kelas. Semuanya gara-gara mahu mengikuti latihan koir, dikir barat dan sebagainya,“ ujarnya yang pernah bergelar pelakon.

 

PANAS

Dari satu sudut, apa pandangan beliau tentang stigma yang masih tersisa tentang rupa mampu mempengaruhi bakat seseorang anak seni. Jawapannya memang cukup membekas.

Iklan

“Bagi saya ini perkara biasa, sementelah trend sekarang sudah berbeza. Siapa yang rajin dan bijak guna media sosial, maka beliau yang akan jadi pemenang,“ tegasnya.

Semakin lama bersembang dengan Nikki, rasa seronok pula. Sudahlah diri merendah diri, beliau juga jenis yang berterus terang dan tidak ‘propa’.

Ya, benarlah kata orang industri, beliau sebenarnya seorang yang periang, walau nampak seperti individu pendiam.

“Betul, saya jenis yang suka bergurau dan ‘gila-gila‘ orangnya. Sebab itu, saya cuba tampilkan kelainan dalam persembahan dalam muzik video. Itu kali pertama saya ‘masuk air‘. Saya tidak mahu dikenali sebagai penyanyi bersuara tinggi sahaja.

“Sebagai penghibur, saya sentiasa dahagakan benda baharu. Sebab itu, lagu single terbaharu saya, Panas lebih santai dan susunan muzik lebih kepada dangdut,“ ulas Nikki yang teruja dapat berkolaboratif bersama Ajai untuk muzik video terkininya itu.

Baca lagi ‘Saya bukan playboy, cuma tak cukup matang untuk jadi suami kepada dua isteri’. Iman Zulkarnain mahu lebih berhati-hati

Diminta berkongsi tip dalam menjaga suaranya yang hebat itu, kata Nikki tiada sebarang rahsia atau amalan tertentu.

“Saya berpegang kepada nasihat dan kata-kata Jaclyn Victor sewaktu menyertai Malaysian Idol. Katanya, jangan manjakan tekak. Makan sahaja apa yang kita teringin sama ada makanan itu pedas, sejuk dan sebagainya.

“Sebab itu saya tiada pantang cuma kalau tidak cukup tidur memang memberi kesan ketika menyanyi. Suara serak dan susah nak menyanyi ke level tinggi. Kalau terlalu ‘push‘ boleh merosakkan suara. Saya takkan berbuat demikian kerana suara itu sumber pendapatan saya,“ ujar Nikki yang pernah tampil dalam teater Shout the Mod Musical dan Euphrasia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang