'Kita boleh beri komen, tapi jangan sampai menghina.' Nadeera pamer transisi positif berdepan kecaman
NADEERA Zaini punya bakat yang boleh diangkat sehingga ke persada antarabangsa.
Namun, dek kerana tidak memiliki seraut wajah jelita, tuan punya diri dicela netizen yang tidak berhati perut.
Hebat sangatkah mereka mengkritik seorang bernama Nadeera? Apa salahnya? Beliau hadir ke gelanggang seni disebabkan dikurniakan suara merdu.
Dirinya mahu berkongsi bakat tersebut, bukan untuk mengusik periuk nasi sesiapa.
Namun, seperti kata Nadeera kepada penulis, biarlah nista dilemparkan itu terdampar di lautan sepi. Kepada ALLAH, dirinya berserah.
Prinsipnya itu kami respek. Namun, pada pagi yang harmoni baru-baru ini, SinarPlus memulakan wawancara dengan berbicara tentang sedikit perjalanan seninya yang alunan gelombangnya bukan biasa-biasa.
Memetik kata-kata Nadeera kepada media baru-baru ini, pelbagai program realiti yang disertai.
Namun, perjalanannya kabut, tiada satu pun yang ‘berbisa‘ untuk menaikkan nama beliau. Pun demikian, Big Stage seolah-oleh memberi satu resolusi baharu.
Ia ditambah dengan pujian melambung daripada maestro muzik tanah air, Datuk Ramli MS ketika beliau membuat persembahan bersama Jaclyn Victor pada program Gegar Vaganza beberapa minggu lalu.
Malah, bekas protegenya yang juga pelantun lagu Hijau, Zainal Abidin pernah berkata:"Saya yang sudah menyanyi selama 40 tahun ini juga tidak mampu untuk membuat persembahan sehebat Nadeera. Dia lebih bagus daripada saya."
Pernyataan itu dihargai empunya diri. Justeru, juara Big Stage itu beriltizam mahu hasilkan sesuatu yang berbeza, sekali gus meninggalkan impak optimum kepada peminat seni tempatan.
Tak belajar vokal
Kalau difikir semula, mengapa Nadeera berhak dipuji oleh individu berpengaruh seperti Ramli dan Zainal?
Jawapannya adalah suara dan teknik nyanyian serta sifat versatil yang ditonjolkan. Kepada Nadeera kami bertanya adakah terdapat guru atau kelas khas yang mengasuhnya?
Sambil tersenyum dan dengan nada penuh tenang beliau berkata:"Saya tidak pernah belajar vokal. Terus terang saya katakan, ketika menyertai pertandingan Big Stage, barulah saya mempelajari segalanya."
Termangu seketika penulis mendengarnya. Bukan apa, seorang yang mahir melantunkan suara bernada tinggi, selain berupaya menyanyi lagu irama keroncong dan asli dengan baik, kenyataan itu dianggap sangat luar biasa.
Namun, pengkisahan beliau tentang bakat semula jadi beliau yang mula dicungkil sejak berumur tiga tahun membuatkan penulis dapat melihat logiknya.
Baca juga: Anak Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani bukan calang-calang wanita. Berkarisma, tegas dan sukakan ilmu
"Dulu, jika saya dengar lagu Datuk Sri Siti Nurhaliza, saya tak akan tidur, kena nyanyi dulu, baru boleh lelapkan mata," ujarnya yang mula melibatkan diri dalam pertandingan nyanyian sejak berusia 12 tahun lagi.
Ya, pada tahun ini usia Nadeera sudah menjangkau 30 tahun. Ada yang berbisik mengatakan dirinya seolah-olah terlambat untuk mencipta nama dalam arena seni.
Namun, perlu diingatkan, umur itu sekadar angka. Tidak semua penyanyi diberi peluang bergandingan dengan selebriti antarabangsa seperti Cakra Khan. Kiranya, Nadeera memang seorang anak seni yang unggul!
Baca juga: Tiada bakat semula jadi memasak, tak tahu asas suntingan. Hidayah Limau Nipis belajar dari bawah
Kepada SinarPlus, personaliti yang elok budi bahasanya berkongsi pengharapannya.
Tulus tutur tuan punya badan, beliau mahu berduet dengan Siti Nurhaliza jika diberi ruang dan peluang.
"Sebenarnya jika dapat salam sahaja pun dah cukup kerana pertama kali saya melihatnya semasa kecil. Itu pun dari jauh saya ketika beliau membuat persembahan di Mersing," katanya yang baru mengeluarkan single berjudul Emas itu.
Tak layan hinaan
‘Saya tahu kekurangan diri saya‘. Itu antara tajuk berita yang memaparkan kekecewaan Nadeera terhadap kritikan berlebihan yang menyentuh wajah dan penampilannya.
Selain itu, bekas peserta Mentor Legend itu juga itu pernah dikecam gara-gara tubuh badannya yang gempal.
Gemawan hati empunya diri bagai ditusuk pedang tajam. Beliau teramat sedih sehingga tidak mahu keluar dari rumah, apatah berjumpa dengan sesiapa.
"Saya mahu orang faham, membidas penampilan seseorang secara keterlaluan bukan perbuatan yang baik.
"Kita boleh memberikan komen tetapi jangan sampai menghina terutamanya jika ia melibatkan rupa paras seseorang yang dijadikan oleh ALLAH," demikian reaksinya terhadap komentar jahat sesetengah netizen.
Enggan ion-ion negatif terus menyerap dalam benak, pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu tidak mahu ambil tahu lagi. Dirinya mahu sentiasa positif.
Paling penting, ibu, bapa dan pasukan yang mengurus percaya kepada kemampuan diri beliau dan sentiasa bersama dalam apa jua situasi.
Terkini, para peminat secara jelas dapat melihat transisi positif dirinya.
Baca juga: Episod Pertama Lagu Cinta Kita Musim Ketiga Raih Lebih 3 Juta Penonton
Masa yang silih berganti menyaksikan Woodwind Records telah memberi nafas baharu kepada insan bernama Nadeera yang kebolehannya boleh diangkat sehingga ke peringkat global.
Syarikat pengurusan baharu penghibur itu dipercayai akan terus menghadirkan ilham yang bernas dan menata kelola perjalanan karier selebriti tersebut yang bakal menemui sinar dan bukan sirna.
Ya, mereka sedari arif dan tahu, bukan rupa paras menjadi sandaran utama kepada seseorang penyanyi, tetap bakat dan kesungguhan yang menjadi pertaruhan sejati.
Demi Mersing
Kami tidak bercadang untuk memanjangkan kisah yang hanya menjatuhkan semangat itu. Lebih baik bercerita mengenai hal yang menyenangkan hati.
Kali ini, SinarPlus berhasrat untuk menyingkap sisi peribadi Nadeera yang lain.
Kami mahu tahu apa yang beliau lakukan pada waktu senggang? Bagaimana rejim dietnya termasuk perancangan menyambung pengajian?
Anak bongsu daripada dua beradik memulakannya dengan berkongsi tentang aktiviti yang biasa dilakukan tatkala tidak terikat dengan persembahan.
"Saya ni orangnya simple sahaja. Saya lebih gemar duduk di rumah dan menonton televisyen. Pendekatan sama saya akan buat jika saya dirundung kesedihan. Ketika ini saya tak akan jumpa sesiapa.
"Adakalanya saya keluar membeli-belah juga. Di samping itu, jika ada kesempatan, saya akan mencipta lagu," katanya sambil memberitahu, beliau ialah individu yang introvert dan tidak mempunyai ramai rakan taulan.
Namun, bukanlah tidak berkawan langsung. Ungkap Nadeera, dalam bab itu beliau sangat berhati-hati.
Pada saat ini, pengurus, sepupu, keluarga termasuk kakaknya ialah sahabat baiknya. Segala kepercayaan tertumpah pada mereka.
"Masing-masing memiliki pemikiran yang positif dan sering menyuntik motivasi saya pada diri saya," katanya.
Orang kata, hayat dalam dunia seni tidak panjang jika tidak betul-betul merancang. Sedar hal itu barangkali boleh berlaku, Nadeera sedari awal mempersiapkan diri.
Ramai juga dalam kalangan warganet bertanya, tidakkah Nadeera pernah terfikir untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Cukupkah sekadar Sijil Pelajaran Malaysia?
"Buat masa sekarang, saya tidak berfikir untuk berbuat demikian kerana mahu menumpukan perhatian pada karier saya sebagai penyanyi.
"Pun begitu, saya nasihatkan adik-adik yang masih berada dalam alam persekolahan untuk menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran terlebih dahulu. Belajarlah bersungguh-sungguh hingga mendapat pencapaian yang tertinggi sebelum memilih untuk menjadi orang yang berpengaruh," katanya.
Jeda masa yang masih tersisa, kami lanjutkan perbualan. Beritahu Nadeera, jauh dari sudut hatinya, beliau sebolehnya mahu mengajak masyarakat untuk melakukan segenap kebaikan.
"Dari dulu, saya memang teringin untuk menyumbang sesuatu kepada orang ramai melalui program-program amal. Pun begitu, saya belum berkesempatan menjadi aktivis bagi mana-mana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lagi. Insya-ALLAH jika diberi peluang, saya sangat teruja mahu melakukannya," katanya.
Kami mengakhiri temu ramah dengan Nadeera menyatakan misi murni untuk negeri kelahirannya.
"Jika diberi kesempatan, saya mahu mencipta lagu untuk daerah Mersing yang menjadi tempat awal saya mula-mula menyertai pertandingan nyanyian," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang