Tiada bakat semula jadi memasak, tak tahu asas suntingan. Hidayah Limau Nipis belajar dari bawah

A
A
A

AKAUN Limau Nipis memang tersohor di saluran media sosial. Di Facebook, pengikutnya mencecah 1.6 juta orang, sementara di saluran YouTube (lebih 679,000 pengikut) dan Instagram (lebih 398,000 pengikut).

Namun, siapa pemiliknya? Apa signifikan nama tersebut bagi empunya diri?

Selepas pencarian dilakukan, akhirnya SinarPlus berjaya mewawancara Nur Hidayatul Asmaa Sazli, wanita di sebalik Limau Nipis.

Beliaulah tukang masak, penyunting video dan perancang utama dalam mengaktifkan saluran masak memasak yang digilai ramai orang itu.

Ya, SinarPlus pasti ada pihak yang membandingkan tahap popularitinya yang tidak setanding Khairul Aming atau Yatie Kitchen. Namun, tidak keterlaluan untuk dikatakan, Nur Hidayatul Asmaa atau mesra disapa Hidayah berada dalam liganya tersendiri.

Biarpun radar kami terpisah beratus-ratus kilometer, platform Zoom menjadi landasan janji temu kami pada petang Ahad yang permai baru-baru ini.

Temu bual kami santai sahaja. Soalan dimulakan dengan bertanya bagaimana dirinya terjebak dalam bidang kulinari?

Jawapannya sedikit memeranjatkan. Rupa-rupanya tuan punya badan merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Petroleum yang melangkah keluar daripada kepakarannya dengan alasan yang munasabah.

“Saya dan suami memulakan karier sebagai jurutera di satu tempat sama. Situasi industri minyak dan gas yang tak stabil membuatkan salah seorang daripada kami perlu bertukar bidang. Jadi, sayalah orang itu,“ ujarnya.

Apabila menjadi suri rumah, sudah tentu masa senggang terlalu banyak. Maka, dibeleknya video masakan di YouTube. Pun begitu, rata-rata konten dalam bahasa Inggeris. Pada saat itu juga, tidak ramai YouTuber tempatan.

 

Bermula daripada titik itulah, wanita berusia 33 tahun tersebut terpanggil untuk berkongsi menu-menu ringkas dan cepat di laman berkenaan. Lebih menyemarakkan semangatnya apabila sang suami, Ahmad Muzakkir Mohamad, 35, turut menyokong kemahuan beliau. 

Menariknya tentang kisah Hidayah, personaliti lemah lembut itu mengakui beliau bukanlah handal di dapur. Mudah kata, dirinya tiada bakat semula jadi memasak.

“Saya seorang yang suka makan dan bukanlah pandai memasak sangat. Selain melihat tutorial di YouTube, saya banyak belajar daripada ibu kandung dan ibu mertua,“ katanya. 

Bertatih

Kenapa tidak sahaja mengkomersialkan nama sendiri? Apa simbolik dengan Limau Nipis?  

“Oh! Itu adalah cadangan spontan suami saya ketika dia membantu saya menyediakan makan malam. Kebetulan dia sedang memegang sebiji limau nipis yang mahu diperah dalam hidangan budu. 

“Seperti yang kita tahu buah itu memang lazim digunakan dalam masakan masyarakat kita, jadi kami bersetuju untuk menjadikan ia sebagai suatu jenama,“ imbaunya sambil tersenyum manis.

Bercerita lanjut, anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, masih terpahat dalam ingatan beliau tentang resipi sawi ikan masin.

“Itulah video pertama yang saya muat naik di YouTube. Lepas itu, saya biarkannya. Enam bulan kemudian, saya terkejut lihat rakaman itu ditonton ramai orang dan saluran saya memiliki ramai pengikut. Semestinya itu mencetuskan adrenalin saya.

“Sejak itu saya mula memuat naik satu video setiap minggu secara konsisten hingga ke hari ini,“ tuturnya. 

Menyambung bicara, Hidayah berkata, pada saat mula ‘bertatih‘, beliau tidak membeli sebarang peralatan. Suaminya yang bertindak membuat sendiri sebuah tripod.

Pada masa sama, video hanya dirakam pada setiap hujung minggu sahaja dan sekali lagi, suami menjadi tulang belakang.

Masa yang silih berganti menyaksikan Hidayah sudah mampu menggajikan seorang pekerja yang berperanan sebagai juruvideo dan pengendali platform media sosialnya. 

Jika dahulu, rakaman hanya dibuat di dapur, setelah lapan tahun, Limau Nipis sudah memiliki studio masakan sendiri. 

Rintangan

Sudah tentunya SinarPlus ingin menggali sejauh mana rutin seorang pencipta kandungan. Kepada Hidayah, penulis ajukan dengan pelbagai pertanyaan.

Beritahu ibu anak dua, beliau juga tidak tahu-menahu soal suntingan. Saat beliau membuat pengakuan itu, kami sama-sama tergelak.

“Ya, saya tiada asas. Suami yang ajar. Kemudian, saya belajar sendiri melalui YouTube. Adobe Premiere Pro merupakan perisian yang gunakan,“ kata beliau yang biasanya mengambil masa satu hingga dua minggu untuk menyiapkan sebuah video lengkap.

Hidayah memberitahu, kandungannya dirakam dengan dua cara iaitu secara menegak untuk dimuat naik di TikTok dan melintang (untuk Facebook, Instagram dan YouTube).

Baca juga:Dulu jururawat, kini Siti Mariam bangunkan empayar Faith Fleur. Pernah pinjam ah long sebab terdesak, ini pesannya 

Setiap video disunting secara berasingan dan rakaman suara juga dibuat mengikut durasi video dimuat naik, ujar wanita itu. 

Seperkara, beliau juga wajib memastikan video YouTube mempunyai durasi yang panjang berbanding Facebook, Instagram dan TikTok.

Jangan kata semuanya sempurna belaka. Beritahu Hidayah, pernah satu ketika beliau terlupa untuk menekan butang on pada kamera.

“Bayangkan, sebahagian proses memasak sudah tertinggal. Namun, itu adalah momen yang akan membuatkan kita lebih berhati-hati,“ ujarnya.

Kepada satu soalan, wanita penuh tatatusila itu berkata, kecenderungannya adalah lebih terarah kepada masakan bertemakan Asia.

Justeru, YouTuber popular seperti Pailin‘s Kitchen dan Abir el-Saghir menjadi rujukan empunya diri. Adakalanya resipi yang dirasakan sesuai akan dimasak semula, namun akan diolah mengikut cita rasa lokal.

“Idea konten masakan saya juga ada yang datang daripada para pengikut saya. Pada masa sama, saya juga akan menghasilkan menu viral,“ katanya.

R&D

Daripada ratusan masakan yang dimasak, anak kelahiran Kedah itu berkata, resipi kuah kacang cara ibu mertuanya mencipta sejarah tersendiri apabila viral dengan jutaan tontonan.

“Pada waktu itu, negara dikenakan Perintah Larangan Pergerakan dan kita terpaksa beraya di rumah masing-masing. Saya rasa sebab itulah ramai yang mencari cara memasak kuah kacang di rumah,“ ujarnya yang juga tidak terlepas daripada menerima kata-kata berbentuk provokatif.

Kongsinya, terdapat sesetengah pihak yang mempertikaikan pendekatan beliau memasak. Ada juga mengadu resipi yang dikongsikan beliau tidak menjadi. 

“Biasanya, saya menerima banyak maklum balas apabila menyediakan hidangan pencuci mulut. Sesuatu yang perlu diingatkan, pengurangan bahan atau tidak mengikut tatacara yang betul boleh menyebabkan kek, pastri atau puding yang dibuat tidak dapat dihasilkan dengan baik,“ jelasnya.

Hampir sedekad dalam bidang kulinari, Hidayah bertekad untuk melakukan sesuatu di luar kotak. Katanya, beliau mahu menghasilkan produk makanan, sekali gus memudahkan ibu-ibu di dapur.

Baca juga: Jihad Heliza & Hazwani tak pernah luntur, ikhlas bantu semua orang termasuk haiwan. Ada lagi tambahan misi mereka…

“Namun, itu semua masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D). Insya-ALLAH akan diumumkan nanti, doakan ya,“ katanya.

Melihat kepada graf hidupnya yang melakukan transformasi besar dengan meninggalkan bidang kejuruteraan, adakah pengorbanan itu berbaloi? Sambil tersenyum indah, beliau memberi kata-kata yang utuh: “Keputusan yang saya buat untuk berhenti kerja adalah tepat kerana saya berpeluang untuk melihat anak membesar di depan mata.“

Isu penderaan anak

Terlanjur berbicara perihal keibuan, penulis mengambil kesempatan untuk bertanya pandangannya berkenaan isu penderaan anak oleh ibu kandung sendiri.

Seperti menahan amarah, Hidayah menegaskan, zuriat adalah anugerah daripada ALLAH dan perbuatan keji itu sesuatu yang tidak boleh diterima. 

“Sekalipun anak itu sangat nakal, mendera bukanlah jalan penyelesaian. Biasanya saya lihat, kesusahan hidup akibat kos kehidupan yang meningkat atau masalah psikologi antara penyebab seorang ibu tergamak mencederakan anaknya,“ katanya dengan nada tegas.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, pencipta kandungan itu berharap pihak berwajib memandang serius masalah psikologi dalam kalangan masyarakat dan mewujudkan kumpulan sokongan untuk membantu golongan tersebut.

Baca juga: Tak cukup dengan maahad, pengacara TV Al-Hijrah, Nur Nadhrah pasang impian murni buka wisma tahfiz lebih besar

Baca juga: ‘Mungkin orang tengok saya ini moden orangnya, namun jangan tak tahu, saya berjiwa nasionalisme.’ Nikki Palikat turut luah hasrat terbesarnya

Seperkara, peribahasa mengatakan jangan jaga tepi kain orang sudah boleh diketepikan jika terhidu kes dera jiran tetangga. 

“Bukan mahu mengambil tahu hal orang orang lain, tetapi setidak-tidaknya jika berlaku jenayah itu, kita boleh segera laporkan kepada pihak berkuasa. Mungkin cara itu kita dapat tangani masalah menjadi lebih serius,“ sarannya.

Selain hukuman penjara yang setimpal, Hidayah mencadangkan agar si pelaku dihantar ke pusat pemulihan agar sikap yang terzahir dapat diubah.

“Mangsa juga perlu mendapat pembelaan dan diberikan perlindungan sewajarnya bagi mengelakkan mereka terus dirundung trauma,“ katanya. 

Kami redakan sedikit perbualan pada penghujung wawancara. Agar lebih ceria dan tenang, penulis bertanyakan bagaimana rejim diet seorang tukang masak?

“Saya memang tidak berdiet kerana kerana saya seorang yang menyukai makanan. Pun begitu, saya selalunya akan menjaga porsi yang diambil dan melebihkan protein berbanding nasi,“ katanya.

Kalau ditanya apa yang dibuat dengan sajian yang dimasak selepas sesi rakaman, sudah pastilah ia dijadikan juadah keluarga pada hari tersebut.

“Lagipun, saya memasak dalam kuantiti yang kecil sahaja,“ katanya yang akan memastikan badan berpeluh dengan melakukan aktiviti senaman mengikut aplikasi Nintendo Switch Sport.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca