PENYANYI, Datin Alyah selamat berangkat ke Tanah Suci semalam bagi menunaikan haji.
Berkongsi video mencium dan memeluknya anak angkatnya, Nur Izzara, isteri kepada Datuk Ramli MS itu memohon ampun dan maaf.
"Hari ini baru saya sedar dan rasa mungkin inilah perasaan Nabi Ibrahim AS ketika terpaksa meninggalkan Ismail AS dan Siti Hajar.
"Aku berserah kepada-MU ALLAH dan redailah hamba-MU ini.
"Berilah aku sabar yang paling tinggi juga ketenangan dalam segala perkara," titipnya.
Bermusafir sebagai tetamu ALLAH, penyanyi berusia 42 tahun itu menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Berkuasa.
"Aku tinggalkan suamiku, anakku, ibuku dan seluruh keluargaku serta insan-insan yang berada disekelilingku kepada-MU Ya ALLAH. Sesungguhnya ENGKAU sebaik-baik penjaga," kongsi Alyah.
Baca juga: Tunai haji, Johan & Ozlynn bakal berangkat ke Tanah Suci ditaja Kementerian Media Arab Saudi
Baca juga: Bakal hajah muda! Rezeki tunai haji usia 30 tahun, Elfira Loy luah syukur
Pemilik nama Noor Hasliah Abu Hasan itu juga memohon doa warganet agar urusannya di Tanah Suci lancar.
"Saya ingin memohon kalian doakan kesihatan saya sepanjang menunaikan haji.
Minta maaf kepada yang ingin berjumpa mahupun yang menelefon. Saya benar-benar tidak dapat menunaikannya kerana banyak kekalutan dan persiapan yang perlu saya utamakan. Saya mohon maaf banyak-banyak.Harap janganlah ambil hati ya," kongsinya.
Baru-baru ini Alyah berkongsi foto majlis akikah dan cukur jambul anak angkatnya menerusi satu coretan istimewa di Instagram.
Semoga urusan Alyah menunaikan haji dipermudahkan dan mendapat haji yang mabrur!