ISU pindah milik dan kerja merobohkan kediaman Biduanita Negara, Sharifah Aini meruntun hati warganet.
Memetik laporan Astro Awani, anaknya, Aliff Omar Ali mengakui sedih dengan keputusan menjual kediaman ibunya yang terletak di Petaling Jaya.
Bagaimanapun, menurut lelaki berkenaan, tindakan itu merupakan keputusan yang terbaik.
"Walaupun sedih, saya rasa itu adalah keputusan yang terbaik untuk dilakukan.
"Perkara ini telah selesai dan harap semua orang memahami keputusan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff turut berterima kasih kepada semua pihak yang masih ingat kepada Allahyarham ibunya.
"Terima kasih atas perhatian dan kerana masih mengingati ibu saya yang telah lama meninggal dunia,” katanya.
Baca juga: 'Selamat tinggal...' Rumah Biru berlatarkan KLCC bakal jadi memori, pemilik umum berpindah
BANYAK KASET & CD, TIDAK TAHU RUMAH SHARIFAH AINI
Terdahulu, wakil syarikat pemaju, CT Tang berkata pihaknya pada awal tidak mengetahui tapak dan kediaman yang dibeli itu merupakan milik penyanyi terkenal itu.
Tambah Tang, syarikat Al-Ambia membeli kediaman itu dengan harga sekitar RM4 juta dan dia terkejut apabila masuk ke salah satu ruangan di dalam banglo itu dan mendapati banyak koleksi kaset dan cakera padat (CD) milik Allahyarham.
"Saya masuk ke salah satu bilik, saya nampak banyak kaset, CD lama milik Sharifah Aini. Saya terkejut. Sebelum proses robohkan rumah dijalankan, saya tidak tahu itu rumah dia (Allahyarham Sharifah Aini).
"Saya tertanya-tanya ini siapa punya rumah. Rumah ini datang dengan reka bentuk dan kayu mahal yang lama. Semua kaset disusun rapi dalam bilik tersebut," katanya
Alif sebelum ini pernah menjelaskan mahu menjualnya kerana binaan kediaman itu terlalu besar untuk beliau empat beranak berteduh di sampung kos penyelenggaraan terlalu tinggi.
Dalam perkembangan terkini, tapak rumah itu sudahpun diratakan pemilik baharu tanah untuk pembinaan bangunan tiga tingkat dan wakil syarikat pemaju memberitahu hartanah itu dibeli pada harga kira-kira RM4 juta.
Pada 2018, rumah berkenaan dilaporkan diiklankan di laman Facebook untuk dijual dengan harga RM8 juta dan pada iklan tersebut juga menyatakan ia dimiliki seorang penyanyi terkenal.
Binaan kediaman berkeluasan 20,000 kaki persegi itu terdiri daripada perpustakaan dan dua dapur, sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, kolam ikan dan sebuah bilik pembantu rumah.
Allahyarham Sharifah Aini meninggal dunia akibat komplikasi fibrosis paru-paru di usia 61 tahun pada 5 Julai 2014 di Pusat Perubatan Pakar Damansara.
Sumber: Astro Awani, 2