ABANG kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang ditemui maut dipercayai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor mengakui tidak mengetahui tentang perihal adiknya.
Mohd Farriza Azmi Abdullah, 28, juga berkata, tidak mengetahui apa-apa maklumat mengenai lelaki berusia 26 tahun yang direman pihak polis.
"Dia (Nur Farah) seorang yang ceria dan tak pernah cerita apa-apa masalah.
"Pasal lelaki itu saya tak tahu apa-apa," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Farriza juga menceritakan detik terakhir adik bongsunya itu pulang ke kampung halaman. Katanya, adiknya merantau demi mencari rezeki.
"Kali terakhir arwah pulang ke Sarawak pada sambutan Hari Raya. Dia rapat dengan semua orang terutama mak dan semua abang-abangnya.
"Nur Farah sangat baik dan dia datang ke sini pun bekerja untuk membantu keluarga di kampung,” katanya yang masih terkejut dengan penemuan adiknya semalam.
Kakak ipar Nur Farah, Syeril Norsyuhada Suhaimi, 29, berkata buat masa ini mereka hanya menunggu laporan forensik daripada pihak polis berhubung kes berkenaan.
Syeril juga berharap orang ramai termasuk pihak media tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengguris hati keluarga.
'KAMI SAYANG SANGAT FARAH'
Salah seorang rakan rapat, Donny Sibu menerusi laman sosial TikTok sempat berkongsi rakaman video Allahyarham di lapangan terbang ketika berlepas pulang ke Semenanjung.
"Kepulangan yang kami nantikan tapi ALLAH lebih sayang Farah untuk kembali kepada-NYA. Can't believe that was your last word for us.
"Bye Donny, bye Nani, bye Yuni, jumpa lagi, sayang kalian. Kami pun sayang sangat Farah tapi ALLAH lebih sayangkan kau.
"Semoga ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman, tunggu di sana ok. Al-Fatihah," katanya.
Baca juga: Pelajar cemerlang GPA 4.0, Nur Farah Kartini bakal guru. 'Tak sempat berbakti mengajar anak didik'
BAPA MAHU SUSPEK DIHUKUM
Sementara itu, bapa kepada suspek reda dengan ujian yang sedang melanda keluarganya. Pun begitu, warga emas berusia 64 tahun itu tetap mahu anaknya perlu menerima hukuman jika benar bersalah.
Menyifatkan lelaki berkenaan sebaga anak yang baik dan bertanggungjawab, bapa berkenaan juga memaklumkan suspek bercuti sejak Rabu lepas hingga Rabu ini.
Lelaki itu terdahulu berkunjung ke rumahnya di Kampung Parit Sidang Seman, Sungai Rambai pada Khamis lalu sebelum mendapat panggilan untuk segera pulang ke balai.
Ujarnya, suspek tak banyak bercakap dan kelihatan sugul sebelum bergerak pulang.
"Apa pun saya terima seadanya, kalau apa-apa yang terjadi ini kehendak takdir ALLAH, saya percaya pada takdir ALLAH," katanya.
Pun begitu, bapa berkenaan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut.
"Silap anak saya, dia tidak membuat laporan polis apabila diugut dan mengambil tindakan sendiri," katanya sebak.
Terdahulu, mayat Nur Farah ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada pukul 6 petang, Isnin selepas dilaporkan hilang pada 10 Julai.
Lebih memilukan, jasad wanita itu dikatakan hampir reput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kecederaan yang dialami mangsa masih belum dapat ditentukan manakala tiada sebarang rampasan senjata di lokasi penemuan mayat.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian, Buletin TV3, TikTok