'Hilang di Tanjung Malim, ditemui di Hulu Selangor.' 6 hari tanpa jejak, Nur Farah Kartini ditemukan tak bernyawa, berikut kronologi tragedi
BERITA kehilangan wanita, Nur Farah Kartini Abdullah di Tanjung Malim, Perak berakhir dengan penemuan menyayat hati apabila mayatnya ditemukan sudah tidak bernyawa di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat gadis berusia 25 tahun ditemui kira-kira jam 6 petang, Isnin, dipercayai dibunuh individu dikenali.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian tersebut dan telah melakukan tangkapan berkaitan kes itu.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berikut kronologi kehilangan Allahyarham yang dilaporkan pada 10 Julai yang lalu sehingga kini:
1-Nur Farah yang berasal dari Miri, Sarawak, merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Multimedia dilaporkan hilang pada 10 Julai.
2-Menurut rakan, Nur Farah bekerja d bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.
3-Laporan kehilangannya dibuat pada pada jam 1.56 pagi.
4-Allahyarham difahamkan memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar panjang hitam.
5-Rakannya dikenali sebagai Amira cuba mengesan Nur Farah dan berkongsi gambar serta maklumat di laman sosial.
6-Menurut Amira, Nur Farah hilang sejak jam 8 pagi Rabu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di sekitar kawasan perumahan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada pagi wanita itu dilaporkan hilang.
7-Rakannya itu kemudian membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Ulu Bernam, Selangor dengan menyertakan beberapa info termasuk tinggi 163 sentimeter, berat 58 kilogram dan mempunyai tahi lalat pada bawah mata kiri.
8-Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita yang bernama Nur Farah pada pukul 1.56 pagi.
9-Portal berita melaporkan, wakil kedai percetakan yang enggan dikenali memaklumkan Nur Farah pekerja yang komited sepanjang setahun bekerja. Menurutnya, gadis itu tidak bekerja di syarikat kereta sewa sebaliknya membantu secara sambilan bagi mendapatkan komisen.
10-Menurut sumber berkenaan, Nur Farah dilihat menaiki kereta berwarna merah yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran berikutan hujan pada waktu kejadian.
11-Komunikasi terakhir Allahyarham dengan salah seorang pengurusan kedai percetakan pada 8.14 pagi hari kejadian. Selepas itu, gadis tersebut tidak dapat dihubungi. Panggilan telefon tidak berjawab, malah pesanan WhatsApp juga tidak dibalas mahupun dibaca.
12-Pada malam hari kejadian, abang Nur Farah yang tinggal di Selangor datang ke Tanjung Malim bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan mengenai adiknya.
13-Pada petang 15 Julai, polis merakam percakapan tujuh individu berhubung kehilangan Nur Farah iaitu antaranya rakan sekerja dan dan wanita yang menyewa kereta pada hari kejadian.
14-Seluruh negara dikejutkan dengan berita penemuan mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, dipercayai dibunuh.
15-Malamnya, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan Polis tahan teman lelaki Nur Farah.
16-Lelaki yang merupakan penjawat awam selama tujuh hari dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Sama-sama kita doakan agar pemergian Allahyarham Nur Farah Kartini terbela.
5 KES TRAGIS WANITA DIBUNUH ORANG DIKENALI
Pembunuhan wanita oleh orang yang dikenali bagaikan tiada kesudahan. Harapkan pagar, pagar makan padi. Lelaki yang diharapkan untuk melindungi kaum Hawa meragut nyawa orang yang mereka sayangi.
Berikut lima kes pembunuhan tragis wanita membabitkan lelaki yang dikenali pernah menggemparkan negara:
a) 6 MAC 2023- WANITA 'DITUKUL' SUAMI
Pertelingkahan suami isteri yang berakhir dengan maut. Rubiah Sabtu, 41, dari Kampung Besol, Bukit Besi hilang nyawa di tangan suami sendiri. Lebih menyedihkan, tragedi yang berlaku pada 14 Ramadan itu menyaksikan wanita berkenaan maut selepas parah pada muka akibat dipukul dengan tukul besi oleh suaminya yang berusia 30-an. Polis mengesahkan masalah kewangan menjadi motif pembunuhan.
b) 6 APRIL 2023 - ISTERI HAMIL DITEMBAK LIMA DAS JARAK DEKAT OLEH LANS KOPERAL
Wanita yang merupakan isteri anggota polis berpangkat Lans Koperal, Safsufarnisya Salleh, 26, ditembak pada jarak dekat lebih daripada lima das menggunakan pistol Walter P99 oleh suaminya dan terkena bahagian bawah mata kiri.
Allahyarham yang sedang hamil lima bulan maut bersama bayi dalam kandungan! Difahamkan dalam kejadian di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, Perlis itu tiada sebarang pergaduhan mahupun pertikaman lidah berlaku antara pasangan terbabit namun keluarga mengesahkan si suami terdahulu mengalami kemurungan sejak beberapa tahun lalu.
c) 22 JANUARI 2024 - HILANG 38 HARI RANGKA DITEMUI, SUSPEK TEMAN LELAKI SENDIRI
Selama 38 hari hilang, rangka milik ibu tunggal Mira Sharmila Shamsusah, 32, atau Bella ditemukan di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat.
Kehilangannya bermula pada 14 Disember 2023 apabila wanita tersebut keluar dari rumah menaiki kereta bersama teman lelakinya pada jam 11.50 malam untuk mencuci pakaian di kedai dobi dan terus tidak pulang.
Lebih menyedihkan, rangka ibu kepada dua cahaya mata itu juga ditemukan tidak lengkap tanpa kaki dan tangan. Mengesyaki pembunuhan bermotifkan cemburu, suspek teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan bapa saudara lelaki itu ditahan polis bagi membantu siasatan dan kes berkenaan sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
d) 24 MEI 2024 - PEKERJA KEDAI MAKAN KEDAI DIBUNUH & DIBAKAR TEMAN LELAKI
Seorang wanita berusia 24 tahun di Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor meninggal dunia dibunuh dan dibakar teman lelaki kerana dengan niat mahu menyembunyikan kehamilan wanita itu.
Tidak sekadar bunuh, lebih menyayat hati perut wanita malang itu turut ditoreh! Lelaki yang merupakan pelajar kolej 21 tahun dipercayai naik berang apabila teman wanitanya enggan memenuhi permintaannya untuk merahsiakan kehamilan berusia empat bulan dipercayai hasil hubungan luar nikah.
Lelaki itu membakar mangsa yang juga pekerja sebuah kedai makan untuk melupuskan mayat selain cuba membuang semua barang bukti di sekitar Jalan Lama Kuala Selangor.
Suspek tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali yang berasa tidak sedap hati kemudian datang semula ke tempat kejadian dengan motosikalnya kira-kira jam 7 pagi dan sekali lagi bertindak membakar mayat mangsa menggunakan minyak petrol!
e) 21 JUN 2024 - DITIKAM KERANA TERUSKAN FASAKH
Seorang wanita ditikam suami di sebuah hotel di Batu Gajah, Perak kerana ingin meneruskan tuntutan penceraian secara fasakh.
Ibu kepada seorang cahaya mata dikenali sebagai Nisya Syahkila, 32, yang ditikam beberapa kali pada perut terdahulu digantung tidak bertali, tidak diberikan nafkah, pernah dipukul dan menerima ugutan bunuh.
Tertuduh, Hairil Anaas, 37, menerima pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang