CYST atau sista ovari dengan wanita memang tak boleh dipisahkan!
Kondisi tersebut boleh berlaku kepada mana-mana kaum hawa tanpa disedari. Cuma yang membezakannya sama ada ia teruk atau sebaliknya.
Menurut Hello Doctor, cyst merupakan sejenis kapsul atau kantung yang terbentuk pada kulit di dalam atau di luar badan.
Kadang-kadang, ia dipenuhi cecair yang separa pejal. Bagaimanapun, kebanyakan sista bukanlah kanser.
Bagaimanapun, apa yang berlaku pada seorang wanita di California, Amerika Syarikat agak mencemaskan apabila mendedahkan penemuan yang cukup menakutkan.
Lapor The Mirror UK, wanita tersebut terkejut besar apabila didiagnosis mempunyai cyst yang tumbuh gigi, kulit, rambut, malahan tisu otak.
Perkongsiannya menjadi tular di media sosial selepas memuat naik video pendek di platform TikTok baru-baru ini.
Pengguna platform tersebut memberitahu, hasil pemeriksaan ultra sound dalam ruang pelvisnya menemukan sesuatu mengerikan.
Gumpalan misteri berkenaan menakutkan kerana lengkap dengan gigi, rambut, kulit yang dikatakan semakin hari semakin membesar.
"Saya harap ia bukanlah bayi sebab tak mahu anak sekarang ini. Cuma ia lebih teruk daripada bayi.
"Saya diberitahu ada cyst bersaiz 7 sentimeter (sm) sebesar telur ayam yang dipanggil 'dermoid cyst',” ceritanya.
Penerangan secara ringkas menurut Cleveland Clinic, 'dermoid cyst' merupakan poket tisu yang terbentuk bawah kulit dan lazimnya berlaku sejak lahir lagi.
Ketumbuhan pelik sedemikian boleh berlaku di mana-mana sahaja, termasuk kepala, leher, ovari atau sepanjang tulang belakang.
Cuma apa yang berlaku terhadap wanita tersebut diklasifikasikan sebagai kes jarang-jarang berlaku.
Menurut penjelasan Dr Myro Figuara menerusi satu video pendek, ia sebenarnya tumor sel pembiakan yang boleh membesar dalam mana-mana tisu badan.
"Ia boleh tumbuh gigi dan rambut. Biasanya tidak menyebabkan apa-apa simptom, jadi pesakit mungkin tak tahu kewujudan jika tidak membuat pemeriksaan.
"Jangan terkejut, lelaki pun boleh hadapi situasi sama menerusi zakar mereka,” terangnya.
Meskipun gejala tersebut jarang-jarang berlaku, namun ia mungkin boleh menyebabkan loya, muntah, sembelit atau perubahan selera makan dalam beberapa kes.
Lapor portal itu lagi, para pakar perubatan sehingga kini masih belum dapat mengenal pasti punca berlakunya sista sedemikian.
Namun berita baik bagi mereka yang sedang melalui situasi itu, gumpalan tersebut bukanlah kanser dan ia boleh dibuang melalui pembedahan.
Sesetengah doktor menyarankan kepada pesakit sekiranya sista membesar lebih daripada 5sm mereka perlu menjalani prosedur sesuai bagi mengelakkan berlaku komplikasi seperti jangkitan.
Memang pelik dan menyeramkan. Sebab itu kita digalakkan untuk membuat pemeriksaan saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.
Kalau ada bajet lebih, buatlah pemeriksaan menyeluruh satu badan. Bukan apa, penjagaan kesihatan amat penting dan perkara sebegini tidak boleh dipandang remeh.