TOSFE ketengah galeri & 9 sambal warisan, perkenal budaya sarapan pagi Malaysia untuk pengiktirafan UNESCO

Iklan

PEMINAT sambal pastinya tidak boleh melepaskan peluang untuk mencuba dan menikmati kepelbagaian makanan itu menerusi Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) yang bakal kembali buat kali ketiga tidak lama lagi.

Pesta yang akan mempamerkan sambal yang telah diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) sebagai makanan warisan, TOSFE diadakan bersempena Festival Permainan Malaysia 2024 anjuran Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD).

Iklan
Iklan

Pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry berkata, Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanan dan sambal merupakan hidangan wajib yang ada setiap kali hidangan di atas meja.

"Tahun ini, Malaysia telah meletakkan nasi lemak, teh tarik dan roti canai sebagai pencalonan bagi pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.

Iklan

Sehubungan itu, TOSFE akan mempamerkan ketiga-tiga makanan ini dalam satu sudut Sarapan Malaysia di dalam galeri tersebut sebagai tanda menyokong usaha MOTAC bagi memastikan hidangan tradisional rakyat ini diiktiraf sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia," ujarnya.

Menjana pendapatan

Pada masa sama, Galeri Sambal yang dinamakan sebagai Warong Pak Aji akan memperkenalkan sembilan jenis sambal termasuk Sambal Tahun, Sambal Rong, Sambal Biji Getah dan Sambal Tempoyak Daun Kayu mengikut tahun dan negeri masing-masing.

Iklan

Tambah Azmi, antara tarikan utama galeri tersebut iaitu di gerai teh tarik di mana pengunjung boleh bergambar dengan aksi seperti membuat teh tarik yang diperbuat daripada silikon.

Untuk edisi kali ini juga, TOSFE memberi ruang kepada artis yang mempunyai produk sambal seperti Datuk Khatijah Ibrahim dan Ezlynn untuk menjual produk sambal mereka di reruai artis.

Sementara itu, golongan asnaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) diberi peluang menjual produk sambal sendiri atau menjadi agen produk sambal keluaran artis seperti Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Nadia Mustafa tanpa dikenakan sebarang bayaran. Malah, mereka diberikan komisen hasil jualan tersebut. Ia sekali gus memberi peluang untuk golongan ini menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka.

Selain itu, aktiviti lain yang diadakan termasuklah pertandingan teh tarik, nasi lemak terbaik, pertandingan makan sambal serta Inovasi Sambal.

TOSFE diadakan bersempena Festival Permainan Malaysia 2024 adalah anjuran PSWAD dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 14 September hingga 16 September 2024 bertempat di Dataran Merdeka.