PENGALAMAN 16 tahun membimbing dan melatih usahawan membuatkan Datuk Wira Dr. Azizan Osman sedar kurangnya ilmu pemasaran dalam kalangan pengusaha PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) antara punca segelintir mereka tidak berjaya menguruskan perniagaan dengan baik.
"Hampir 90 peratus usahawan tidak berjaya mencapai kewangan lebih baik melalui perniagaan yang mereka jalankan. Bahkan, ramai antara mereka 'tersekat’ pada tahap yang sama kerana tidak tahu bagaimana untuk mengembangkan lagi bisnes," ujar Pengerusi RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu majlis pelancaran program Bina SME baru-baru ini. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd, Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya dan Ketua Pegawai Bimbingan dan Mentoran, Hafiz Jasmi.
Cabaran kewangan
Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, seramai 1000 peserta yang terpilih bakal dibantu secara intensif menerusi solusi praktikal dan bimbingan khusus kepada PKS, terutama yang sudah beroperasi lebih dari enam bulan.
"Kami yakin dengan pengalaman yang ada mampu membantu lebih ramai usahawan untuk bangkit menghadapi cabaran kewangan yang semakin mencabar, terutama menjelang tahun 2025,” ujar Azizan.
Malah dedah beliau lagi, RichWorks menumpukan perhatian kepada usahawan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bertekad untuk membantu mereka mengharungi cabaran masa kini.
"Dengan berbaki hanya beberapa bulan sahaja lagi sebelum tahun 2025, ini adalah waktu yang kritikal bagi usahawan untuk memastikan perniagaan mereka terus kukuh.
"Justeru, melalui program ini, RichWorks akan membantu usahawan mendapatkan strategi terbaik bagi meningkatkan kewangan dan memperkukuh perniagaan mereka," ungkapnya lagi.