'Zara 'hadiah' tak ternilai, bawa rahmat buat kami.' Alyah pilih jaga sendiri anak, dedah sisi penyayang Tok Ram

Iklan

KEHADIRAN permata hati, Nur Izzara dianggap sebagai anugerah terindah dirinya dan suami usai 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama.

Si kecil yang disifatkan sebagai satu rahmat buat dirinya dalam meniti kehidupan sebagai seorang ibu, Datin Alyah turut melahirkan rasa syukur dan terharu atas perancangan terbaik daripada DIA.

Iklan
Iklan

Untuk rekod, pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hasan dan suami, Datuk Ramli MS atau mesra di sapa Tok Ram yang mendirikan rumah tangga pada 2013.

Pada bulan Jun yang lalu, pasangan tersebut memuat naik sekeping gambar bertiga di atas pelamin usai majlis cukur jambul dan aqiqah sekali gus memperkenal Nur Izzara sebagai anak angkat mereka.

Iklan

Mengakui masih dalam proses membiasakan diri dengan status ibu, berbekalkan pengalaman mengasuh anak saudaranya sebelum ini sedikit sebanyak membantu dirinya.

"Alhamdulillah, nak kata mudah itu memang tidaklah. Masih lagi dalam proses untuk memahami, lebih-lebih lagi ini tanggungjawab yang besar.

Iklan

"Tok Ram memang banyak membantu, bahkan dia yang rajin melayan dan selalu dukung Zara jika ada di rumah,” ujar Alyah lagi.

Pun begitu, beliau terpaksa mengambil keputusan membawa anak angkatnya yang kini berusia enam bulan itu ke lokasi persembahan baru-baru ini memandangkan suaminya itu kini terbabit dengan rakaman program Projek Bapak-Bapak di luar negara.

"Itu yang buat saya bimbang untuk meninggalkan Zara walaupun ada dua pembantu rumah. Jadi, saya memang akan bawa Zara dan seorang pembantu rumah ke mana-mana lokasi persembahan saya untuk tempoh 20 hari ketiadaan suami.

"Kalau Tok Ram ada di rumah dan sekiranya berlaku apa-apa pada Zara, dia boleh balik atau saya boleh balik tengokkan. Sekarang saya seorang dan kenalah bawa dia ke mana sahaja.

"Jika mahu hadir mana-mana persembahan, saya sediakan diri selengkapnya termasuk penginapan bilik supaya tidak menyusahkan pihak lain dengan kehadiran Zara,” kongsinya lagi.

Ayah penyayang

Dalam pada itu, Alyah menitipkan rasa syukur karana anaknya itu tidak pernah dirasakan membebankan dirinya daripada awal dijaga sehinggalah sekarang.

"Saya memang ada pembantu peribadi dan pembantu rumah bagi penyediaan keperluan saya jika membuat persembahan., tetapi kalau bab keluar berjalan-jalan, saya sendiri yang akan sediakan tanpa bantuan orang lain.

"Contohnya kalau nak keluar ke mana-mana bawa Zara itu adalah di bawah tanggungjawab saya untuk sediakan semuanya tanpa bergantung kepada mereka. Pernah juga sebelum ini saya terpaksa berpatah balik ke rumah gara-gara terlupa bubur nasi anak yang tertinggal,” kata Alyah sambil tertawa tatkala mengingati hal tersebut.

Berkongsi lanjut akan jalinan kasih antara suami dan anak kecilnya itu, beliau tidak menyangka sisi seorang bapa begitu ketara dalam diri Tok Ram.

"Saya selalu ingat pesanan mak, kena ada masa untuk anak dan tak boleh hanya harapkan pembantu rumah sahaja uruskan. Sebab itu, di rumah, saya sediakan dua katil bayi iaitu satu untuk kegunaan di bilik saya dan lagi satu di bilik pembantu sekiranya saya pulang lewat atas satu-satu urusan.

"Tapi, katil di bilik saya itu jarang digunakan kerana Tok Ram selalu bawa Zara tidur bersama dengan kami. Sampaikan baru-baru ini, bila Tok Ram tiada di rumah, si kecil asyik merengek dan menangis seolah-olah mencari ayahnya.

"Jadi, ada yang cadangkan pada saya supaya ambil baju Tok Ram dan berikan pada Zara. Memang menjadi, lepas tonyoh-tonyoh muka dengan baju itu terus lena anak dara kami. Saya yang memang tak percaya sebelum ini, tetapi kini jadi depan mata,” ujar pelantun lagu Kisah Hati itu sambil tersenyum manis.

Bukan itu sahaja, bahkan suami tercinta juga seolah-olah enggan berenggang dengan buah hati kesayangan mereka itu.

"Di rumah kami memang ada bilik khas untuk Tok Ram membuat kerja-kerja tanpa diganggu. Sebelum ini, kalau pagi dia masuk (bilik), petang barulah keluar, tetapi sekarang, kejap-kejap dia keluar, kemudian masuk semua. Sampaikan pintu itu asyik buka tutup sepanjang masa.

"Saya pun tidak sangka begitu sekali penangan Zara pada suami dan memang nampak sisi seorang ayah yang begitu penyayang,” ujar Alyah lagi.

Tirai bicara mengenai si kecil Zara yang kami noktahkan di situ sementelah masih banyak persoalan yang ingin diajukan buat tuan punya badan. Maklumlah bukan mudah untuk bersua muka dengan penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor itu.

Kesempatan tersebut penulis ajukan persoalan, tiadakah keinginan untuk mengadakan konsert seperti mana yang dilakukan penyanyi lain, ini jawapan empunya diri:"Saya sudah berada dalam industri selama 24 tahun dan dalam tempoh ini tipulah andai kata tiada keinginan (mengadakan konsert). Namun, pada masa sama, saya sedar belum sampai masa untuk hadiahkan sebuah konsert buat peminat tersayang.

"Bukan tidak bersedia atau enggan berbuat demikian, cuma saya percaya saat itu pasti akan tiba tetapi bukan masa terdekat. Selain soal kekangan kewangan kerana nak buat konsert memerlukan kos yang besar, ditambah pula sikap cerewet saya yang ingin tampilkan yang terbaik.

"Sejak dahulu saya sentiasa mahukan yang terbaik dan tidak sekadar ambil mudah semua hal. Mungkin tahun depan saya akan tampil dengan satu showcase yang berskala kecil terlebih dahulu, seiring dengan keterlibatan saya selama 25 tahun dalam industri seni,” ujarnya penyanyi Sesal Separuh Nyawa itu lagi.

Harga mahal

Alyah turut ditanya jika beliau mahu membuat konsert, adakah beliau akan menyajikan kolaboratif bersama suami tersayang?

"Harga saya dan Tok Ram ibarat langit dan bumi bezanya. Lagi pun semua tahu siapa dirinya, kan? Apabila saya meletakkan satu-satu harga untuk persembahan, itu bukan kerana mahu riak atau jual mahal, sebaliknya kena pada situasi dan pengalaman saya sepanjang bergelar anak seni.

"Kalau orang bayar sesuka hati, memang saya takkan terima, kita kerja sudah lama tetapi masih ada yang tidak tahu menghargai, jadi apa perasaan anda? Lagipun, bayaran yang diletakkan tidaklah melebihi artis senior. Yang penting masuk akal dan jika ada minta budi bicara, kita akan sama-sama berbincang.

"Orang mungkin ingat saya isteri Datuk Ramli MS, tetapi saya juga ada tanggungjawab dan komitmen, sudah tentu saya perlukan nilai yang sepatutnya. Mereka tidak tahu saya ada mak dan anak saudara (anak abang) yang perlu dibantu. Begitu juga kawan-kawan lain yang memerlukan bantuan walaupun sedikit,” ujar Alyah dengan nada lembut namun penuh ketegasan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak SinarPlus yang menerima jemputan bagi menghadiri bengkel kecantikan anjuran jenama TwoMee.

Dalam program berkenaan, beliau yang juga duta produk tersebut turut menghiburkan 100 peserta bengkel solekan serta beramah mesra dengan mereka.

Menyentuh mengenai produk berkenaan, akui Alyah, ia bukan sekadar produk untuk solekan semata- mata, sebaliknya ia juga boleh dijadikan produk penjagaan kulit yang sesuai untuk semua peringkat umur dan jantina.

Bagi yang mengenali wanita berusia 43 tahun itu, pasti sedar, beliau tidak seperti segelintir selebriti lain yang mengejar nama-nama besar, sebaliknya, tuan punya badan menerima tawaran sebagai duta mahupun wajah kempen bagi jenama-jenama yang baharu bertapak.

"Sejak dahulu lagi, prinsip saya tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana jenama walaupun masih baharu. Asalkan semua yang ada depan saya boleh terima cara saya bekerja, kekurangan diri ini, apa pengalaman yang saya ada, itu sudah cukup untuk bekerja dengan mereka.

"Lagipun, saya percaya apa yang mereka lalui kini dan pengalaman yang diperoleh kelak akan membantu memperbaiki kekurangan pada masa hadapan,” ujar Alyah.