BAGI mereka yang dilahirkan pada era 80-an dan 90-an tentu tidak akan lupa pelakon komedi ini. Lan Pet Pet dan kumpulan Senario antara pelopor kumpulan pelawak generasi baru yang menggeletek hati penonton.
Pejam celik, figura yang membuatkan kita tak kering gusi ini sudah melewati usia 55 tahun.
Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad punya misi mahu dikebumikan di Perkuburan Baqi dan bakal berhijrah ke Madinah tahun bersama keluarganya pada tahun hadapan.
Dimaklumkan, Lan sepatutnya berpindah ke Madinah tahun ini tetapi terpaksa menangguhkan hasratnya bagi memenuhi permintaan balu Allahyarham Hamdan supaya terus bersama Senario.
"Ikutkan saya ke Madinah tahun ini, tetapi isteri arwah Hamdan, Norhamalini Ahmed minta saya terus bersama Senario bagi menjaga ukhuwah dan silaturahim kami.
"Jadi, saya tangguhkan perancangan ini, insya-ALLAH saya dan keluarga akan berangkat menunaikan umrah bersama keluarga minggu depan dan kami akan tinjau apa yang patut di sana.
"Bila isteri kata setuju, saya tak mahu tangguhkan lagi. Insya-ALLAH, ada rezeki saya akan bawa isteri dan anak-anak berhijrah ke sana. Bagaimanapun, kami akan kerap berulang-alik," katanya.
Kata Lan, visa sudah pun diuruskan syarikat dan beliau yang akan menguruskan hotel dan restoran milik Al Maliki Group di sana.
Artikel berkaitan:
- 'Al-Fatihah sayang.' Jemaah haji kongsi catatan pilu isteri meninggal dunia kerana pendarahan otak 4 hari sebelum wukuf
- 40 hari bermotosikal sejauh 14,769km ke Madinah, Tanabalan buktikan beza agama bukan halangan. 'Terima kasih yang membantu'
- Selesai haji baru update, Amy Mastura kini bergelar hajah
Biarpun tinggal di sana, kerjayanya di Malaysia tetap berjalan. Malah suami kepada Ruby Che Wan itu akan berulang-alik Madinah dan Kuala Lumpur.
"Insya-ALLAH, kerjaya bersama Senario akan tetap berjalan seperti biasa, kalau ada undangan saya akan balik ke sini.
"Saya sudah penat buat ulasan makanan dan restoran kerana terpaksa berlari ke sana-sini.
"Pada usia sekarang apa lagi yang ingin saya kejar? Saya hanya ingin dekatkan diri dengan ALLAH dan Rasul. Saya bersyukur dipertemukan dengan orang betul," katanya.
Malam 31 Ogos lalu, Lan dikejarkan ke Hospital Melaka dipercayai akibat serangan jantung. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa saluran jantung pelawak itu tersumbat.
Sekadar info, Lan yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan 1994 terbitan TV3 berkahwin dengan Ruby Che Wan, iaitu adik kepada pelakon Rozita Che Wan pada 20 Ogos 2008.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Pasangan berkenaan berhijrah ke arah kebaikan selepas kembali menunaikan ibadah haji pada tahun 2017.
Sumber: Berita Harian