NAMPAK gayanya sana sini rancak memperkata tentang filem terbaharu, Ipar Adalah Maut. Bukan sahaja jalan ceritanya yang mencuri perhatian, tetapi elemen-elemen tertentu dalam filem itu membuatkan ramai wanita, terutamanya yang bergelar isteri, berasa cukup geram dan tidak puas hati.
Filem arahan sutradara terkenal Hanung Bramantyo itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Michelle Ziudith, Deva Mahenra dan Davina Karamoy sudah ditayangkan di pawagam sejak 13 Jun lalu.
Terbaharu, filem tersebut sekali lagi meraih perhatian ramai selepas ditayangkan menerusi Netflix.
Dinspirasikan daripada kisah benar dan viral, filem yang mengisahkan Nisa (Michelle Ziudith), seorang isteri yang hidup bahagia bersama suaminya, Aris (Deva Mahenra), dan anak perempuan mereka, Raya.
Kebahagiaan itu mula tergugat apabila adiknya, Rani (Davina Karamoy), datang tinggal bersama. Kedatangan Rani merubah segala-galanya.
Filem tersebut membawa penonton melalui perjalanan emosi seorang kakak, isteri dan ibu yang menghadapi pengkhianatan suami sendiri apabila terjerat dalam hubungan terlarang dengan adik iparnya sendiri.
Batas dalam hubungan
Ipar Adalah Maut pada penulis bukan sekadar sebuah filem, tetapi seolah-olah memberi gambaran tentang ketidakadilan yang sering dihadapi oleh wanita dalam situasi sosial yang rumit.
"Saya tak sangka filem ini boleh buat saya geram macam ni. Saya rasa seperti setiap wanita berhak untuk dihormati dalam keluarga, bukan dijadikan alat untuk mencapai matlamat peribadi orang lain. Aris, dalam filem ni, betul-betul buat saya sakit hati!" kata salah seorang pengguna Twitter yang menonton cerita tersebut.
Beberapa pengguna lain turut meluahkan perasaan mereka melalui Facebook, mengatakan bahawa filem berkenaan sangat relevan dengan realiti sosial di luar sana.
"Kadang-kadang, ipar kita boleh menjadi orang yang paling banyak mencampuri urusan rumah tangga. Tapi filem ini menunjukkan dengan cara yang sangat mendalam, sampai saya rasa seolah-olah saya yang jadi Nisa," kongsi seorang lagi pengguna.
Namun, di sebalik rasa geram itu, ada juga yang memberi penghargaan terhadap cara pengarah menampilkan tema rumah tangga dan isu keluarga.
Boleh dikatakan filem itu bukan sekadar tentang konflik keluarga, tetapi lebih kepada refleksi dinamik kehidupan sebenar.
Pada masa sama, ia memberi pengajaran mengenai had privasi dalam sebuah perhubungan. Meski mengundang rasa marah, juga membawa mesej kuat mengenai pentingnya menjaga sempadan dan melindungi keharmonian keluarga dari pengaruh luar yang tidak diingini.
Ia bukan sekadar tentang lelaki yang salah semata-mata, tetapi tentang bagaimana menjaga batas-batas dalam hubungan. Kadang-kadang, orang yang kita percayai seperti ipar boleh membawa kemudaratan tanpa kita sedar.
v