PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara.
Sememangnya layak, Siti menerima anugerah itu dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Menerusi hantaran di Instagram, Siti mengimbau kembali kenangan jatuhbangunnya. Sebelum enam juta unit jualan album fizikal, lebih 60 konsert dalam dan luar negara, Siti adalah gadis biasa yang mempunyai cita-cita besar.
"Alhamdulillah, dari situ perjalanan ini dimulai. Bermula dengan panggung kecil ke besar, merakam album demi album, mengumpul anugerah dan pencapaian.
"Diberi kepercayaan dalam banyak peluang kerja. Ini lah perjalanan saya, Siti Nurhaliza.
Bermula pada tahun 1995 sebagai pemenang Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), memang selayaknya anak keempat Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik itu dianugerahkan gelaran Biduanita Negara atas pencapaian yang diraih.
"Macam bermimpi pula mendengar lagu sendiri di radio untuk pertama kali.
"Saya tidak pernah menyangka lagu-lagu yang saya rakam (lebih 30 album dan 300 buah lagu) akan menyentuh begitu banyak hati.
"Lagu saya adalah cerita saya. Kamu, dia, untuk semua," katanya.
Menjadi seorang penghibur bukan mudah namun peluang itu diambil Siti untuk memberikan dedikasi kepada masyarakat.
"Saat tirai konsert terbuka dan cahaya pertama menyentuh panggung, ada perasaan magis yang memenuh jiwa.
"Keinginan untuk terus berbahagi, mencipta momen bersama, itulah yang membuat saya ingin terus melangkah.
"Konsert adalah ruang untuk saya meluahkan emosi dengan lagu, muzik dan tarian. Setiap senyuman penonton adalah energi yang memaksikan saya di pentas.
"Setiap kali konsert berakhir, sebuah mimpi terhenti, tetapi ia tetap hidup dalam hati.
"Seni ada keunikannya tersendiri. Hidup dan bernafas dengan cita-cita untuk menyatukan kita semua, tidak mengira siapa dan mengapa.
"Terima kasih untuk setiap momen kita kongsikan selama ini. Yang benar, Siti," katanya.
Semalam isteri kepada DatuK Seri Khalid Mohamad Jiwa itu menerima anugerah dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur semalam.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Selaku penerima Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, beliau akan menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.
Sumber: Instagram