TAHNIAH diucapkan buat influencer dan juara qariah Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 24, yang menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan cemerlang.
Tumpang gembira penulis apabila wanita inspirasi ini dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Majlis Konvokesyen UKM kali ke-52 berlangsung semalam,
"Terima kasih ya Rabb. Terima kasih emak dan keluarga, semua guru-guru, pensyarah yang sangat Farha sanjungi.
"Kawan-kawan yang sangat Farha sayangi. Banyak menjadi support system sepanjang Farha menempuh pembelajaran di universiti. Doakan Farha untuk masa mendatang," kongsinya.
Figura yang mesra disapa Farha itu sempat berkongsi kegetiran yang dilalui semasa bergelar pelajar.
"Setiap perjalanan pasti ada cabarannya, yang penting yakin pada ALLAH kita mampu lalui-NYA.
"Sebagaimana firman ALLAH SWT: لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ Maksudnya: ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. [Al-Baqarah:286]
"Sungguh, ujian itu diberikan pada yang mampu," katanya.
Artikel berkaitan:
- Tahniah! Usia 24 tahun Farhatul Fairuzah terima tauliah mengajar. 'Sama-sama kita belajar & menyampaikan walaupun satu ayat'
- Tesis Farhatul Fairuzah jadi inspirasi dan bakal dibukukan. 'Doakan saya istiqamah & rezeki sambung Master'
- Media sosial medan dakwah Farhatul Fairuzah Sofizah ungguli pertandingan tilawah antarabangsa, 15 fakta mengenainya
- Alhamdulillah! Tamatkan pengajian empat tahun, Sissy Imann genggam Sarjana Muzik
Baru-baru ini, Farha turut berkongsi tesisnya yang bertajuk 'Amalan Pembelajaran Tarannum Profesional Dalam Kelas Pengajian Tarannum di Masjid Asy Asykirin KLCC' mendapat pujian daripada tenaga pengajar dan akan dibukukan.
Memetik laporan Berita Al Hijrah, beliau menamatkan pengajian pra siswazah itu dengan memperoleh Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) 3.90. Well done Farha!
Beliau yang memulakan pengajian di UKM pada 2020 terdahulu tamat Tingkatan Enam dalam bidang syariah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan.
Tidak hanya cemerlang akademik, juara Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017) itu baru-baru ini menerima tauliah mengajar sekali gus menjadikan beliau pendakwah dan penceramah pada usia 24 tahun!
Tahniah daripada team SinarPlus! Semoga tercapai cita-cita untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dan seterusnya bergelar pensyarah dalam bidang al-Quran.
Sumber: Instagram, Berita Al Hijrah