SEJUK mata memandang penampilan pelakon Angeline Tan. Memeluk Islam pada 26 September 2023 lalu, Angeline atau nama penuhnya Ardini Angeline Tan berkata, beliau mempunyai pendekatan yang lebih mudah kepada orang bukan Islam apabila menjelaskan tentang kewajipan menutup aurat.
"Islam bukan sahaja panduan hidup tetapi ia juga menjaga dan mengajar para wanita untuk menjadi lebih kemas, bersih dan berketerampilan.
"Untuk orang lain yang mungkin tak faham keperluan memakai tudung, saya ceritakan pada mereka begini,
"Dengan orang bukan Islam, apabila bercakap mengenai tutup aurat, mereka kurang faham kerana saya dahulu pun begitu. Saya sangat faham apa yang mereka fikir.
"Saya katakan kepada mereka, sekarang saya rasa lebih kemas, kalau dulu kena fikir soal rambut tapi sekarang pakai tudung semua jadi. Bukankah ini satu fesyen yang cantik?" katanya.
Artikel berkaitan:
- Margaret Gan peluk Islam pada usia 79 tahun, gembira Ardini Angeline Tan kini mualaf
- Indahnya maksud Ardini, Sabri Yunus pilih nama untuk Angeline Tan tak sampai 2 minit
- 'ALLAH tidak pernah mengabaikan sesiapa pun' - Angeline Tan
- '32 tahun kenal, abang beri masa yang cukup untuk buat keputusan' - Angeline Tan
- 'Dia insan yang saya kagumi.' Angeline Tan dedah bagaimana terbuka hati terima Sabri Yunus, kenal 3 tahun baru melamar
Dalam masa yang sama, isteri aktor dan pengarah Sabri Yunus itu juga turut memberikan pemahaman mudah tentang mereka mengenai pemakaian menutup aurat.
"Ada pula yang tanya, ‘sekarang sudah kena pakai baju berlengan panjang?’
"Saya kata padanya, pakaian berlengan panjang sangat bagus sebab akan melindungi kulit wanita," katanya.
Aktres berusia 56 tahun itu turut menasihati para muslimah agar menutup aurat mereka dengan baik.
Malah, beliau turut memberikan analogi wanita umpama coklat mewah dalam bungkusan eksklusif.
"Coklat yang mahal lagilah kena balut dengan cantik.
"Dalam Islam wanita sangat berharga dan Islam sangat menjaga wanita.
"Jadi, jagalah dirimu baik-baik dan tutuplah aurat kamu," katanya.
Warganet memuji perkongsian Angeline menerusi akaun TikTok Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) itu.
"Terbaik penyampaian dakwah. Simple, mudah difahami dan diikuti."
"Benar. Jagalah dirimu baik-baik. Islam amat menghargai dan melindungi wanita."
Sekadar info, Angeline berkahwin dengan Sabri dalam satu majlis ijab kabul tertutup di Musalla Teduhan Doa, Kangar, Perlis jam 10.30 pagi, 14 Oktober lalu.
Pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu mendedahkan Sabri adalah orang yang bertanggungjawab memupuk minat Angeline terhadap Islam mendedahkan ia adalah proses yang tidak mudah.
Sumber: TikTok