BAHARU bergelar ibu 15 Disember lalu, aktres Datin Intan Najuwa berkongsi pengalamannya melahirkan cahaya mata pertama, Imane Lunara.
Pelakon berusia 27 tahun itu sempat menitip kisah kepayahannya yang terpaksa ditahan di wad selama lapan hari kerana keadaannya yang tidak stabil sehingga dibenarkan pulang.
Malah dengan pengalaman yang bukan kepalang itu baharulah isteri kepada Datuk Ahmad Azraf Azman tahu betapa indahnya menjadi seorang ibu.
Perjalanan yang tidak mudah bermula daripada detik awal di dewan bedah apabila beliau menghadapi masalah bius, diikuti rengat, tidak boleh membuang air kecil, gastrik dan bengkak susu.
Berikut pengalaman Intan yang dititipkan menerusi Insta Story miliknya.
HARI BERSALIN
"Pengalaman bersalin saya. Ia agak mencabar kerana saya mempunyai toleransi kesakitan yang rendah. Tetapi dengan sokongan doktor yang hebat, suami saya, keluarga saya, dan semua jururawat yang luar biasa yang menjaga saya sepanjang lapan hari di hospital, mereka benar-benar saya.
"Pembedahan saya dijadualkan pada pukul 9:30 pagi, jadi saya perlu bangun awal untuk bersiap dan menuju ke bilik pembedahan.
"Baiklah, inilah ceritanya. Mereka masukkan kanula, dan kemudian berikan saya anestesia tulang belakang. Tetapi malangnya, badan saya membengkak jadi doctor terpaksa cuba lima kali sebelum dapat capai saraf tunjang saya. Ia sangat menyakitkan, tetapi saya tahu saya mempunyai pasukan doktor yang hebat yang menjaga saya dengan baik.
"Jadi, lepas anestesia tulang belakang tu, saya benar-benar panik dan fikir akan mati kerana tidak dapat bernafas dengan betul. Tetapi pakar bius sangat tenang dan meyakinkan bahawa tahap oksigen saya baik-baik saja, dan hanya menyuruh fokus pada pernafasan. Malah, saya muntah sepanjang prosedur pembedahan.
"Suami pegang tangan saya, yakinkan bahawa semuanya akan baik-baik saja. Saya menangis dan muntah sepanjang prosedur sehingga bayi kami akhirnya dilahirkan. Dia selamat dilahirkan. Bayi saya sihat dan besar,"kongsinya.
HARI PERTAMA
Selepas Imane selamat menjengah ke dunia, Intan mula merasai kesakitan sebaik sahaja fungsi bius terhenti.
Apatah lagi apabila rengat mula menyerang, pelakon Kekasih Paksa Rela itu terpaksa meminta ubat penahan sakit. Namun bahan itu pula memberi kesan sampingan.
"Apabila ubat bius habis, saya boleh rasa semuanya. Jadi saya bertanya doktor dan jururawat, boleh ke suntik ubat penahan sakit dan morfin.
"Empat jam pertama saya terpaksa menahan sakit itu. Setiap lima minit saya tekan. Tambahan pula saya alami rengat yang sangat teruk.
"Saya terlalu sakit sehingga tak boleh bercakap dan ubat penahan sakit kuat buat saya rasa sangat pening. Saya memang tak nampak muka orang langsung hari tu. Saya dengar jururawat dan bidan banyak kali buat lawak macam-macam, tapi saya diam saja sepanjang masa dan menahan sakit," kongsinya.
HARI KEDUA
Hari kedua bersalin menyaksikan artis wanita ini mengalami masalah di bilik air hingga terpaksa mengambil ubat penahan sakit.
"Syukur rengat semakin berkurangan. Tapi saya masih tiada selera makan dan hanya meminum air tanpa henti. Kemudian jururawat bertanya,"Nak cuba bangun dan berjalan tak?” Tapi jika tak boleh, mereka akan paksa dan dorong menggunakan kerusi roda ke tandas serta memberi ubat pencair darah.
"Mereka yakinkan saya mesti cuba bangun. Tapi saya tak sanggup sebab rasa sakit sangat hari itu. Saya paksa diri juga bangun dan berjalan.
"Saya 'push' diri sendiri untuk bangun kerana ingin mencabut tiub kencing. Sebab kalau tiub kencing tak cabut cepat, akan ada jangkitan pula
"Ia adalah pengalaman kali pertama saya berjalan selepas bersalin. Tak tahu nak cakap macam mana sakitnya. Sakitnya 'gila-gila', hendak letak kaki atas lantai pun rasa hampir terburai perut. Siapa yang cakap cesar tak sakit tu, tipu!
"Tapi akhirnya saya berjaya bangun dan jalan ke tandas. Cabut tiub kencing, mandi & tukar baju semua. Sekitar pukul 8 malam macam tu, saya rasa nak kencing. Ini kali pertama saya kencing selepas tiub kencing dicabut.
"Dan teka apa? Saya tidak boleh kencing. Hendak buang air kecil tetapi tidak boleh sebab perut sangat sakit sangat. Saya menangis dan menjerit meminta tolong. Satu tingkat boleh dengar suara saya.
"Jadi, selepas mereka bawa masuk kerusi roda, mereka terus berikan ubat penahan sakit. Alhamdulillah, kemudian saya okay. Saya sudah boleh kencing cuma sumpah trauma dengan part ni," titip Intan.
HARI KETIGA
Perjalanan awal Intan bergelar ibu menyaksikan beliau mengalami serangan gastrik pada hari ketiga dan keempat kelahiran Imane.
"Pukul 5 pagi, tersedar dan kena serangan gastrik. Boleh bayangkan, dengan perut czer, kemudian muntah-muntah sebab gastrik? Rasa nak terburai perut.
"Mereka terpaksa bagi saya ubat untuk hentikan muntah dan IV untuk gastrik. Jadi, kesakitan dari rengat dan sakit perut semuanya telah mencetuskan serangan gastrik pada hari itu. Sakit dia, masya-ALLAH.
HARI KEEMPAT
"Doktor pakar sakit puan rujuk saya kepada doktor pakar perut untuk memantau keadaan kerana kesihatan saya jadi teruk pada hari keempat. Saya tak dapat tidur, susah bernafas, dan rasa sakit dada. Jadi, sekarang jururawat dan doktor sentiasa memantau saya dengan rapi," kongsinya.
HARI KELIMA
Selepas gastrik mula reda, pelakon Racun Rihanna itu berkongsi mengalami bengkak susu pula.
"Keadaan saya masih teruk. Dan pada hari kelima pula, saya kena bengkak susu. Ibarat jatuh ditimpa tangga. Bengkak susu tu tak main-main kesakitannya.
"Saya mula menggigil dan badan panas macam demam. Tetapi saya sangat bersyukur untuk semua jururawat yang menjaga saya dan berusaha sebaik mungkin untuk meringankan kesakitan," coret Intan.
HARI KEENAM
Enam hari berkampung di wad, pelakon jelita itu mula merasakan tidak selesa dan ingin pulang. Usahanya meyakinkan suaminya yang tersayang bagaimanapun tidak berjaya.
"Saya mula cemas pada hari itu kerana rasa tidak selesa dengan semua jarum di tangan dan meyakinkan suami saya untuk bawa saya balik dari hospital. Saya betul-betul tak sangka yang dia tak akan benarkan saya keluar dan meminta doktor untuk tidak benarkan saya discaj.
"Untuk pengetahuan anda, suami saya telah berada di sisi saya 24/7, memantau keadaan saya sejak hari pertama. Dia tak pernah tinggalkan saya walau sekejap, walaupun saya asyik bertanya sama ada saya kelihatan okay. Dia tak benarkan saya balik kerana risau saya masih belum sihat sepenuhnya dan tidak cukup kuat.
"Doktor pula galakkan saya untuk tinggal dan mempercayai mereka supaya saya dapat dilihat semakin pulih, dan akhirnya saya bersetuju untuk tidak meninggalkan hospital," kongsinya.
HARI KETUJUH
Intan kuatkan diri. Demi untuk pulang ke rumah, pelakon cantik itu cuba membuktikan keadaannya semakin pulih.
"Saya cuba kekal positif, mengatakan pada diri sendiri bahawa keadaan akan bertambah baik dan saya perlu bersabar serta berehat dengan baik. Saya hanya mahu cepat sembuh dan pulang ke rumah. Para jururawat semuanya baik hati dan sentiasa memberikan semangat untuk saya kekal kuat dan positif,” katanya berkongsi.
"Gembira makin pulih daripada sakit, yakinkan suami untuk balik rumah.
"Saya terus yakinkan suami yang saya makin pulih dan dan sedia untuk pulang, tetapi dia belum yakin. Kena cuba lagi esoklah nampaknya.
"Jadi, saya habiskan hari-hari dan tunjukkan pada suami yang saya sudah makin baik, boleh jalan perlahan, makan, dan tahan kesakitan. Susah ya nak"talk dengan” Doktor Asraf ni! Garang gila. Stress aku!," tulis Intan.
HARI KELAPAN
Memasuki hari terakhir di hospital, Intan mula berasaa sihat dan berjaya pulang ke pangkuan keluarga. Baginya berpantang lebih baik di samping insan-insan yang disayangi.
"Saya rasa lebih baik, kecuali kesakitan pada bahagian luka pembedahan. Tetapi saya kena berlakon tough di depan suami! Berjaya meyakinkan dia untuk membenarkan saya pulang, terima kasih kepada doktor yang meyakinkan bahawa saya semakin pulih dan memberikan semua ubat tahan sakit dan ubatan yang diperlukan.
"Tiada apa yang perlu dirisaukan! Akhirnya, dia setuju untuk saya pulang pada hari kelapan. Terus hilang rasa sakit bila dapat balik.
"Alhamdulillah, apabila di rumah, berpantang pula cara tradisional. Masih sakit tetapi saya boleh tahan. Macam mana pun, pantang kat rumah juga happy ya!
"Saya sangat bertuah kerana ada suami, ibu, ibu mentua, adik-beradik, pembantu, confinement lady yang menjaga dan menyokong saya sepanjang tempoh pemulihan ini. Mereka semua memastikan saya mendapat rehat yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya.
"Itulah pengalaman bersalin saya. Baru hari ini ada kekuatan untuk bercerita kerana apabila diimbas kembali, teringat waktu dan hari-hari yang sukar itu,” luahnya berkongsi.
PERJALANAN INDAH MENJADI IBU
Hampir sebulan berlalu, Intan ini semakin pulih terutama di bahagian luka pembedahan. Beliau bahkan mula merasai manisnya bergelar ibu.
"Melihat kembali pengalaman bersalin, ia agak menakutkan kerana saya melalui kesakitan yang sangat hebat. Tetapi itulah pengorbanan dan perjalanan menjadi seorang ibu yang begitu indah.
"Sama ada bersalin secara normal atau melalui pembedahan, kita semua adalah ibu yang kuat. Kekal positif dan ingat bahawa semua ibu di dunia ini sangat hebat. Kini, saya benar-benar memahami manisnya menjadi seorang ibu.
"Satu perkara yang saya sangat bersyukur ialah Dr Seri Suniza menjalankan tugas yang luar biasa dengan jahitan pembedahan yang sangat cepat sembuh iaitu kurang daripada dua minggu. Malah ia juga begitu kemas sehingga saya langsung tidak dapat melihatnya.
"Beliau adalah doktor terbaik dan keputusan saya memilih beliau untuk menyambut kelahiran anak adalah yang terbaik. Dr Seri seorang pakar dan sangat tenang sepanjang pembedahan. Jika saya ada bersalin lagi, saya pasti mahu beliau menjadi doktor saya sekali lagi.
"Beliau telah menjaga dan memastikan saya dalam keadaan baik sepanjang kehamilan, sehingga saat saya bersalin. Saya rasa sangat selesa dengan kehadirannya dan tahu saya berada dalam tangan yang baik. Sayang awak Dr Seri,” kongsinya.
Intan terdahulu mendirikan rumah tangga dengan Datuk Ahmad Azraf yang merupakan ahli perniagaan pada 18 Ogos 2023.
Beliau hanya berkongsi berita kehamilannya pada Julai tahun lalu dan mendedahkan mengalami alahan teruk pada awal usia kandungan.
Sumber: Instagram