KECOH di media sosial bila nama Fattah Amin dikaitkan dengan Amira Othman. Pelakon kacak itu akhirnya tampil menjawab persoalan yang bertebaran tentang hubungan mereka.
Dalam temubual eksklusif bersama Melodi, duda anak satu tersebut mengakui mereka hanyalah kawan biasa.
"Kami kawan sahaja, baru-baru ini ada jumpa di konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza. Doakan yang baik-baik. Saya bukan kawan dengan dia sahaja, saya kawan dengan semua orang,” kata Fattah sambil tersenyum.
Hati-hati
Namun, bila disoal tentang jodoh, Fattah memilih untuk tidak mengulas lanjut.
"Kalau peminat doakan yang baik-baik, saya aminkan. Tapi kalau bercakap soal jodoh, itu bukan kuasa saya,” katanya.
Yang menarik perhatian, pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin ini turut mengulas tentang tanda pagar ‘Hati-Hati’ yang digunakan dalam hantaran Instagramnya sebelum ini.
Ramai yang mula membuat spekulasi ia ada kaitan dengan lagu penyanyi wanita berkenaan.
"Biarlah saya sahaja yang tahu, lagipun itu hantaran lama. Saya buat dengan hashtag tersebut sebab macam berkaitan.
"Tiada apa-apa maksud lain, kalau ada yang buat andaian sendiri ikut suka mereka. Masing-masing ada pemahaman sendiri.
"Jodoh, ajal tiada siapa yang tahu. Itu semua takdir ALLAH. Saya sibuk bekerja tak fikir fasal itu (jodoh),"ungkap beliau.
Sebelum ini, gosip hubungan Fattah dan Amira hangat diperkatakan netizen, ada yang mendakwa mereka bercinta, ada juga yang menyifatkan ia sekadar gimik pemasaran.
Apa pun, peminat pastinya mendoakan kebahagiaan Fattah, sama ada dengan Amira Othman atau sesiapa sahaja.Betul tak?