HASRAT pelawak Shuib dan Mamat Sepah untuk menunaikan umrah pada bulan puasa tahun ini tidak kesampaian.
Ini berikutan syarikat agensi umrah yang dipilih baru-baru ini viral kerana gagal menghantar lebih 300 jemaah ke Tanah Suci.
Dalam satu perkongsian di media sosial miliknya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad dilihat sedang bercakap dan memujuk Mamat agar tidak bersedih dengan keputusan tersebut.
Menurut Shuib, keputusan tersebut dilakukan kerana terdapat pelbagai masalah yang timbul.
"Mungkin belum rezeki kita Mat nak pergi umrah bulan puasa ni”. Mulanya semua nampak okay untuk berkerjasama tapi bila kita nampak macam-macam masalah yang timbul.
"Jadi kita ambil keputusan untuk tarik diri dari pergi bersama travel agensi tersebut," katanya menerusi laman Instagram pada Rabu.
Identiti tidak disalahguna
Pada masa sama, beliau turut berharap agar identiti mereka tidak disalahgunakan untuk tujuan tertentu.
"Harap pihak yang berkaitan tidak menggunakan lagi wajah kami untuk sebarang promosi. Insya-ALLAH ada rezeki lain Mat,kita doa ada agensi yang lebih sesuai boleh bawa kita pergi umrah Mat," ujarnya lagi sambil meminta pandangan ramai berkenaan agensi yang boleh dipercayai.
Terdahulu, Mamat meluahkan rasa syukur apabila Shuib bermurah hati menghadiahkan pakej umrah buatnya.