KETIKA api marak membakar kawasan hutan di Los Angeles, perhatian tertumpu kepada sekumpulan banduan dari penjara di California yang menjadi wira tidak didendang.
Mereka bukanlah bekas anggota penyelamat profesional,tetapi sukarelawan yang mendaftar dalam Program Kem Pemuliharaan (Kebakaran) untuk membantu pasukan bomba memadamkan api.
Usaha luar biasa itu mendapat perhatian selebriti terkenal Hollywood, Kim Kardashian.
Di sebalik status mereka sebagai pesalah, Kardashian menggesa pihak berkuasa memberikan upah lebih setimpal dengan memendekkan hukuman, serta memadam rekod jenayah mereka sekiranya menunjukkan kelakuan baik.
Pempengaruh berusia 44 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan terutamanya banduan yang dianggap hero kerana telah menyelamatkan bandar Los Angeles yang dicintainya.
"Beratus banduan mempertaruhkan nyawa membantu kami memadamkan api, tetapi tidak menerima imbuhan selayaknya dengan kerja.
"Mereka seolah-olah tidak dibayar apa-apa, tapi sanggup menggadai nyawa hingga ada meninggal dunia kerana ingin membuktikan kepada masyarakat mereka sudah berubah.
"Saya lihat mereka sebagai hero,"katanya.
Untuk rekod, lebih 1,000 banduan bekerja sejak kebakaran merebak pantas pada 7 Januari lalu. Namun, pendapatan mereka hanya AS$26.90 (RM121) sehari.
Meskipun peranan mereka sering dipandang sebelah mata, usaha bekerja 24 jam sehari dengan menyekat laluan kebakaran dan menghapuskan punca kebakaran telah membuktikan keberanian dan ketelusan yang luar biasa.
Dengan berbekalkan peralatan minimum dan latihan asas, mereka bergabung tenaga dengan pasukan bomba tempatan mendaki lereng bukit yang curam demi melindungi komuniti sekeliling walaupun berdepan risiko nyawa dengan asap tebal.
Bintang program realiti, Keeping Up With Kardashians itu turut meluahkan rasa sedih dengan apa berlaku di bandar yang didudukinya dan mendoakan mangsa yang terkesan dengan mala petaka itu.
"Saya sayang Los Angeles. Hati hancur melihat keadaan bandar tempat saya tinggal. Terus berdoa untuk mereka yang terkesan dengan kebakaran ini,” tulisnya.