Kepada ibu bapa yang suka melancong ke luar negara, ini berita baik buat anda. Dari pelbagai jenama pilihan syarikat penerbangan serata dunia, Emirates bakal memiliki Autism Certified Airline (ACA) sekali gus menjadikannya sebagai syarikat pernerbangan pertama di dunia yang mesra austisme.
Pensijilan rasmi daripada International Board of Credentialing and Continuing Education Standards (IBCCES) akan diberikan kepada Emirates sebaik sahaja semua kru penerbangan tamat latihan nanti.
Lebih daripada 30,000 kru kabin dan kakitangan darat Emirates kini sedang menjalani latihan khas merangkumi maklumat tentang spektrum autisme, salah tanggapan dan rangsangan kepada kanak-kanak istimewa ini yang perlu diambil tahu oleh setiap mereka yang bertugas di lapangan serta melengkapkan kakitangan dengan pengetahuan untuk memberikan sokongan yang sesuai.
Antara beberapa kemudahan tambahan yang mesra autisme disediakan oleh Emirates pada tahun 2025 termasuklah panduan deria atau bantuan digital yang membolehkan pengembara mengetahui tentang atmosfera serta persekitaran yang akan mereka hadapi, tahap bunyi, bau dan pencahayaan.
Selain daripada itu, syarikat penerbangan tersebut juga akan menawarkan produk deria untuk neurodiversiti, seperti mainan fidget untuk membantu mengurangkan tekanan penumpang dan kekal fokus sepanjang penerbangan.
Melalui soal jawab yang dilakukan kepada orang ramai di laman sesawang Travel Autism, 94 peratus pelancong bersetuju untuk memilih tempat yang memiliki ‘kepakaran’ dalam pengurusan kanak-kanak autisme.
Oleh itu, inisiatif yang diambil oleh syarikat penerbangan terbaik dunia ini merupakan satu perubahan yang positif dalam menaik taraf tahap kualiti perkhidmatan mereka.
Berinteraksi dengan kanak-kanak autisme bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka mengalami kesukaran memahami isyarat sosial dan mengekalkan perbualan, suka mengulangi tindakan atau kata-kata, sukar untuk berhadapan dengan situasi yang bukan rutin, terlebih peka, terganggung dengan bunyi yang kuat dan memiliki cara unik untuk memproses maklumat.
Jadinya, dengan latihan khusus kepada setiap kru penerbangan mampu menjadikan Emirates sebagai syarikat penerbangan pilihan utama untuk keluarga yang mempunyai anak istimewa ini.
Untuk tambahan, Emirates telah pun memperoleh pengiktirafan sebagai Certified Autism Centre untuk empat kemudahan daftar masuknya di Dubai, termasuk habnya di Terminal 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.