DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, kunafa, pencuci mulut manis dari Timur Tengah, telah mendapat tempat istimewa di hati rakyat Malaysia. Fenomena ini telah mencetuskan inspirasi kepada personaliti TikTok dan usahawan muda, Ojen Aiwahhh, 29, untuk memperkenalkan jenama Kunafa Aiwahhh pada tahun 2022. Nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli, Ojen membawa kelainan dengan menyuntik elemen rasa tempatan dalam kunafanya.
Bermula dengan perisa asli, jenama Kunafa Aiwahhh terus mencipta fenomena dengan menawarkan tujuh variasi perisa menarik seperti Red Velvet, Dark Indulgence, Lumut Cheese, Biscoff, Choc Oreo, dan Hazelnut Nutella.
Baru-baru ini, Ojen memperkenalkan perisa kelapan, Madu 3, hasil kolaborasi bersama sahabatnya, pempengaruh kontroversi Cik Epal.
Ditanya mengenai kerjasama itu, Ojen menegaskan bahawa ia bukanlah untuk menangguk di air keruh atas kontroversi kisah rumah tangga sahabatnya.
"Kerjasama ini adalah untuk saling menolong. Sebagai sahabat, saya tidak mahu hanya hadir ketika waktu senang. Kolaborasi ini memberi peluang untuk kami berkongsi rezeki dan membantu Cik Epal meneruskan kehidupan solo bersama anaknya,” kata Ojen.
Perisa Madu 3 mendapat namanya kerana gabungan tiga jenis madu – honeycomb, drizzle madu, dan emping jagung dengan madu – selain tiga lapisan tekstur yang unik.
Ojen juga menegaskan bahawa perancangan kolaborasi ini sudah lama dilakukan dengan kajian dan pembangunan (R&D) yang teliti.
Tidak seperti kebanyakan perniagaan lain, Kunafa Aiwahhh tidak mempunyai kios tetap. Sebaliknya, Ojen dan pasukan kerjanya turun padang ke serata negeri untuk memenuhi permintaan pelanggan.
"Ini membolehkan saya menjaga kualiti dan kuantiti pengeluaran kunafa secara lebih terperinci,” jelasnya.
Beliau yang pernah menuntut ilmu di Yaman dan Mesir berkata, idea untuk berniaga kunafa tercetus ketika berada di tanah Arab.
"Kunafa menjadi makanan harian dan pencuci mulut kegemaran di sana. Saya pasang niat untuk memperkenalkannya di Malaysia,” katanya.
Selepas melengkapkan jerayawara di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, Ojen kini berhasrat menembusi pasaran Indonesia dan Brunei.
"Semua ini tidak mungkin tanpa sokongan luar biasa penggemar kunafa. Saya bersyukur kerana Kunafa Aiwahhh terus mendapat sambutan hebat,” tambahnya.
Nor Munirah Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Cik Epal, turut optimis dengan kolaborasi bersama Ojen.
"Saya bukan jenis bekerjasama dengan sembarangan orang. Ojen adalah individu yang merendah diri dan senang berurusan. Saya yakin 100% dengan jenama Kunafa Aiwahhh yang sudah viral sejak sekian lama,” katanya.
Mengenai kehidupannya kini, Cik Epal reda dengan ujian hidup yang dilaluinya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur ada sahabat yang terus menyokong dan memberi motivasi untuk saya bangkit demi anak dan masa depan. Saya kini selesa menjalani kehidupan solo dan akan terus berjuang tanpa mengulangi kesilapan lalu,” jelasnya.
Jenama Kunafa Aiwahhh bukan sahaja memperkenalkan kudapan manis Timur Tengah kepada tekak tempatan, tetapi juga menjadi simbol kejayaan usahawan muda yang berani mengambil risiko dan menginspirasi masyarakat. Dengan semangat kolaborasi dan inovasi, jenama ini terus berkembang dan melebarkan sayapnya di persada antarabangsa.