KALAU sudah namanya rezeki, memang takkan ke mana. Demikianlah dengan Lagu berjudul Sirih Pulang Ke Gagang, hasil ciptaan sepenuhnya Akmal Mustafa dan Aniq Muhai.
Lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan UNIC itu baru-baru ini dinobatkan sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Carta 114 musim kedua sekali gus membawa pulang hadiah utama RM20,000.
Fitri Haris yang mewakili UNIC berkata, kemenangan yang diraih dianggap sebagai satu kejutan memandangkan mereka tidak berpeluang untuk berlatih bersama dalam tempoh panjang atas kekangan masa.
Selain hadiah utama, UNIC yang turut dianggotai Bazli dan Fakhrul merangkul Anugerah Vokal Terbaik dan memenangi wang tunai RM10,000.
"Jujurnya perasaan kami bercampur-baur dan tak percaya. Kami bersatu buat pertama kali malam ini kerana masing-masing ada komitmen sebelum ini.
"Malah saya sendiri baru sampai dari United Kingdom, semalam dan sudah tentulah sesi latihan kami dilakukan secara berasingan.
"Bagi kami, ini rezeki- NYA. Kami sempat berlatih sama dalam kereta. Apa pun, mungkin inilah bukti 23 tahun keserasian yang dapat kami capai walau tidak bersama.
"Apa yang saya nak tekankan, kebersamaan itu sangat penting. Alhamdulillah, dalam tak percaya, kami bersyukur dan terima kasih kepada yang menyokong dan para juri," katanya.
Sementara itu, kumpulan Darwish menerima Anugerah Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000.
Kumpulan duo itu membawakan lagu Abu Ubaidah ciptaan sepenuhnya Faiz Darwish.
Mendidik jiwa
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Puan Nadzariah Mohamed berkata, tujuan Anugerah Carta 114 diadakan adalah untuk memartabatkan dan mengangkat industri nasyid di Malaysia dan secara tidak langsung menyampaikan dakwah kepada orang ramai.
"Bait-bait lirik dalam nasyid memang membawa ke arah kebaikan dan ini merupakan salah satu platform untuk mendidik jiwa seseorang.
"InsyaAllah TV AlHijrah akan teruskan dalam mendidik masyarakat dan memberikan yang terbaik. Ini juga sebagai platform untuk penggiat seni muzik Islam supaya dapat berada di arus perdana,” katanya.
Selain UNIC dan Darwish, lima peserta lain yang berentap di Anugerah Carta 114 termasuk Kumpulan Rabithah, Kumpulan Madinah, Haadi, Idris Shamsuddin, dan duo Halim Ahmad dan Aiman Sidek.
Anugerah Carta 114 yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah dijurikan tiga juri profesional yang diketuai oleh Farihin Abd Fatah, Amran Omar dan Razin Mestica.
Selain persembahan peserta, Anugerah Carta 114 turut disajikan dengan persembahan oleh kumpulan nasyid legenda, Rabbani yang menyampaikan beberapa buah lagu.