LIMA tahun berumah tangga, pelawak, Mamat Sepah menzahirkan hasratnya untuk memiliki cahaya mata jika diizinkan ALLAH SWT.
Memetik laporan Astro Gempak, pelawak berusia 39 tahun itu mengakui sudah lama mengimpikan mahu menimang cahaya mata namun masih belum dikurniakan rezeki buatnya dan isteri.
"Hampir lima tahun saya berumah tangga, tipu kalau saya kata tak ada rasa nak timang anak sendiri.
Artikel berkaitan:
- 'Mungkin belum rezeki kita...' Shuib & Mamat Sepah tunda hasrat ke Tanah Suci, mohon identiti tidak disalahguna agensi umrah
- "Ku balas pertolongan dengan pernikahan.' Mamat Sepah imbau pertemuan pertama, sambut anniversary ke-7 dengan Cik Polis
"Bila lihat kawan-kawan bermain dengan anak-anak mereka, terdetik juga dalam hati bila agaknya rezeki saya akan tiba,"luah beliau.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad mengakui adakala beliau berasa sedih dan kasihan kepada suri hatinya, Nordiana Ibrahim namun cuba untuk terus berfikir secara positif.
Malah juara Raja Lawak musim ketiga itu turut berkata, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk menunaikan umrah Syawal ini bagi memanjatkan doa agar impiannya untuk memiliki cahaya mata dimakbulkan.
"Saya benar-benar teringin dan sudah bersedia untuk mempunyai anak sendiri. Saya berharap ALLAH makbulkan doa saya," katanya.
Sementara itu, isterinya Nordiana menerusi Instagram memohon doa daripada warga maya agar impian itu terlaksana.
"Semua rahsia ALLAH. Doakan yang baik-baik untuk kami suami isteri @mamatsepah," titip Nordiana menerusi akaun Instagram peribadinya, Cik Nana.
Untuk rekod, Mamat dan Nordiana yang merupakan seorang anggota polis berkahwin pada 1 Mac 2020 dalam satu majlis di Kulai, Johor selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.
Sumber: Gempak