Usia 10 tahun tebar roti canai kini Safura bergelar Cef Duta Malaysia di Jepun, impi buka kafe sendiri

Iklan

BERMULA dengan membantu restoran keluarga ketika masih di bangku sekolah rendah, siapa sangka pengalaman kecil itu menjadi permulaan kepada sebuah perjalanan yang penuh inspirasi.

Pada usia 10 tahun, beliau sudah mahir menebar roti canai, satu kemahiran yang jarang dimiliki oleh kanak-kanak seusia itu, namun keazaman untuk belajar dan berkembang tidak pernah surut.

Iklan
Iklan

Usai menamatkan persekolahan, Siti Safura Mohd Tawil melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari sehingga ke peringkat diploma dan ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Langkah itu nyata membuka lembaran baharu dalam kerjaya masakannya dan kini memegang jawatan Cef Duta Malaysia di Tokyo, Jepun.

Iklan

Namun mengapa memilih Jepun sebagai destinasi untuk mendalami seni kulinari? Tatkala perkara itu penulis ajukan kepada tuan punya badan, ini jawapan beliau.

"Di sini, bukan sahaja teknik masakan tradisionalnya halus, bahkan penghormatan mereka terhadap bahan semula jadi amat mengagumkan. Pengalaman ini benar-benar mengubah perspektif saya,” ujarnya yang mesra disapa Safura tatkala ditemu bual penulis menerusi alam maya baru-baru ini.

Iklan

Malah, kongsi wanita itu lagi, negara Matahari Terbit tersebut turut menawarkan peluang untuk menggabungkan tradisi dengan inovasi.

Beliau berpeluang bereksperimen dengan teknik moden sambil mengekalkan asas tradisional.

Namun, kejayaan tidak datang tanpa sokongan dan beliau amat menghargai jasa Duta Malaysia di Tokyo, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan isteri, Datin Suriyah Abdullah, yang memberi peluang untuk beliau berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Jepun.

Malah, tidak dilupakan keluarga tercinta yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada perjalanan hidupnya.

"Mak, ayah dan keluarga saya adalah sumber kekuatan. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berada di sini hari ini.

"Kerjaya sebagai chef di negara asing memerlukan ketahanan fizikal dan mental," ujarnya yang bersyukur kerana rakan sekerja juga sentiasa menyokong dan memahaminya.

Duta kecil

Sebagai duta kecil masakan Malaysia di Jepun, Safura turut mengambil peluang memperkenalkan pelbagai hidangan tempatan.

Inspirasi sering datang ketika beliau melawat pasar tempatan atau mencuba hidangan di restoran Jepun.

Pengalaman paling manis sepanjang berada di Jepun ialah apabila Safura menyertai pertandingan memasak bertaraf antarabangsa.

Bertemakan makanan sihat berasaskan tumbuhan, menu tersebut mendapat perhatian juri dan menjadi hidangan juara dalam Sustainability Award, salah satu kategori dalam World King Of Chefs Summit 2024 di Jepun menerusi hidangannya, Nasi Ulam Bunga Telang.

"Saya terpilih mewakili Malaysia bersama 13 chef dari pelbagai negara ke peringkat akhir. Hidangan yang dipertaruhkan ialah nasi ulam bunga telang dengan pelbagai lauk tradisional seperti percik, solok lada, tauhu begedil, dan acar jelatah.

"Kemenangan itu merupakan salah satu daripada lima kategori yang dipertandingkan, sekali gus berjaya mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.

"Elemen Jepun turut saya selitkan melalui penggunaan rumpai laut dan herba tempatan,” ujar anak kelahiran Ranau, Sabah itu.

Ditanya pemilihan bunga tersebut, Siti Safura berkata, bunga itu menarik dan ada khasiat tersendiri.

"Sebelum ini, bunga telang hanya difokuskan untuk nasi kerabu.

"Saya suka bunga telang kerana warna semula jadinya yang cantik dan banyak khasiat untuk kesihatan," ujarnya lagi.

Lebih manis lagi, Safura memberitahu, itu merupakan kemenangan kali ketiga beliau dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

"Ia memberi semangat untuk terus belajar dan berkarya. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya tetap teguh dengan prinsip doa, usaha, istiqamah dan tawakal. Terima kasih juga buat pembantu saya dalam pertandingan ini, Sheela Azlan yang banyak membantu.

"Saya hanya akan ubah resipi mengikut keperluan, tetapi rasa dan identiti asal tetap dipertahankan,” tegasnya yang berhasrat membuka kafe sendiri dengan menggabungkan cita rasa Malaysia dan Jepun.

Jangan takut gagalSebelum menutup perbualan, sempat penulis meminta anak ketujuh dari sembilan beradik itu meniupkan semangat buat mereka di luar sana yang ingin menceburi bidang masakan atau mengejar kerjaya di luar negara.

"Kerjaya ini satu langkah besar yang memerlukan keberanian, perancangan dan semangat yang kuat.

"Justeru, jangan takut untuk mencuba, percayalah pada diri sendiri dan takut gagal.

"Berlapang dada untuk belajar dari sesiapa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada kita,” jelasnya lagi.