KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Meluahkan rindu kepada dua cahaya matanya, pelakon Hafidz Roshdi mendakwa dirinya langsung tidak diberikan peluang oleh bekas isteri, Shuhada Mat Shukri bertemu mereka sejak lebih setahun lalu.
Menerusi temu ramah bersama Sinar Harian, Hafidz mendakwa masih belum dapat bertentang mata dengan Humairah, 8, dan Umar, 4, sejak kali terakhir bertemu pada penghujung tahun 2023.
Aktor berusia 31 tahun itu juga mengakui tidak tahu keberadaan zuriatnya.
"Saya tak tahu keadaan anak saya macam mana sekarang, namun perkembangan terbaru saya dapat tahu mereka dibawa ibunya ke Australia tanpa keizinan saya.
"Kepada Umar dan Umairah, abah hendak bagi tahu yang abah sangat-sangat rindu pada Umar dan Umaira, abah harap kita dapat jumpa satu hari nanti insya-ALLAH," ujarnya.
Hafidz ditemui selepas sebutan kes interim hadanah hak penjagaan dan hak penjagaan penuh difailkannya kepada bekas isterinya, Shuhada dan ibu Shuhada, Wan Latipah Yusof di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam.
Terdahulu, Hafidz tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan diiringi peguamnya, Puteri Ummi Kartini Abd Latif sementara Nurul Shuhada dan ibunya, tidak hadir ke perbicaraan tersebut.
Dalam masa yang sama, kata Hafidz, nafkah bagi Humaira dan Umar akan dilaksanakan kerana ia merupakan tuntutan dan tanggungjawabnya.
Namun, jelas Hafidz beliau kesal apabila sesetengah pihak di media sosial mengecam dirinya termasuk mencadangkan agar kedua-dua anaknya itu tidak berbinkan namanya.
"Saya dengan tegas tujukan kepada mereka di luar sana yang menyatakan bahawa Umar dan Umairah tak perlu berbinkan saya. Saya bagi amaran tolong hormat kerana tetap abah mereka.
"Kalau ikutkan sudah hampir setahun lebih tak jumpa mereka cuma nak bagi tahu saya sangat-sangat rindu pada anak-anak," tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes hadanah berkenaan.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Sumber: Sinar Harian