THE Makan Shoppe bukan sekadar restoran biasa. Dengan tagline 'Malaysia Street Food and More! Come LAH!', premis itu menawarkan pengalaman rasa yang tidak dapat dilupakan melalui menu istimewanya.
Antaranya Nasi lemak bungkus pattaya, burger ala gerai jalanan antara menu 'signatur' yang dihasilkan dari resipi tersendiri yang eksklusif dan yang pastinya adalah HALAL.
Restoran berkonsepkan kopitiam di bawah syarikat Arisprop Capital Bhd. melalui Aris Burger Sdn. Bhd. baru-baru ini membuka cawangan pertama di Pusat Beli-Belah 168 Selayang.
Dengan visi untuk membawa makanan jalanan ke restoran bertaraf tinggi, The Makan Shoppe mengetengahkan konsep"From Street to Restaurant”, membolehkan rakyat Malaysia menikmati keunikan makanan tempatan dengan suasana yang selesa.
Menariknya, premis berkenaan turut mempersembahkan elemen budaya dan warisan Malaysia melalui setiap hidangan.
Dengan pendekatan yang menggabungkan cita rasa tradisional, inovasi moden, dan layanan mesra, The Makan Shoppe memberikan pengalaman makan yang lebih daripada sekadar menjamu selera – ia adalah perjalanan rasa ke pelbagai penjuru Malaysia.
Makanan jalanan Malaysia
Pengerusi Eksekutif Arisprop Capital Bhd, Datuk Haji Haris Embong ketika ditemui SinarPlus memberitahu, seiring dengan pembukaan cawangan pertama ini, The Makan Shoppe juga sudah mendapat jemputan untuk membuka cawangan baharu daripada pasar raya terkemuka di pelbagai lokasi strategik seluruh negara.
Beliau yang juga Pengarah Urusan The Makan Shoppe berkata, objektif pembukaan restoran berkenaan adalah untuk memperkenalkan kelainan dalam menikmati makanan jalanan Malaysia dengan suasana yang lebih moden dan selesa.
Ia juga mampu menarik lebih ramai pelanggan dengan keunikan menu yang tidak terdapat di tempat lain selain mengukuhkan jenama sebagai pelopor dalam menyajikan makanan jalanan Malaysia dengan sentuhan inovasi.
Haris turut memberitahu, The Makan Shoppe dijangka akan membuka beberapa cawangan baharu dalam masa terdekat merangkumi Pasaraya AEON di seluruh Malaysia (AU2 Setiawangsa, Nilai, Melaka, Kota Bharu, Shah Alam), bangunan ibu pejabat MARA, Pasaraya Mydin serta lokasi utama seperti Pavilion KL, Mid Valley Megamall, Sunway Pyramid dan KLCC.
Majlis perasmian pembukaan restoran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA). Datuk Zulfikri Osman.